Skip to content

Tergopoh-gapah Akibat Tiada Jalan Keluar

Untuk memenangi negeri Johor, asalnya UMNO BN Johor beria-ia untuk mengambil semua kredit politik atas pelaksanaan projek-projek mega di dalam negeri tersebut.

Namun apabila PMX & Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan menyangkal dengan fakta bahawa kejayaan negeri Johor hari ini adalah hasil susulan usaha gigih kerajaan persekutuan dan juga kerjasama pelbagai pihak, UMNO BN Johor sudah mula rimas & cemas lantaran sudah tidak boleh mengambil “political mileage” dalam pada itu.

Dalam keadaan ketandusan strategi, maka langkah terbaik adalah “SALAHKAN DAP” kerana tidak tahu apa lagi yang boleh digunakan untuk berkempen.

Maka bermulanya suara-suara bahawa “lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP” dan serangan bertubi-tubi dilancarkan terhadap DAP demi memastikan kemenangan kerusi-kerusi UMNO Johor.

Tidak pasti siapa pakar strategi di belakang tabir UMNO Johor yang memberikan idea “genius” sedemikian sehinggalah membuatkan pimpinan UMNO secara keseluruhan dalam keadaan segan & malu lantaran bukan sahaja Presiden & Timbalan Presiden UMNO duduk semeja dengan DAP dalam mesyuarat kabinet, malah kebanyakan kerajaan negeri adalah ditubuhkan di bawah kerangka kerajaan perpaduan yang merangkumi UMNO & DAP, termasuklah negeri Ketua Pemuda UMNO yang sehingga kini masih tidak dapat menunaikan janji untuk meletakkan jawatan EXCO.

Keangkuhan UMNO Johor hari ini adalah disebabkan kemenangan 40 kerusi dalam PRN Johor yang lepas.

Biarpun Tindak Malaysia telah menggunakan fakta untuk menunjukkan bahawa UMNO Johor tidak mampu untuk mentadbir Johor sekiranya PRU & PRN dijalankan serentak pada November 2022.

Tidak pasti sama ada UMNO Johor adalah berlainan dengan UMNO pusat yang diketuai TPM dan UMNO negeri-negeri lain, nampak sangat tidak sehaluan dan merupakan entiti berbeza.

Yang penting adalah untuk memastikan UMNO Johor dinafikan kemenangan sebagaimana pada Mac 2022 untuk memastikan semua parti politik akan terus mengutamakan rakyat dengan dasar kesederhanaan dan kepelbagaian, bukannya lagi dengan retorik lapuk untuk “SALAHKAN DAP” apabila sudah kehilangan hala tuju dalam kempen politik.