Terima Kasih Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua , Yang Berhormat-Yang Berhormat, pegawai-pegawai kerajaan salam sejahtera.
Saya merakamkan ucapan menjunjung kasih ke atas titah diraja Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja.
Pertama sekali, saya ingin membincangkan isu pertanian dan tanah pertanian di Cameron Highlands.
Cameron Highlands merupakan pusat peranginan tanah tinggi yang menjadi tarikan pelancong serta merupakan pusat penanaman pertanian tanah tinggi yang terkenal, bukan sahaja dalam Malaysia tetapi juga di luar negara.
Berdasarkan Draft Rancangan Tempatan Cameron Highlands, peratus guna tanah untuk tujuan pertanian di Daerah Cameron Highlands adalah 7508.28 hektar ataupun 10.54 peratus daripada keseluruhan keluasan daerah berkenaan. 47.6 peratus guna tenaga di Daerah Cameron Highlands adalah terlibat dalam sektor primer, terutamanya industri pertanian. Dengan kata lain, hamper separuh pekerja di Cameron Highlands adalah terlibat dalam sektor pertanian.
Walau bagaimanapun, terdapat juga kekangan dan cabaran dalam sektor pertanian yang menjadi penghalang kepada pekebun daripada meningkatkan tahap pertanian dan mengamalkan aktiviti pertanian mampan dan lestari.
Tuan yang Dipertua,
Sejak tahun 2020, para pekebun Cameron Highlands yang selama ini diberi Lesen Pendudukan Sementara (LPS) untuk bercucuk tanam telah ditawarkan sewaan berdaftar dan dikeluarkan oleh Pahang Corporation Sdn. Bhd.
Kadar sewaan baharu yang telah ditetapkan adalah sebanyak RM4,500 seekar setahun manakala tempoh sewaan adalah selama tiga (3) tahun dengan opsyen penyambungan selama dua (2) tahun.
Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana menawarkan tempoh sewaan selama 3 + 2 tahun yang lebih panjang dan menjamin berbanding dengan tempoh setahun yang ditawarkan dalam Lesen Pendudukan Sementara (LPS) sebelum tahun 2020.
Tuan yang Dipertua,
Kadar sewaan sebanyak RM4,500 seekar setahun adalah agak tinggi dan membebankan para pekebun Cameron Highlands. Hal ini demikian kerana kadar sewaan tanah hampir meningkat sebanyak 500% apabila berbanding dengan kadar LPS berserta dengan kadar sumber air yang berjumlah RM884 seekar.
Kebanyakan pekebun terutamanya pekebun berskala kecil perlu mendepani pelbagai cabaran sektor pertanian. Antaranya, harga sayur-sayuran di Cameron Highlands adalah tidak stabil dan amat bergantung kepada pelbagai jenis faktor, terutamanya cuaca.
Dengan kata lain, sektor pertanian seolah-olah amat bergantung pada nasib pekebun. Sesetengah pekebun yang bernasib baik mampu meraih keuntungan, manakala yang bernasib tidak baik mungkin juga mengalami kerugian yang besar. Maka, kita telah lihat bahawa sesetengah pekebun terpaksa membuang sayur disebabkan lambakan sayur pada bulan April.
Tuan yang Dipertua,
Pada masa yang sama, tempoh sewaan tanah selama 3 tahun + 2 tahun masih tidak dapat memberi jaminan yang mencukupi. Apabila para pekebun khuatir bahawa keselamatan pegangan tanah (land tenure security) tidak terjamin, kebanyakan daripada mereka tidak akan melaburkan modal dan masa untuk menggunakan kaedah atau teknologi yang lebih canggih demi meningkatkan tahap pertanian.
Oleh itu, saya amat berharap agar pihak YAB dan Kerajaan Pahang dapat memberi pertimbangan untuk menurunkan kos sewaan tanah pertanian dan menawarkan tempoh sewaan tanah yang lebih panjang kepada pekebun di Cameron Highlands agar mewujudkan ekosistem sektor pertanian yang lebih stabil, meringankan beban dan risiko pertanian, memberi dorongan kepada pekebun untuk bersama-sama menuju ke arah pertanian lestari dan pertanian pintar, serta meningkatkan keselamatan dan keterjaminan makanan.
Saya faham bahawa Kerajaan Negeri perlu meningkatkan pungutan hasil dan cukai melalui tanah. Maka di sini saya ingin mengemukakan cadangan agar Kerajaan Negeri mewujudkan sinergi yang baik dengan Kerajaan Persekutuan dan berbincang untuk mewujudkan satu makanisme:
Kerajaan Negeri mendapatkan sebahagian cukai pendapatan dari sektor pertanian agar mengenakan cukai terhadap pekebun berdasarkan keuntungan dan meningkatkan hasil kerajaan negeri pada masa yang sama.
Tuan yang Dipertua,
Seterusnya, saya ingin membangkitkan dalam Dewan mulia ini cadangan melarang pemanduan atau penggunaan kenderaan barangan di atas sebahagian Laluan 59, Jalan Tapah-Cameron Highlands dari koordinat U 4.518469, T 101.427908 hingga U4.425714, T 101.386706, dari jam 10 pagi hingga 3 petang dari setiap hari Jumaat hingga Ahad (termasuk hari kelepasan am dan cuti sekolah).
