Seramai 152 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari DUN Kota Kemuning telah menerima insentif pendidikan berjumlah RM36,550 menerusi Majlis Generasi Cemerlang SPM 2025 DUN Kota Kemuning yang berlangsung di Dewan MBSA Aster malam ini.
Majlis tersebut dianjurkan bagi menghargai pencapaian akademik para pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam peperiksaan SPM serta sebagai galakan untuk mereka meneruskan kecemerlangan ke peringkat pendidikan yang lebih tinggi.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, YB Preakas Sampunathan berkata, pelaburan dalam pendidikan merupakan pelaburan terbaik untuk masa depan negara dan pembangunan modal insan perlu sentiasa menjadi keutamaan.
“Pembangunan sesebuah kawasan bukan sahaja diukur melalui bangunan, jalan raya atau infrastruktur fizikal. Ukuran sebenar kejayaan sesebuah masyarakat adalah kualiti modal insan yang berjaya kita lahirkan.
“Anak-anak muda inilah yang akan menjadi pemimpin, profesional, usahawan dan penggerak masyarakat pada masa hadapan. Oleh itu, pencapaian mereka wajar diraikan dan diberikan sokongan,” katanya.
Daripada jumlah penerima yang diraikan:
- 60 pelajar memperoleh 8A dan menerima insentif RM200 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM12,000;
- 65 pelajar memperoleh 9A dan menerima insentif RM250 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM16,250;
- 23 pelajar memperoleh 10A dan menerima insentif RM300 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM6,900; dan
- 4 pelajar memperoleh 11A dan menerima insentif RM350 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM1,400.
Secara keseluruhannya, sejumlah RM36,550 telah diperuntukkan bagi menghargai pencapaian para pelajar cemerlang di DUN Kota Kemuning.
Dalam ucapannya, YB Preakas turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas usaha berterusan menyediakan peluang pendidikan kepada para pelajar melalui kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Program Matrikulasi serta pelbagai laluan pendidikan tinggi yang lain.
Beliau berkata peluang yang disediakan oleh kerajaan membuka ruang yang lebih luas kepada generasi muda untuk mengejar cita-cita, meningkatkan ilmu pengetahuan dan membina masa depan yang lebih cerah.
YB Preakas turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah menerima tawaran melanjutkan pengajian dan berharap mereka akan memanfaatkan peluang tersebut sebaik mungkin demi kejayaan diri, keluarga dan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa Majlis Generasi Cemerlang SPM ini merupakan tahun ketiga penganjurannya di DUN Kota Kemuning, mencerminkan komitmen berterusan beliau dan pasukannya dalam mengiktiraf serta meraikan pencapaian akademik para pelajar. Menurut beliau, penghargaan kepada pelajar cemerlang hanyalah sebahagian daripada usaha menyeluruh yang dilaksanakan bagi memperkukuh agenda pendidikan di kawasan tersebut.
“Sejak diberi mandat sebagai ADUN Kota Kemuning, pendidikan sentiasa menjadi antara fokus utama kami. Selain insentif kepada pelajar cemerlang, kami turut menganjurkan Seminar SPM, program tuisyen akademik serta pelbagai inisiatif pendidikan bagi membantu pelajar mencapai potensi terbaik mereka,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada usaha berterusan membantu komuniti sekolah di kawasan tersebut, termasuk peruntukan yang telah disalurkan kepada SMK Kota Kemuning 2 bagi menyokong keperluan dan pembangunan sekolah demi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk para pelajar.
Majlis Generasi Cemerlang SPM 2025 DUN Kota Kemuning merupakan antara inisiatif berterusan bagi mengiktiraf kecemerlangan akademik serta menggalakkan budaya pendidikan dalam kalangan masyarakat setempat.