Skip to content

Teks perbahasan Belanjawan Johor oleh ADUN Tangkak, Ee Chin Li

Terima kasih YB Speaker kerana memberi peluang kepada Tangkak untuk menyertai dalam perbahasan atas rundingan bacaan kali yang kedua bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2021) tahun 2020.

Terlebih dahulu patik ingin merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan pada 22hb November 2020.

Belanjawan Johor 2021 ini diharap dapat membantu negeri kita dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19 yang sedang menyerang negeri Johor dan Malaysia dan tiada sesiapa yang mampu meramal hingga bilakah krisis penyakit ini akan sampai penghujungnya.

Oleh itu, Tangkak berpendapat bahawa cadangan-cadangan kerajaan negeri dalam memberi bantuan kepada pelbagai lapisan masyarakat adalah sangat digalakkan.

Walaupun pemberian geran dan wang tunai ini bukan satu penyelesaian untuk jangka masa panjang, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu kumpulan sasar dalam menyelesai masalah kehidupan ketika penularan COVID-19 ini.

PERTANIAN

Sejak penularan COVID-19 di Johor bermula pada awal tahun ini, sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada pertengahan bulan Mac, boleh kata semua sektor ekonomi dan perkhidmatan tergendala.

Namun, sektor pertanian adalah salah satu aktiviti ekonomi yang dapat memulih dengan laju berbanding dengan sektor-sektor yang lain.

Tangkak mengalu-alukan cadangan YAB Menteri Besar untuk mengusahakan Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor sebagai satu strategi pemulihan ekonomi Johor.

Johor merupakan penyumbang kedua tertinggi di sektor pertanian dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) peringkat nasional.

Menurut statistik Kementerian Pertanian, Johor merupakan pengeluar tertinggi tanaman buah-buahan dan bunga-bungaan di Malaysia, sejumlah 567,301 metrik tan pengeluaran buah-buahan dan 249,486 metrik tan bunga-bungaan pada tahun 2018.

Pengeluaran sayur-sayuran dan tanaman ladang serta tanaman kontan di negeri Johor juga berada di tangga kedua dengan pengeluaran 198,460 metrik tan sayur-sayuran dan 43,420 metrik tan tanaman kontan.

Pengeluaran hasil tanaman ini bukan sahaja mengekalkan sumbangan Negeri Johor kepada KDNK Malaysia, ia juga telah menjana pendapatan kepada masyarakat dan komuniti di Negeri Johor.

Mengikut rekod, Johor mempunyai kira-kira 59,790 orang petani, keluasan tanah pertanian yang diusaha adalah sebanyak 51.1% keluasan tanah di Johor sepertimana jawapan dari YB EXCO Pertanian pada pagi tadi.

Statistik ini menunjukkan negeri kita sangat sesuai untuk aktiviti-aktiviti pertanian dan ramai petani yang sedang mengusaha dalam industr pertanian.

YAB Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Johor 2021 telah mengumum suntikan dana lebih kurang RM50 juta dibawah Agenda Johor Tani untuk pelbagai program sektor pertanian seperti pembangunan komoditi berpotensi, peningkatan hasil padi, hasil ternakan dan sebagainya.

Namun, bagi petani yang sedia ada dan rakyat yang ingin menceburi dalam bidang pertanian, kekurangan tanah pertanian adalah penghalang terbesar mereka.

Semakin hari semakin banyak tanah-tanah pertanian telah diubah syarat kepada kegunaan pembinaan kediaman kerana projek pembangunan perumahan akan membawa pulangan dengan lebih cepat kepada pemilik tanah berbanding dengan kegunaan pertanian.

Selain itu, terdapat sebahagian besar tanah pertanian yang sedia ada merupakan tanah-tanah Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dan tanah-tanah Pajakan Kerajaan, terutama tanah tanaman buah-buahan, sayur-sayuran dan tanaman kontan.

Tangkak ingin mecadangkan kepada Kerajaan Johor supaya boleh memudahkan lagi proses pembaharui LPS bagi pemegang tanah yang betul-betul mengguna tanah tersebut dalam tanaman makanan.

Bagi pemegang tanah Pajakan Kerajaan, mereka menghadapi tekanan yang sangat tinggi ketika tempoh pajakan tanah mereka hampir luput kerana mengikut kiraan sekarang, mereka perlu membayar sejumlah wang yang sangat tinggi untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah supaya dapat meneruskan mata pencarian mereka.

Oleh itu, Tangkak berharap kerajaan dapat menimbang untuk mengutip caj minima supaya pemegang tanah tersebut dapat meringankan beban.

