Salam sejahtera, salam Impian Johor, salam Bersih.
Yang Berhormat Datuk Speaker,
Pertama sekali, saya ingin merakamkan penghargaan atas peluang yang diberi untuk membahaskan bajet Negeri Johor 2018. Terima kasih dan syabas kepada rakan-rakan Ahli Yang Berhormat dalam dewan yang mulia ini atas perbincangan dan pertukaran pandangan yang sihat selama 54 bulan yang lalu.
Negara kita milik kita semua. Saya percaya sebagai anak watan Malaysia, ramai yang ingin dan sanggup menyumbang idea serta tenaga bagi membangunkan negara tercinta. Negara kita kini berada di persimpangan yang amat genting. Jalan yang kita pilih hari ini akan menentukan nasib rakyat dan negara pada masa depan. Nak berubah jalan pada hari ini selepas 60 tahun, mungkin ada yang berasa susah. Namun jika jalan sekarang ini hanya akan membawa kita ke tebing curam menerjun yang lurahnya penuh binatang buas bergelar Korupsi, Kronisme, dan Kleptokrasi, kita tidak punya pilihan kecuali untuk berubah. Perubahan ini nescaya akan membawa kita ke sebuah destinasi sebagai Bangsa Malaysia dan Bangsa Johor yang lebih hebat lagi.
Yang Berhormat Datuk Speaker,
Jika kita telitikan betul-betul bajet yang dibentang oleh YAB Menteri Besar pada hari Khamis yang lalu, kita akan mendapati bahawa iklim ekonomi tidak seceria seperti yang diuar-uarkan parti pemerintah.
Jumlah hasil yang diunjur menurun sebanyak RM100 juta kalau berbanding dengan bajet 2017. Daripada semua jenis pendapatan hasil ini, premium bagi geran tanah turun paling mendadak. Unjuran premium geran tanah menyusut daripada RM 425.7 juta dalam bajet 2017 kepada RM 265 juta dalam bajet 2018. Dalam kata lain, berlaku pengurangan sebanyak 38%.
Saya tidak berasa hairan akan pengurangan ini kerana ianya mencerminkan realiti pada masa kini, yakni, tidak ramai orang yang berani melabur dalam sektor hartanah. Yang saya hairan ialah unjuran YAB Menteri Besar sepanjang masa ini terlalu konservatif dan “play safe”.
Contohnya, jika kita menganalisa bajet pertama yang dibentangkan YAB Menteri Besar pada penggal ini iaitu bajet 2014, perbezaan antara unjuran dan jumlah sebenar bagi premium tanah ialah 250%. Hasil diunjur ialah RM130 juta, manakala hasil sebenar ialah RM458 juta.
Pada tahun berikutnya, dalam bajet 2015, unjuran premium tanah ialah RM190 juta, manakala jumlah sebenar RM472 juta, iaitu perbezaan sebanyak 150%.
Kita semua sedia maklum bahawa bajet setiap tahun disediakan berasaskan pencapaian bajet tahun sebelumnya. Namun dalam bajet YAB Menteri Besar, kita mendapati bahawa wujud jurang yang amat besar antara unjuran premium geran tanah berbanding jumlah sebenar. Ya betul, bagi tahun 2016 dan 2017, kerajaan meletakkan unjuran yang lebih tinggi. Namun terbukti ramalan kerajan adalah salah, terutamanya bagi tahun 2017. Unjuran hasil terlanjak tinggi dan tidak mencerminkan realiti ekonomi pada tahun ini. Justeru, untuk Bajet 2018, kerajaan telah menyelaraskan unjuran dengan mengurangkannya secara mendadak hampir 40%!
Saya sarankan dipecat sahaja penasihat ekonomi YAB Menteri Besar yang membuat analisa tentang unjuran hasil tersebut. Saban tahun buat pengiraan salah, sama ada terlalu sangat kurang ataupun terlanjak lebih sangat: tak pernah tepat.
Jangan kerajaan anggap ini perkara kecil. Unjuran ekonomi yang salah akan menyebabkan kerajaan membuat keputusan dasar yang salah. Pendekatan “play safe” yang menyebabkan unjuran yang terlalu konservatif dalam bajet-bajet yang lepas telah mengehadkan imaginasi kerajaan negeri untuk melaksanaan dasar-dasar yang lebih berani demi kesejahteraan rakyat negeri Johor. Bayangkan, jika Pakatan Harapan yang menjadi kerajaan negeri dan membentangkan bajet, kita sudah mampu untuk mengembangkan program kad kesihatan kepada semua isi rumah anak negeri berpendapatan bulanan RM5000 ke bawah sejak dua tahun yang lalu dan bukan hanya terhad kepada golongan asnaf sahaja seperti sekarang.
