Skip to content

Tindakan MCA dan Gerakan adalah hipokrit

Merujuk kepada pengumuman oleh MCA dan Gerakan yang telah mewujudkan saluran bantuan guaman untuk membantu mereka yang menerima kompaun sebanyak RM10,000 dan RM50,000 kerana mengingkari ketetapan prosedur operasi standard (SOP), seperti mana yang diwartakan mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, saya berpendapat bahawa tindakan oleh MCA dan Gerakan ini adalah hipokrit dan ini merupakan percubaan mereka untuk melepaskan tanggungjawab mereka sebagai sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

MCA dan Gerakan masing-masing telah mengumumkan saluran bantuan guaman melalui Pemuda MCA dan Naib Presiden Kebangsaan Gerakan Dato’ Baljit Singh yang kononnya ingin membantu rakyat yang telah menerima kompaun tersebut. Ingin saya menanyakan kepada MCA dan Gerakan, adakah MCA tidak mempunyai perwakilan di dalam Jemaah Menteri dan Kabinet? Adakah Gerakan yang baru sahaja menyertai Perikatan Nasional langsung tidak mempunyai pengaruh terhadap dasar Kerajaan Persekutuan? Mengapa mereka perlu mengambil tindakan sebegini sedangkan sebagai sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, mereka mampu mengatasi masalah ini secara langsung dalam pengubalan dasar?

Ketika pandemik wabak COVID-19, sememangnya Kerajaan mempunyai peranan untuk memastikan pematuhan kepada SOP yang telah ditetapkan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 melalui peraturan yang berkenaan. Namun di bawah pemerintahan Perikatan Nasional, selain daripada SOP yang tidak konsisten, kita juga menyaksikan pengamalan sikap “antara dua darjat” di kalangan pemimpin Perikatan Nasional. Situasi sebegini sememangnya mendatangkan cabaran khususnya dari segi pemahaman SOP di antara pihak penguatkuasaan dan orang ramai, dan keadilan serta akauntabiliti dari segi pelaksanaan penguatkuasaan.

Susulan daripada itu, undang-undang yang sepatutnya membantu untuk memutuskan rantaian penularan kini menjadi satu dasar yang mencekik rakyat. Menurut laporan akhbar The Star semalam, seorang pemuda umur 17 yang berasal dari Melaka telah dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana tidak mengimbas kod MySejahtera. Adakah seorang pemuda ini mampu membayar kompaun yang begitu tinggi?

Sekiranya MCA dan Gerakan ikhlas untuk membantu rakyat, saya berharap mereka dapat menggunakan saluran yang tepat, iaitu bertindak secara langsung terhadap Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 ini. Biarlah rakyat tahu bahawa mereka ini benar-benar sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan bukan hipokrit yang cuba meraihkan sokongan rakyat.