Selepas mereka dapat melanjutkan tempoh pajakan tanah, malah mereka akan lebih berkeyakinan untuk membuat rancangan tanaman jangka masa panjang dan mereka juga boleh memohon pinjaman bank bagi melabur dalam teknologi pertanian bagi menambahkan hasil tanaman.

Laporan Kementerian Pertanian turut menunjuk bahawa terdapat 4,561 keping tanah terbiar yang berkeluasan 10,097 hektar di Johor setakat tahun 2019, jumlah ini masih tidak mengambil kira tanah-tanah rizab kerajaan dan agensi kerajaan di seluruh negeri.

Tanah-tanah terbiar pegangan kerajaan dan agensi kerajaan ini kebanyakan adalah tanah rizab kerajaan bertujuan menggunakan tanah untuk projek-projek tertentu dalam jangka masa panjang.

Terima kasih YB EXCO Petanian pada sesi soal jawab pagi tadi juga bersetuju bahawa tanah-tanah kerajaan yang tiada rancangan pembangunan dalam 5 atau 10 tahun yang akan datang boleh diusahakan untuk tanaman agro makanan.

Tangkak meminta Kerajaan Johor menyatakan keluasan tanah rizab kerajaan dan agensi-agensi kerajaan yang tidak ada rancangan pembangunan dalam lima tahun yang akan datang.

Tangkak telah saban tahun mencadang untuk menyewakan tanah milikan kerajaan yang masih tiada rancangan pembangunankepada rakyat Johor yang berminat dalam bidang pertanian makanan.

Pada pembentangan Belanjawan Johor Tahun 2020, Kerajaan Pakatan Harapan Johor telah memperkenalkan Gagasan Revolusi Hijau bagi mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian, meningkatkan prasarana pertanian, menggalakkan penggunaan teknologi hijau, menggalakkan aktiviti pertanian berskala besar dan mewujudkan kawasan khas sub-sektor pertanian.

RM14.6 juta juga telah diperuntukan melalui Projek Pembangunan Tanah Terbiar, Pembangunan Kolam Ternakan Terbiar dan Pembangunan Tanaman Rumput Makanan Ternakan di kawasan terbiar.

Sejauh manakah keberkesanan projek-projek tanah terbiar ini setakat ini dan apakah langkah susulan yang akan diambil oleh kerajaan bagi lebih ramai rakyat dimanfaatkan daripada Gagasan Revolusi Hijau ini.

Kalau kerajaan Johor dapat memperkemaskan Agenda Johor Tani dengan bukan saja membantu dari segi program-program pembangunan, peningkatan hasil dan latihan keusahawanan, tetapi juga menyediakan tanah yang sesuai untuk disewa kepada petani, pekebun dan peternak, Tangkak percayai Johor akan menerima impak yang lebih tinggi dalam sektor pemacu utama ekonomi Johor ini.

Tangkak tidak menafikan terdapat segelintir individu yang menyewa tanah kerajaan untuk tanaman makanan melanggar perjanjian kerana telah menanam tanaman komoditi seperti kelapa sawit.

Tapi, apabila kita lihat lebih mendalam tentang pelanggaran syarat kegunaan tanah ini, kenapa petani sanggup pecah amanah atas kegunaan tanah pertanian? Adakah kerana ketidakstabilan harga tanaman makanan?

Walaupun risiko bidang pertanian lebih rendah berbanding perniagaan lain, tetapi, harga hasil tanaman terlalu bergantung kepada penawaran dan permintaan pasaran.

Cuaca dan perubahan iklim juga selalu menjejas kestabilan harga hasil pertanian. Oleh itu, lebih dana perlu disedia oleh kerajaan untuk menstabilkan harga hasil tanaman, mempertingkatkan pemasaran hasil pertanian melalui Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian adalah tidak mencukupi.

Campur tangan kerajaan dalam harga pasaran tanaman makanan adalah salah satu cara untuk menstabilkan pendapatan para petani, contohnya, kerajaan melalui agensi-agensi kerajaan untuk membeli hasil tanaman makanan dengan satu harga tetap yang munasabah.

Pembelian hasil tanaman makanan ini tidak perlu ada sekatan dari segi kuantiti seperti yang diamalkan dalam program Kontrak Pertanian, iaitu apabila harga pasaran tinggi daripada harga tetap kerajaan, petani boleh pilih untuk menjual hasil tanaman mereka ke pasaran bebas.

Namun, ketika harga pasaran bebas rendah daripada harga tetap kerajaan, petani boleh menjual hasil mereka kepada kerajaan supaya pendapatan mereka akan lebih stabil.

