Skip to content

TEKS PERBAHASAN RUU PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 2026 – HAD TEMPOH JAWATAN PERDANA MENTERI OLEH AHLI PARLIMEN P.046 BATU KAWAN YAB TUAN CHOW KON YEOW

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Terima kasih Tuan Yang Dipertua kerana memberi ruang kepada Batu Kawan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026 yang bertujuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.

Tuan Yang Dipertua,

Batu Kawan ingin memulakan perbahasan dengan penegasan bahawa sesebuah kerajaan yang bermaruah adalah kerajaan yang berpegang kepada janji. Maka, pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan hari ini membuktikan bahawa janji manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk melaksanakan pembaharuan institusi secara menyeluruh kini sedang ditepati.

Suka untuk Batu Kawan mengingatkan bahawa prinsip had tempoh jawatan Perdana Menteri merupakan satu pembaharuan institusi yang amat penting dalam memperkukuh demokrasi berparlimen. Langkah ini bukan sahaja dapat memperteguh semangat kebertanggungjawaban, malah memastikan proses peralihan kuasa berlaku secara teratur, sihat dan berlandaskan undang-undang.

Pembaharuan ini juga adalah selari dengan langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menjadi negeri pertama dan satunya-satunya dalam negara ini yang melaksanakan had tempoh lantikan Ketua Menteri, susulan pindaan Perkara 7 Fasal 2(a)(ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 16 November 2018, sekali gus menzahirkan komitmen tegas terhadap agenda reformasi institusi demi memperkukuh ketelusan dan integriti dalam pentadbiran negeri.

Sebagai makluman Dewan yang mulia ini, terdapat satu keunikan dalam pelaksanaan di Pulau Pinang iaitu undang-undang tersebut dilaksanakan mengikut kiraan penggal dan bukannya tempoh 10 tahun sepertimana dicadangkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) ini. Namun begitu, Batu Kawan melihat pelaksanaan berdasarkan penggal mempunyai sedikit kekurangan dan perbezaan apabila sesuatu penggal itu tidak mencapai tempoh penuh lima tahun. Contohnya, sekiranya pilihan raya diadakan lebih awal dari tempoh sepatutnya penggal itu berakhir, maka tempoh sebenar pentadbiran boleh menjadi lebih singkat dari (tempoh) yang dijangka.

Justeru, berdasarkan pengalaman inilah, Batu Kawan berpendapat bahawa pendekatan menetapkan tempoh 10 tahun sebagaimana yang diperuntukan dalam RUU ini adalah lebih jelas dan tidak menimbulkan kekaburan tafsiran. Hal ini kerana tempoh masa adalah ukuran yang objektif, dan tidak bergantung kepada kitaran pilihan raya atau percaturan politik yang membawa kepada pembubaran Parlimen.

Tuan Yang Dipertua,

Batu Kawan juga ingin menyentuh mengenai kesan undang-undang retroaktif atau berkuat kuasa ke belakang dalam RUU ini. Dalam konteks pembaharuan institusi seperti ini, keberanian politik adalah amat penting. Batu Kawan berpandangan bahawa sekiranya RUU ini dikuatkuasakan dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan lalu, Yang Amat Berhormat Tambun sebenarnya sedang membuktikan keikhlasan beliau sebagai seorang pemimpin yang berwibawa serta mencerminkan komitmen tulus terhadap prinsip akauntabiliti dan reformasi institusi, walaupun langkah ini mungkin memberi kesan kepada beliau sendiri. Pendekatan ini juga menunjukkan kesediaan Yang Amat Berhormat Tambun untuk meletakkan kepentingan negara dan keluhuran sistem perundangan mengatasi kepentingan peribadi, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti proses demokrasi serta tadbir urus negara.

Menyentuh mengenai kebimbangan terhadap keabsahan perlembagaan yang boleh menjejaskan kuasa yang terletak pada Yang Dipertuan Agong, Batu Kawan berpendapat sebaliknya, iaitu pindaan Perlembagaan Persekutuan ini bakal memberikan satu garis panduan lebih jelas berhubung ‘syarat’ pelantikan seorang Perdana Menteri, yang mana ia boleh dijadikan sebagai satu prinsip asas kukuh selain kelayakan sokongan majoriti Ahli Dewan yang diperoleh.

Tuan Yang Dipertua,

Sebagai penutup bicara, Batu Kawan ingin menyatakan rasa bangga kerana berjaya menunaikan manifesto serta janji pembaharuan institusi di Pulau Pinang walaupun langkah ini telah mengehadkan tempoh pentadbiran saya sendiri sebagai Ketua Menteri. Penting untuk diingatkan bahawa kepimpinan bukan tentang berapa lama kita duduk di kerusi kuasa, tetapi apa yang ditinggalkan apabila kita bangun daripadanya. Justeru, dengan sistem 10 tahun yang jelas dan keberanian kesan rekroaktif ini, Batu Kawan yakin bahawa kita sebenarnya sedang membina sebuah institusi yang lebih kuat. Biarlah pindaan ini menjadi saksi bahawa di bumi Malaysia yang bertuah ini, prinsip telah mengatasi kepentingan peribadi dan mandat rakyat sentiasa menjadi keutamaan tertinggi.

Sekian, terima kasih.