Keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menggantung pemain nombor satu negara Lee Zii Jia daripada mewakili negara selama dua tahun adalah tindakan yang terlalu drastik. Tambahan pula, tiada sebarang sebab munasabah diberikan untuk tindakan tersebut.
Pada masa yang sama, seorang lagi bakat badminton negara, Goh Jin Wei, pemenang pingat emas Olimpik Remaja, turut digantung oleh BAM.
Jika tindakan tersebut adalah untuk memberi amaran kepada pemain BAM supaya "patuh arahan", maka jelas pihak berkuasa tidak berniat untuk mencari serta memperbaiki kelemahan sistemik bagi mengelakkan pemain keluar BAM, sebaliknya mengguna wewenang untuk menekan pemain agar mematuhi arahan mereka yang berkuasa. Ini adalah satu tindakan yang bersifat menindas.
Tindakan sebegini langsung tidak menyelesaikan masalah pokok yang sebenar dan tidak membantu dalam pembangunan sukan negara.
Semangat sukan adalah pendamaian dan bukan penindasan. Sepatutnya, satu penyelesaian menang-menang patut dicari dan bukannya dengan cara membunuh kerjaya sukan pemain nombor satu negara.
Menteri Belia dan Sukan harus memainkan peranan sebagai pendamai antara BAM dan Lee Zii Jia serta Goh Jin Wei, bukannya berdiam diri sehingga isu ini kini mendapat kecaman rakyat Malaysia dan komuniti sukan antarabangsa termasuk Viktor Axelsen, pemain badminton nombor satu dunia.