Seterusnya, kemana hasil-hasil tanaman yang telah dibeli oleh kerajaan digunakan? Kerajaan boleh berkolaborasi dengan agensi-agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dapur-dapur agensi kerajaan seperti hospital, penjara, kantin sekolah, rumah orang-orang tua dan rumah anak-anak yatim.

Selain itu, kerajaan juga boleh membantu usahawan tani dalam industri pemprosesan atau pengolahan makanan ringan, makanan tin, makanan organik, minuman, herba dan kosmetik dengan hasil tanaman seperti buah-buahan dan tanaman kontan yang dibeli daripada petani.

YAB Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Johor 2021 telah menyebut seluas 110 ekar tanah di Daerah Tangkak akan dibangun sebagai Taman Perindustrian Bukit Gambir.

Pada tahun 2018, kerajaan Johor melalui Johor Corporation telah mengenal pasti satu kawasan untuk pembangunan taman perindustrian ini.

Tetapi hingga kini, kami masih belum mengetahui di kawasan manakah tapak pembangunan itu terletak dan jabatan atau agensi mana yang dipertugaskan dalam proses ini. Tangkak Minta jawapan dari kerajaan Johor.

Dan apakah kesannya terhadap kawasan perindustrian Bandar Tangkak yang masih kurang mendapat sambutan selepas pembangunan Taman Perindustrian Bukit Gambir dibangunkan?

Infrastruktur pertanian seperti pembinaan dan penyelenggaraan jalan pertanian, perparitan, penyediaan bekalan elektrik dan air juga sangat penting kepada pengusaha pertanian bagi meningkatkan produktiviti.

Bacaan hujan yang semakin meningkat juga selalu mengakibatkan banjir di kawasan pertanian, tambahan lagi perparitan dalam kawasan kebun selalunya akan cepat tumbuh semula rumput-rumput selepas kerja-kerja pembersihan parit disebabkan penggunaan baja.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga selalu menghadapi masalah kekurangan peruntukan untuk mengkerapkan kerja-kerja pembersihan dan mendalamkan parit. Harap dengan peningkatan peruntukan penyelenggaraan parit dan saliran kepada RM40 juta dapat membawa kesannya. Tangkak memohon Jabatan Pertanian dan JPS untuk mengkaji apakah pendekatan yang boleh dilakukan bagi mengatasi isu parit kawasan kebun cepat sumbat ini.

DIGITAL

Dibawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), salah satu cadangan adalah menjadikan kesalinghubungan internet sebagai utiliti yang akan masuk dalam Kebenaran Merancang (KM) oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Memandangkan YAB Menteri Besar telah menzahirkan sokongan kerajaan Johor dalam inisiatif ini dalam ucapan pembentangan Belanjawan Johor 2021, adakah PBT-PBT di negeri Johor akan mengambil langkah cepat untuk menrealisasikan inisiatif ini?

Untuk makluman Dewan yang Mulia ini, sehingga hari ini masih terdapat banyak kawasan perumahan yang kecil menghadapi masalah ketiadaan perkhidmatan komunikasi telefon talian tetap dan jalur lebar.

Walaupun penduduk-penduduk sudah banyak kali membuat permohonan kepada syarikat perkhidmatan telekomunikasi talian tetap, mereka masih tidak dapat menikmati kemudahan telekomunikasi kerana syarikat pembekal perkhidmatan menetapkan syarat bahawa perlu ada jumlah pemohon minimum sebelum infrastruktur telekomunikasi dipasang.

Jadi, pemohon terpaksa untuk menunggu masa yang sangat panjang untuk mendapatkan perkhidmatan telefon talian tetap dan jalur lebar, apakah penyelesaian yang boleh diambil oleh pihak berkenaan dengan masalah ini?

AIR

Johor mempunyai paip bekalan air sepanjang 22,175 kilometer, merujuk kepada jawapan yang diberi oleh YAB Menteri Besar pada bulan September lalu, sejumlah RM935 juta telah disediakan untuk projek penggantian paip dari tahun 2018 hingga 2022 bagi tujuan menganti 843.86 kilometer paip air di seluruh negeri Johor.

Untuk kawasan yang masih menggunakan paip lama jenis Asbestos Cement (PAIP AC), pengguna selalu mengalami masalah gangguan bekalan air kerana masalah paip pecah dan bocor selalu berulang.

Ranhill SAJ juga akan menurunkan tekanan air supaya paip-paip lama ini tidak mudah pecah.

Tapi tindakan sebegini telah mengakibatkan kawasan tersebut menerima air bertekanan rendah.

Oleh itu, semakin ramai penduduk telah memasang peralatan mengepam air di rumah mereka bagi mengatasi masalah tekanan air rendah ini.