Memandangkan terdapat banyak kebun di Cameron Highlands, rangkaian logistik sayuran di Cameron Highlands sebenarnya adalah amat rumit, maka gangguan masa akan menjejaskan masa perjalanan yang diperlukan serta memudaratkan kualiti dan kesegaran sayuran apabila tiba di pasaran. Akhirnya, larangan ini dikhuatiri akan mengurangkan bekalan sayuran di pasaran dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan harga sayuran disebabkan bekalan tidak mencukupi.
Saya telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri sebagai alternatif kepada cadangan larangan pemanduan kenderaan barangan. Antaranya, menggunakan sebaik-baiknya tempat letak kereta swasta di hotspot kesesakan lalu lintas seperti di Kea Farm.
Sekiranya memang perlu dilaksanakan, kerajaan perlulah memberi pengecualian kepada kenderaan barangan yang membawa barangan essential seperti sayur.
Maka, saya dengan ikhlasnya memohon Kerajaan Negeri untuk mengkaji semula larangan pemanduan kenderaan tersebut demi melindungi kepentingan semua pihak, bukan sahaja pekebun sayur dan pengusaha logistik, tetapi juga para pengguna di seluruh Malaysia yang berhasrat membeli sayur-sayuran yang segar dengan harga berpatutan setiap hari.
Tuan yang Dipertua,
Isu seterusnya yang ingin saya bangkitkan dalam Dewan yang mulia ini adalah isu pembangunan lestari di Cameron Highlands. Sebuah syarikat diberi permit kerja tanah pada bulan Ogos untuk menjalankan kerja pembukaan tanah di atas bukit, di mana jaraknya adalah tidak melebihi 1 kilometer dari Kampung Baru Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang.
Akibat daripada pembukaan tanah tersebut yang tidak menepati standard dan tidak memperoleh kajian Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), banjir lumpur berlaku sebanyak 4 kali, sehingga KDYYM Yang di-Pertuan Agong berkenan melawat ke Kampung Raja. Setakat ini, difahamkan bahawa pemaju atau pemegang permit kerja tanah belum memberi pampasan kepada para mangsa banjir.
Demi mengurangkan risiko pembangunan pada masa akan datang, saya menyeru bahawa semua projek pembangunan di Cameron Highlands dan tanah tinggi perlulah memohon dan mendapat kelulusan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Selain itu, berlandaskan prinsip ketelusan dan keterbukaan, laporan EIA tersebut perlulah diberi akses kepada orang ramai agar semua pihak berkepentingan, termasuk penduduk tempatan, boleh membaca dan memahami projek pembangunan yang berpotensi membawa impak terhadap mereka.
Langkah ini juga akan membantu merealisasikan hasrat kerajaan dan menjunjung kasih titah diraja untuk menuju ke arah pembangunan lestari yang berlandaskan konsep ESG.
Tuan yang Dipertua,
Isu keempat yang saya ingin bangkitkan adalah kes banjir di Lembah Bertam, Cameron Highlands. Setelah tragedy banjir berlaku di Lembah Bertam pada Oktober 2013 yang meragut lima nyawa, 100 orang penduduk atau mangsa banjir berjaya dalam tuntutan saman, kerana Mahkamah Tinggi pada Mei 2018 mendapati TNB selaku pemilik dan pengendali Empangan Sultan Abu Bakar (ESAB) bertanggungjawab kerana cuai sehingga menyebabkan banjir.
Pada November 2019, Makhamah Persekutuan telah menolak secara sebulat suara permohonan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk kebenaran merayu dalam saman dikemukakan penduduk Lembah Bertam.
Tuan yang diPertua,
Tahun ini adalah tahun ke-10 sejak tragedi banjir tersebut berlaku, tetapi penduduk dan mangsa banjir Lembah Bertam masih tengah menunggu-nunggu keputusan terakhir mengenai pampasan kerana kedua-dua pihak masih berada dalam fasa penilaian kerosakan (assessment of damage).
Sebagai sebuah syarikat GLC yang seharusnya mementingkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan reputasi, TNB seharusnya mempercepatkan proses perundingan dan segala proses agar memberi pampasan kepada mangsa banjir secepat mungkin.
Tuan yang Dipertua,
Isu keenam yang ingin saya bangkitkan adalah peningkatan prestasi pentadbiran (governance).
Saya ingin mencadangkan bahawa Dewan yang mulia ini boleh mewujudkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas agar backbenchers dan wakil rakyat boleh melibatkan diri dengan lebih proaktif dalam proses pentadbiran dan memberi idea dan pandangan yang bernas demi meningkatkan prestasi pentadbiran dan memperkasa demokrasi.
Tuan yang Dipertua,
Akhir sekali saya ingin menyeru Ahli-ahli yang berhormat di dewan yang mulia ini untuk bersama-sama menghayati dan menghargai kepelbagaian budaya, bahasa, dan agama, yang sememangnya merupakan aset unik dan asas kepada pembentukan masyarakat Malaysia yang majmuk dan berbilang kaum.
Kerajaan Negeri Pahang yang merupakan kerajaan Perpaduan adalah terstimoni yang terbaik kepada kepelbagaian budaya dan masyarakat yang terserlah di Pahang. Maka, kita perlu menghargai dan memperkasakan kepelbagaian di Negeri kita demi meningkatkan perpaduan dalam masyarakat.
Nescayanya dengan memelihara dan memperkasa kepelbagaian masyarakat, Negeri Pahang boleh menggunakan kekuatan ini untuk membangunkan negeri kita sebagai negeri yang maju, makmur, progresif, dan menjadi teladan kepada negeri-negeri lain serta di persada dunia.
Dengan ini, saya menjunjung kasih atas titah diraja KDYMM Pemangku Raja.