Yang Berhormat Datuk Speaker,
Kalau kita menelitikan bajet 2018 lagi, akan timbul persoalanan bagaimana kerajaan dapat mengimbangkan penurunan hasil premium tanah sebanyak RM161 juta? Adakah kerajaan akan mencari sumber pendapatan yang baru ataupun mengurangkan perbelanjaan? Adakah kerajaan akan mengikut jejak kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor, iaitu melaksanakan dasar kewangan yang telus seperti tender terbuka untuk membendung rasuah, menutup kebocoran sekaligus menjimatkan kos? Jelas sekali tidak. Kerajaan BN ini memilih jalan ikat perut rakyat melalui bajet austerity.
Bajet kerajaan kali ini tidak lari daripada perumpamaan “indah khabar dari rupa”. Di satu belah, ucapan bajet Menteri Besar menceritakan projek-projek yang telah atau akan dilaksanakan. Di satu belah lagi, dalam buku bajet sebenarnya sarat berita buruk yang tidak masuk dalam cerita YAB Menteri Besar. Contohnya, demi untuk menampung penurunan hasil kerajaan negeri, unjuran denda lewat bayar cukai tanah meningkat daripada RM4.5 juta kepada RM13 juta, peningkatan sebanyak 192%! Unjuran segala hasil denda dan hukuman meningkat sebanyak RM10 juta ataupun 74%.
Adakah ini bermaksud kerajaan negeri akan menjadikan sebahagian KPI untuk memerah bayaran denda daripada rakyat ketika masa ekonomi masih merundum? Inilah bajet ikat perut rakyat. Masa ekonomi naik, rakyat dilupakan, masa ekonomi turun, rakyat kena perah. Kerajaan jenis apa ini yang mensasarkan keuntungan daripada peningkatan kesalahan dan perlanggaran undang-undang? Jawabnya hanya satu: kerajaan yang tidak pandai menguruskan ekonomi, kurang imaginasi dan tidak menghiraukan kesusahan rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker,
Segala alamat dalam bajet 2018 ini jelas memberitahu kita bahawa ekonomi tahun depan agak muram. Kerajaan negeri suka menunjuk-nunjuk surplus dalam gedungnya setiap tahun sejak 2013. Kini dalam musim kemarau ekonomi, kerajaan seharusnya membuka gedung surplus tersebut supaya rakyat tidak kebuluran. Apakah jenis kerajaaan yang tidak kira musim baik atau musim buruk, rakyat dipaksa untuk mengikat perut. Izinkan saya memetik kata-kata tokoh pemikir tersohor abad ke-20, John Maynard Keynes yang idea-ideanya telah menjadi pedoman kepada pemimpin-pemimpin dunia masa kini: “to refrain from spending at a time of depression not only fails, from the national point of view to add wealth – it is profligate: it means waste of available man-power, and waste of available machine power, quite apart from human misery for which it is responsible.” (Keynes, 1934). Dalam ekonomi ini, kerajaan patut memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada rakyat bukan mengetatkan lilitan ikat perut rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker,
Dalam bajet kerajaan persekutuan tahun depan, peruntukan untuk perkhidmatan kesihatan awam dipotong secara drastik. Contohnya, peruntukan bekalan ubat-ubatan, dipotong sebanyak RM19 juta. Manakala rancangan kesihatan untuk para wanita iaitu saringan mamogram percuma dan vaksinisasi HPV percuma telah dimansuhkan. Selama ini perkhidmatan kesihatan awam kita sememangnya sudahpun berdepan dengan pelbagai cabaran seperti kekurangan katil dan ruang hospital, ketiadaan ubat-ubatan, dan yang terbaru, gunasemula barang-barang hospital yang sepatutnya bersifat pakai-buang. Kini dengan pengurangan pelbagai peruntukan penting, masalah sektor kesihatan awam akan menjadi lebih kronik lagi. Keadaan ini memaksa rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan daripada sektor swasta. Sudah tentu ini bermaksud kos penjagaan kesihatan rakyat akan meningkat.
Dalam masa kerajaan persekutuan gagal untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang optimum untuk rakyat, apa pula yang dilakukan oleh kerajaan negeri kita terutamanya untuk anak negeri Johor dalam aspek ini? Berbeza dengan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor yang sanggup masuk campur untuk membela hak kesihatan rakyat di negeri-negeri tersebut, kerajaan negeri Johor lebih berminat untuk memastikan keuntungan hospital swasta terpelihara. Bagi rakyat Pulau Pinang dan Selangor, sekurang-kurangnya ada kerajaan negeri yang menjaga mereka di waktu kerajaan persekutuan gagal berbuat demikian. Bagi rakyat Johor pula, sudah jatuh lagi ditimpa tangga: kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri seakan-akan tidak menghiraukan kesihatan rakyat.