Cara ini telah memburukkan lagi keadaan kepada pengguna yang tidak memasang pam air atau kawasan penghujung sistem paip air.

Tangkak ingin meminta penjelasan secara terperinci daripada pihak kerajaan dan Ranhill SAJ berkenaan dengan kecapaian terkini bagi Projek Penggantian Paip ini dan apakah kawalan dan yang boleh diambil terhadap penggunaan peralatan mengepam air yang menjejas pengguna lain.

KEBAJIKAN MASYARAKAT

Kerajaan Pakatan Harapan Johor telah menawarkan Skim Takaful Warga Emas Johor kepada warga-warga emas dan kemudahan Kad Sihat Johor kepada keluarga-keluarga dan individu-individu golongan B40 sejak tahun 2019.

Dalam Belanjawan Johor 2020, kerajaan ketika itu telah memperuntukan RM1.68 juta untuk Skim Takaful Warga Emas Johor dan RM2 juta untuk kemudahan Kad Sihat Johor.

Malah, kedua-dua program untuk mensejahterakan rakyat ini tidak lagi muncul dalam Belanjawan Johor 2021.

Tangkak setuju dengan YB Penggaram bahawa kemudahan Kad Sihat Johor bukan sahaja boleh memberi peluang kepada penerima untuk menerima rawatan penyakit-penyakit luar di klinik-klinik panel swasta, tetapi juga dapat mengelak kesesakan di klinik-klinik kesihatan dan klinik-klinik desa kerajaan terutama dalam keadaan pandemik COVID 19 ini.

Tangkak juga menyokong permintaan daripada YB Ketua Pembangkang dalam meminta pengesahan dari pihak kerajaan sama ada kedua-dua inisiatif yang baik yang dilakukan oleh Pakatan Harapan sebelum ini telah diberhentikan atau masih diteruskan?

Sekiranya diberhentikan, Tangkak mohon penjelasan daripada pihak kerajaan, apakah sebabnya dan apakah alternatifnya supaya kebajikan kesihatan rakyat dapat terus dibela.

KEKOSONGAN KETUA MASYARAKAT

Setelah penamatan perkhidmatan ketua-ketua masyarakat lantikan kerajaan Pakatan Harapan pada 31 Mac lalu, selama 9 bulan sejak itu rakyat di kawasan luar bandar tidak mempunyai ketua masyarakat untuk urusan seharian.

Nasib baik bekas ketua-ketua masyarakat lantikan zaman Pakatan Harapan semua berjiwa besar dan bertanggungjawab kerana telah memberi perkhidmatan mereka walaupun lantikan dan elaun mereka telah diberhentikan oleh kerajaan sekarang, mereka berkhidmat secara sukarela demi membantu rakyat.

Apakah sebab yang mengakibatkan kekosongan jawatan Ketua Masyarakat masih tidak dapat diisi sehingga sekarang?

SISTEM DEMOKRASI

Tangkak ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucap terima kasih kepada YAB Menteri Besar kerana telah menghormati sistem demokrasi dengan mengiktirafkan kedudukan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor dan telah memberi penambahan peruntukan Wakil Rakyat Pembangkang ke RM150,000.

Penambahan peruntukan ini akan meringankan beban kami sebagai wakil rakyat dalam pengurusan pusat khidmat wakil rakyat.

Beberapa rakan saya dari Pakatan Harapan juga telah memohon pertimbangan YAB Menteri Besar untuk membenarkan kami menghadiri mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD).

Tujuan kami menghadiri mesyuarat JKTD adalah berdasarkan dengan niat yang baik dan ikhlas.

Kami bersedia untuk membantu dalam membincang, memantau dan memastikan semua program dan projek yang dijalankan di peringkat Daerah supaya kumpulan sasar mendapat faedah maksimum.

Kalau rakan-rakan disebelah sana masih tidak bersetuju dengan kehadiran kami dalam mesyuarat JKTD mungkin sebab perbezaan ideologi politik, Tangkak bercadang YAB Menteri Besar sekurang-kurangya membenar wakil rakyat Pakatan Harapan untuk menghantar soalan kami secara bertulis ke mesyuarat JKTD setiap bulan dan dijawab selepas mesyuarat JKTD berlangsung.

Akhir kata, kami dari Pakatan Harapan yang berada di dalam Dewan yang Mulia ini juga adalah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, cadangan dan teguran kami adalah untuk memainkan peranan semak imbang demi memastikan dasar-dasar diusahakan sebaik mungkin oleh Kerajaan.

YB Speaker, sekian perbahasan Tangkak bagi rundingan bacaan kali yang kedua bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2021) tahun 2020, terima kasih.