Skip to content

Transformasi ladang menjamin biosekuriti makanan

Pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memutuskan bahawa wabak penyakit demam babi Afrika atau African Swine Fever (ASF) dikeluarkan dari status bencana negeri dalam Mesyuarat Pengurusan Bencana Negeri pada 7 Jun 2023.

Hal ini kerana wabak ASF di Pulau Pinang kini sudah terkawal dan tiada lagi kes baru sejak pelupusan terakhir pada 15 Mac 2023.

Sempena sesi kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Tuan Chow Kon Yeow pada petang ini, saya bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Negeri Pulau Pinang telah membangkitkan isu pembangunan semula industri penternakan babi.

Berdasarkan maklumat DVS negeri, sebanyak 103 ladang telah beroperasi sepenuhnya (full-scale operation) dengan populasi babi sebanyak 240,004 ekor di Pulau Pinang dan bilangan ini telah mencapai kadar peratusan Tahap Sara Diri (SSL) melebihi 100%.

Namun, terdapat 83 ladang yang gagal mendapatkan lesen operasi dan telah menerima sama ada Notis Pemberhentian Operasi, Pengosongan atau Penutupan Ladang.

Pihak DVS negeri akan terus menjalankan pemeriksaan ke atas baki 62 ladang gagal pada tahun ini bagi memastikan ladang-ladang ini melakukan langkah pembetulan yang ditetapkan.

Usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan sistem ladang tertutup bagi penternakan babi telah dijalankan sejak tujuh tahun lepas.

Namun begitu, masih terdapat sebilangan kecil penternak yang masih belum menaiktaraf sistem sedia ada ke sistem ladang tertutup seperti yang telah diwartakan dalam Enakmen Penternakan Babi sejak tahun 2016.

Perlu saya ingatkan, keberkesanan sistem ladang telah tertutup terbukti apabila jumlah kes positif ASF di Seberang Perai Utara (SPU) adalah terendah walaupun daerah SPU mempunyai bilangan ladang yang paling banyak di antara lima daerah negeri. Biosekuriti makanan akan terjamin dengan adanya transformasi ladang.

Justeru, saya menggalakkan bahawa penternak yang terlibat turut mengambil langkah yang sewajarnya dalam masa terdekat untuk memastikan operasi ladang mematuhi segala piawaian dan syarat yang telah ditetapkan.