Saya berpendapat bahawa kerajaan negeri perlu berusaha lebih kuat lagi dalam aspek kesihatan rakyat Johor. Benar, kesihatan merupakan bidangkuasa persekutuan, namun seperti yang saya sebut tadi, dalam masa kerajaan persekutuan gagal memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik, kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab moral untuk campur tangan. Cadangan saya ialah, bagi golongan berpendapatan bulanan RM3000 dan ke bawah, kerajaan negeri patut memberikan subsidi setiap kali mereka mendapatkan perkhidmatan doktor, tak kira di klinik awam mahupun swasta.
Berbanding program-program kesihatan rakyat di Pulau Pinang dan Selangor, skim kerajaan negeri Johor jauh ketinggalan. Skim Johor yang diperuntukkan RM1.9 juta sebenarnya ialah skim insurans untuk golongan yang paling miskin sahaja. Sasaran ini terlalu kecil, sikit dan tidak mencukupi berbanding keperluan terdesak masa kini. Kos kesihatan bukan sahaja beban kepada golongan asnaf malah ia beban yang besar kepada golongan pekerja terutamanya isi rumah berpendapatan rendah dan menengah. Jika bajet Pulau Pinang yang hanya RM1.3 billion mampu untuk memberi rawatan percuma klinik swasta kepada hampir 200 ribu isi rumah dengan peruntukan RM60 juta, takkan bajet Johor yang lebih tinggi 15% daripada Pulau Pinang hanya mampu memberikan insurans kesihatan kepada 15,724 orang individu sahaja dengan peruntukan RM1.9 juta? Dalam keadaan ekonomi yang lembab, kerajaan wajar memastikan keluarga yang bukan golongan asnaf tidak jatuh ke dalam golongan asnaf disebabkan bebanan kos kehidupan yang asas seperti kesihatan semakin berat. Buat apa kerajaan negeri melabur dalam hospital swasta tetapi kesihatan anak negeri Johor sendiri terabai?
Yang Berhormat Datuk Speaker,
Izinkan saya bangkitkan beberapa isu kawasan. Tapi terlebih dahulu, memandangkan ini merupakan sesi bajet negeri yang terakhir sebelum tamatnya penggal Dewan Negeri untuk kita menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada rakyat dan pengundi Senai yang telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat sebagai wakil mereka dalam dewan ini. Terima kasih penduduk Senai.
Berbalik kepada isu kawasan Senai, pertama sekali, satu U-turn diperlukan di jalan utama di Saleng. Saya faham bahawa JKR telah menutup semua simpang keluar masuk kecuali simpang Kampung Saleng atas faktor keselamatan orang awam. Namun, orang ramai masih memerlukan satu U-turn untuk pusing balik ke arah Kulai kerana kawasan komersil dan industri yang terletak di kawasan sebelah sana.
Buat masa ini, ramai pengguna jalan raya menggunakan simpang masuk Pejabat Lebuhraya, iaitu di lokasi tol Senai dahulu, untuk pusing balik ke arah utara. Semua orang tahu bahawa tidak dibenarkan untuk U-turn di sana. Tapi apa boleh buat, jika tidak buat U-turn di lokasi tersebut, pengguna jalan terpaksa berjalan 3-5km lagi untuk membuat pusingan balik.
Setelah membuat kajian trafik lokasi tersebut dan mengambil maklum permintaan pengguna jalan di sana, saya ingin cadangkan agar JKR membina satu U-turn yang lebih selamat untuk arah ke utara dan selatan. Saya berharap kerja ini akan dipercepatkan demi keselesaan dan keselamatan trafik di kawasan Saleng.
Isu kedua ialah tentang masalah longgokan sampah dan pembakaran sampah yang kian serius di kawasan Saleng. Saya telah bangkitkan isu ini sejak saya dipilih sebagai wakil rakyat Senai dalam dewan yang mulia ini pada 2013. Namun, sehingga kini, sudah empat tahun, masalah ini masih belum dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa. Kilang tersebut telahpun disabitkan kesalahan melakukan pembakaran haram dalam kawasan kilangnya pada tahun 2015. Walaupun sudah kena tangkap dua tahun lalu, tahun ini, kilang yang sama didapati membuang sampahnya di luar kawasan kilang dan melakukan pembakaran secara terbuka pada waktu malam. Adakah pengusaha kilang mempunyai perlindungan istimewa daripada pihak berkuasa sehingga berani melakukan kesalahan yang sama berulang kali?
Yang Berhormat Datuk Speaker,
Bayangkanlah kehidupan orang kampung yang tinggal dalam lingkungan 1km dari lokasi tersebut. Setiap hari, bangun tidur sahaja akan berdepan udara berbau busuk dan tercemar. Pihak berkuasa tempatan bukannya tidak tahu tingkah laku kilang tersebut, tetapi mereka buat-buat tidak tahu. Kompaun yang dikenakan sebelum ini jelas tidak cukup untuk mengekang perlakuan tidak bertanggungjawab pengusaha kilang sebegini. Pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi berkaitan perlu mengambil tindakan yang lebih keras agar insiden ini tidak berulang lagi. Jangan pertaruhkan kesihatan penduduk Johor dan Senai!
