Ketua Angkatan Muda HARAPAN, YB Woo Kah Leong menempelak hujah sesetengah pemimpin Barisan Nasional (BN) yang menyatakan bahawa BN tiada pilihan dan terpaksa bertanding solo di Negeri Sembilan.
YB Woo yang juga merupakan Ketua DAPSY Kebangsaan mengingatkan bahawa kenyataan sedemikian bukan sahaja tidak menampilkan fakta sebenar, malah merupakan pembohongan semata-mata untuk menutup gelagat tebuk atap yang gagal.
Woo menegaskan bahawa pembubaran DUN Negeri Sembilan adalah disebabkan tindakan khianat oleh 14 ADUN BN di negeri tersebut yang beria-ia untuk menggerakkan usaha tebuk atap. Disebabkan tindakan khianat tersebut, Pakatan Harapan (PH) diperlukan untuk membubarkan DUN berkenaan dan mengumumkan untuk bertanding semua kerusi susulannya.
“Surat Muhyiddin membuktikan bahawa krisis politik Negeri Sembilan bukannya keputusan gopoh-gapah lantaran wakil-wakil UMNO, PAS & Bersatu sudah berkali-kali mengadakan perbincangan dalam pada itu untuk menjayakan konspirasi tersebut.”
Apabila surat Muhyiddin mendedahkan segalanya, kini sesetengah pemimpin BN pula “act victim” dan memutarbelitkan bahawa mereka terpaksa bertanding solo kerana PH sudah merancang untuk bertanding kesemua kerusi. Ini adalah pembohongan dan penafian fakta yang sudah terang lagi bersuluh, malah hipokrit sangat.
Woo Kah Leong mengecam insiden pengkhianatan yang berlaku di Negeri Sembilan bukan sahaja melibatkan ADUN-ADUN biasa, tetapi melibatkan juga seorang Menteri Kabinet merangkap Timbalan Presiden UMNO dalam pada itu.
Disebabkan tindakan khianat tersebut, kerajaan negeri yang diberikan mandat telah menjadi kerajaan minoriti dan menatijahkan DUN dibubarkan.
Woo menekankan bahawa strategi terbaik PH adalah untuk menghentikan kerjasama dengan puak-puak kacang lupakan kulit sedemikian atas tindakan mereka yang gemar menikam dari belakang.
Sekali lagi Woo mengingatkan bahawa krisis Negeri Sembilan tidak mungkin berlaku sekiranya tiada tindakan khianat oleh UMNO BN yang bersekongkol dengan Perikatan Nasional (PN) dan maka tidak wujudnya isu bertanding solo dan sebagainya.
“Dalang sebenar krisis politik Negeri Sembilan sewajarnya berasa malu atas gelagat tebuk atap, bukannya menuding jari kepada pihak lain.”
Ketua Pemuda Pakatan Harapan tersebut menegaskan bahawa, tidak pernah ada mana-mana pihak yang memaksa BN Negeri Sembilan untuk menggerakkan usaha tebuk atap dan mengakibatkan berlakunya krisis susulan.
“BN harus mengambil tanggungjawab atas segala krisis yang berlaku susulan daripada itu, bukannya menyalahkan mana-mana pihak.”
“Ketidakstabilan politik dan krisis sedemikian adalah menjejaskan kesejahteraan rakyat. Hanya dengan pembubaran DUN yang mengembalikan kuasa kepada rakyat, barulah kestabilan politik dapat dikembalikan dan dalang sebenar yang mengakibatkan berlakunya krisis bolehlah dihukum semaksimumnya.