14hb Mac 2021 merupakan hari yang bersejarah kepada DAP Perak kerana ia merupakan hari untuk Konvensen DAP Negeri Perak yang paling besar dalam sejarah. Sebanyak 309 cawangan DAP atau seramai 2137 perwakilan layak menghadiri konvensyen tersebut. Ia juga merupakan kali terakhir Lim Guan Eng merasmikan Konvensyen Negeri sebagai Setiausaha Agung DAP.
DAP Perak juga merupakan negeri pertama mengadakan Konvensyen Negeri di Malaysia di bawah pematuhan SOP berikutan COVID19. Namun, amat mendukacitakan pada hari yang bersejarah ini terdapat ahli yang menimbulkan ketegangan tanpa terlebih dahulu mengambil langkah memahami keadaan yang dikatakan tidak adil.
Pelbagai tuduhan telah dilemparkan kepada pihak penganjur. Pasukan dan Pengurus Pilihanraya yang ditugaskan oleh DAP pusat telah menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan tegas dan profesional. Mereka bukan ahli DAP dalam negeri Perak dan tiada kepentingan peribadi dalam pemilihan di Perak.
Kejadian ini telah mengguris nama baik dan imej DAP di mata masyarakat. Ia juga telah menyebabkan laporan polis dibuat untuk siasatan polis pada pelanggaran SOP semasa ketegangan.
Ingin saya tegaskan setiap ahli parti perlu mempertahankan nama baik parti dan kesungguhannya dalam memperjuangkan kehidupan rakyat Malaysia yang lebih baik. Saya menyeru Jawatankuasa Disiplin Parti supaya membuka siasatan dan mengambil tindakan tegas secepat mungkin. Ia perlu demi mengembalikan keyakinan masyarakat kepada DAP dan para ahli mengambil iktibar dari kejadian tersebut.