Skip to content

Tindakan susulan Kementerian Kewangan Malaysia dan Khazanah Nasional bagi kerugian pelaburan Khazanah Nasional

PAC Parlimen membentangkan laporan berhubung tindakan susulan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) terhadap syor-syor yang dikemukakan Jawatankuasa ini, dalam laporannya berhubung Kerugian Pelaburan Khazanah Nasional di Dewan Rakyat, hari ini.

Pembentangan laporan tindakan susulan MOF itu, adalah hasil daripada syor yang dikemukakan PAC Parlimen dalam laporannya berhubung Kerugian Pelaburan Khazanah Nasional yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 23 Oktober lalu.

Pada 10 November lalu, Datuk Asri Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) dan Datuk Shahril Ridza Ridzuan, Pengarah Urusan Khazanah Nasional telah membentangkan tindakan susulan yang diambil terhadap syor-syor PAC Parlimen yang dikemukakan dalam Laporan PAC Parlimen berhubung Kerugian Pelaburan Khazanah Nasional.

Saya mengucapkan terima kasih kepada MOF dan Khazanah Nasional kerana berjaya menepati tempoh masa yang ditetapkan selama tiga bulan untuk memberikan maklum balas terhadap segala syor yang dikemukakan dalam laporan PAC berhubung Kerugian Pelaburan Khazanah Nasional kepada Jawatankuasa ini.

Melalui tindakan susulan yang diambil MOF dan Khazanah Nasional terhadap syor-syor PAC membuktikan bahawa segala cadangan dan rumusan Jawatankuasa ini terhadap Kerajaan diberikan perhatian sewajarnya dan tidak dipandang ringan.

Ia juga sekali gus membuktikan bahawa PAC Parlimen berjaya menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya untuk memastikan segala urusan kewangan, tatacara dan prosedur Kerajaan dipatuhi seperti yang termaktub dalam undang-undang.

Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Laporan PAC Parlimen mengenai Pembentangan Laporan PAC Parlimen berhubung tindakan susulan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Khazanah Nasional bagi syor-syor berhubung Kerugian Pelaburan Khazanah Nasional boleh memuat turun (download) laporan berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac