Skip to content

Kerajaan Negeri tidak akan berputus asa, sebaliknya bakal meneruskan usaha melaksanakan projek LRT

Saya berasa kesal kerana Kementerian Kewangan telah tiga (3) kali menyatakan pendiriannya menolak permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan pinjaman serta jaminan berjumlah RM2 bilion bagi membiayai projek Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar – Bayan Lepas walaupun projek berkaitan adalah begitu penting terhadap pembangunan ekonomi negeri ini.

Di sini, saya ingin mengingatkan Kementerian Kewangan dan Perikatan Nasional bahawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan menerusi suratnya kepada saya bertarikh 1 Oktober 2019 bahawa bon-bon oleh Kerajaan Negeri berhubung projek berkaitan akan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri bagaimanapun tidak akan berputus asa, sebaliknya bakal meneruskan usaha melaksanakan projek LRT berkaitan kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang umumnya mempunyai beberapa opsyen kewangan lain bagi membiayai projek-projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Serentak itu, Kerajaan Negeri juga akan terus menyuntik keyakinan Kerajaan Persekutuan untuk memberi keutamaan terhadap pembiayaan projek LRT serta layanan setimpal kepada Pulau Pinang yang telah dan terus memainkan peranan penting dengan menjuarai aspek pelaburan langsung asing (FDI) sektor pembuatan negara dan sekali gus mewujudkan ribuan peluang pekerjaan bukan hanya kepada rakyat negeri ini malah juga utara Semenanjung Malaysia.

Kenyataan ini juga telah saya kongsi dan sampaikan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Seri Mustapa Mohamed pada sesi perbincangan berhubung peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kepada Negeri Pulau Pinang Khamis lalu (26 November 2020) di ibu negara.

Malah, perkara serta pendirian sama turut dinyatakan kepada Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menghadiri sesi dialog Konsultasi Belanjawan 2021: Pulau Pinang anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada 8 Ogos 2020 dan Sesi Libat Urus Penyediaan RMK-12 bersama YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada 2 Ogos 2019 di Negeri Pulau Pinang.