Skip to content

Bolehkah Hadi jelaskan mengapa sepuluh dari 20 negara terbawah dalam Indeks Persepsi Rasuah 2022 Transparency International yang meliputi 180 negara adalah negara majoriti Muslim sekiranya dia cuba mengatakan yang majoriti orang yang korup di Malaysia adalah dari kalangan orang bukan Islam dan bukan Bumiputera?

Presiden PAS, Hadi Awang, sekali lagi telah menyampaikan serangan yang keji dan rasis, menyeru orang Melayu untuk bersatu padu kerana kononnya kaum ini serang ditipu secara terbuka!

Dia mengatakan yang orang Melayu sedang dipermain-mainkan dan ditipu kerana kealpaan dan kejahilan mereka sendiri dan sedang menjadi mangsa politik negara, dibelenggu dengan rasuah, kerosakan moral, dan perpecahan dalam kalangan mereka sendiri.

Dia menghentam orang Melayu yang bekerja dengan orang bukan Islam dan bukan Melayu, yang dituduhnya sebagai “perompak terbesar” yang memberi dan menerima rasuah.

Ini bukanlah kali pertama pemimpin PAS menyasarkan orang bukan Islam dan bukan Melayu, tetapi dia telah keterlaluan.

Bolehkah Hadi memberikan contoh “perompak” bukan Islam dan bukan Melayu yang memberi dan menerima rasuah ini, yang telah menipu orang Melayu dan orang Islam?

Saya fikirkan, sekiranya Hadi benar-benar percaya yang orang Melayu dan Islam telah ditipu selama lebih dari setengah abad, dia akan memastikan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menggalas tanggungjawab terbesar terhadap perkara ini memandangkan Mahathir telah menjadi Perdana Menteri selama lebih dari 24 tahun!

Sebaliknya, Hadi sokong “Proklamasi Melayu” Mahathir untuk menyelamatkan kaum Melayu!

Adakah “Proklamasi Melayu” Mahathir ini juga merupakan sebahagian dari penipuan orang bukan Melayu dan bukan Islam untuk menipu dan merompak orang Melayu dan Islam di Malaysia?

Adakah Hadi menuduh yang Perdana Menteri yang lain, sehingga ke tiga Perdana Menteri terawal negara yang semuanya juga merupakan Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein, dan juga Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak, Muhyiddin Yassin, dan Ismail Sabri juga semuanya telah “menipu” orang Melayu?

Adakah Hadi cuba mengatakan yang semua semua pemimpin MCA dan MIC sejak dari penubuhan negara, dan juga para pemimpin Gerakan, sebagai penipu dan “perompak”?

Bolehkah Hadi namakan “perompak” bukan Melayu dan bukan Islam yang telah “menipu” orang Melayu selama lebih dari setengah abad sehingga orang Melayu perlu diselamatkan?

Atau adakah Hadi memikirkan yang media sosial pada hari ini memberikan dia hak untuk membuat tuduhan liar dan tidak berasas dan dakwaan yang mengarut?

Kini sudah hampir enam berlalu sejak Hadi membuat tuduhan tidak masuk akal yang kononnya DAP mempromosikan Islamofobia, tetapi Hadi masih gagal untuk memberi secebis bukti sekalipun untuk tuduhannya ini, walaupun DAP pernah bekerjasama dengan PAS selama lebih dari sedekad untuk mewujudkan sebuah Malaysia yang lebih baik.

Hadi masih berhutang empat perkara dengan saya, iaitu:

  • Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, dia menuduh DAP sebagai mempromosikan Islamofobia. Kini, enam bulan sudah berlalu sejak dia membuat tuduhan tidak masuk akal ini dan walaupun dicabar saya berkali-kali, dia masih gagal untuk memberikan sebarang bukti terhadap tuduhan liar ini. Dia adalah satu-satunya pemimpin politik di Malaysia yang membuat tuduhan tanpa sebarang bukti.
  • Semasa pilihan raya kecil Teluk Intan pada bulan Mei 2014, Hadi mengingatkan ahli-ahli PAS bahawa DAP yang membantu PAS semasa gabungan Barisan Nasional (BN) cuba untuk menumbangkan parti tersebut dari mentadbir Kelantan semasa Darurat Kelantan 1977. Dia mengatakan walaupun terdapat banyak perkara yang berbeza di antara DAP dan PAS, seperti mengenai apa yang halal dan haram, alkohol, khinzir, dan hudud, kedua-dua parti ini bersetuju untuk menghapuskan kemiskinan, kezaliman, dan rasuah, dan lain-lain perkara jahat. Adakah DAP mempromosikan Islamofobia ketika membantu PAS pada tahun 1977?
  • Hadi patut tahu sekarang yang DAP bukanlah dalang di sebalik mahupun terlibat dengan episod pada tahun 2018 apabila kerajaan Pakatan Harapan di bawah Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad cuba untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Adakah Hadi akan meminta maaf untuk tuduhan liar dan kejinya terhadap DAP yang cuba mengatakan bahawa DAP adalah “dalang” di sebalik usaha ini?
  • Sejak tahun 2018, Hadi tidak berjaya untuk memberikan satu pun contoh dari 55 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang telah meratifikasi ICERD di mana syiar Islam tergugat atau satu pun contoh dari 36 negara dengan sistem beraja di mana sistem monarki mereka tergugar akibat ratifikasi ICERD.

Kini, Hadi membuat dosa kelima pula dengan menuduh orang bukan Islam dan bukan Melayu sebagai “perompak” yang memberi dan menerima rasuah, dan menipu orang Melayu dan Islam dengan hak mereka selama lebih dari setengah abad. Bolehkah Hadi namakan contoh?

Saya berikan Hadi peluang dan masa selama 48 jam untuk menamakan para “perompak” bukan Islam dan bukan Melayu yang telah memberi dan menerima rasuah serta menipu hak orang Melayu dan Islam selama setengah abad ini.

Sementara mencari jawapannya, bolehkah Hadi juga boleh jelaskan mengapa sepuluh dari 20 negara yang paling korup dalam Indeks Persepsi Rasuah 2022 terbitan Transparency International yang meliputi 180 buah negara di seluruh dunia adalah negara majoriti Muslim sekiranya majoriti orang yang korup di Malaysia ini adalah orang bukan Islam dan bukan Bumiputera?