Yang Berhormat Datuk Speaker,
Isu seterusnya ialah tentang masalah tempat letak kereta di kawasan komersil Indahpura. Bayangkan, terdapat empat buah bank yang berada dalam lingkungan 100 meter. Pekerja-pekerja keempat-empat bank tersebut pun telah melebihi 100 orang. Kalau seorang pekerja memandu sebuah kereta, bina satu blok tempat letak kereta bertingkat pun tidak mencukupi. Ini belum ambil kira lagi pelanggan bank yang lebih suka meletak kereta mereka sedekat mungkin dari destinasi mereka, kalau boleh nak “parking” betul-betul di hadapan kedai.
Kita boleh faham mengapa orang ramai tidak mahu meletak kereta jauh sedikit dan berjalan kaki ke destinasi. Ini disebabkan kemudahan penjalan kaki yang serba kekurangan. Pertama, tiada laluan berbumbung dari satu blok ke blok yang lain, bila panas terpaksa bermandi peluh, bila hujan basah kuyup. Keduanya, tiada laluan kerusi roda ataupun yang mesra warga emas di antara blok. Ketiga, faktor keselamatan terutamanya untuk wanita, jika parking terlalu jauh untuk pergi ke bank, takut pula menjadi mangsa ragut. Justeru, semua orang berpusu-pusu untuk meletak kereta sedekat mungkin.
Justeru, saya menyeru Majlis Perbandaran Kulai untuk ambil contoh daripada pembangunan kawasan Sutera Utama. Pihak Berkuasa Tempatan boleh bekerjasama dengan pusat membeli-belah untuk membina bumbung tinggi yang menghubungkan semua blok kedai dan pusat membeli belah. Mungkin majlis perbandaran boleh menggalakkan pengusaha tempat letak kereta swasta untuk memberikan diskaun khas kepada pekerja-pekerja di pejabat sekitar kawasan Indahpura untuk meletakkan kereta mereka di tempat letak kereta AEON dari Isnin ke Jumaat.
Saya sedia maklum bahawa ahli majlis ada mencadangkan untuk membina sebuah tempat letak kereta bertingkat. Namun, penyelesaian yang lebih mudah, murah dan cepat untuk dilaksana ialah dengan mempertingkatkan kemudahan pejalan kaki. Ini lebih realistik. Janganlah membazir duit untuk bina satu blok tempat letak kereta baru yang akhirnya menjadi gajah putih kerana tiada orang yang sudi menggunakannya disebabkan jauh dan susah untuk berjalan ke destinasi mereka: balik-balik isu yang sama, kemudahan pejalan kaki.
Yang Berhormat Datuk Speaker,
Isu terakhir berkait rapat dengan integriti kerajaan negeri dan integriti YAB Menteri Besar sendiri. Pada bulan Mac yang lalu, kita dikejutkan dengan dakwaan bahawa YAB Menteri Besar sendiri telah dituduh menerima wang sejumlah RM12 juta yang mana RM11.2 juta dalam bentuk tunai daripada pemaju untuk mengubah status perumahan lot bumiputera kepada lot bukan bumiputera. Adakah tuduhan ini benar?
Semua dakwaan ini merupakan kenyataan seorang saksi dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saksi ini tidak lain dan tidak bukan merupakan orang tengah dalam semua transaksi tersebut. Saya telah dimaklumkan tentang kenyataan saksi tersebut setelah ada pihak memuatnaik dokumen-dokumen ke laman web.
Daripada pendedahan tersebut, kita mendapati bahawa wang yang dibayar kepada YAB Menteri Besar, EXCO dan orang tengah hampir sama dengan jumlah sumbangan pemaju kepada Tabung Perumahan Negeri Johor, iaitu RM40 juta. Dalam kata lain, tabung ini telah rugi besar akibat penyelewengan kerajaan.
Ini bukan perkara kecil, tetapi melibatkan hak rakyat dan negeri Johor. Justeru, saya merafak sembah ke bawah Duli Tuanku Sultan Johor agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat pendedahan ini dan sekaligus membersihkan nama baik kerajaan Tuanku jika didapati kerajaan negeri tidak terlibat. Ampun Tuanku.
Yang Berhormat Datuk Speaker,
Walaupun tidak tentu lagi siapa yang akan kembali ke dewan yang mulia ini selepas Pilihan Raya Umum nanti, harapan besar rakyat ialah tertubuhnya sebuah kerajaan yang bersih, amanah dan peduli rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri Johor Darul Takzim. Hidup rakyat.
Sekian, terima kasih.