Skip to content

Ucapan oleh ADUN Mengkibol, Tan Hong Pin semasa membahaskan Belanjawan Negeri Johor 2018

Terima kasih kepada YB Tan Sri Speaker atas peluang yang diberikan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet tahun 2018.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk merafak sembah tahniah kepada Tuanku Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena Hari Keputeraan Tuanku pada 22 November yang lalu.

Pada 27 November yang lalu, suatu Bajet yang mengelirukan telah dibentangkan di Dewan yang mulia ini. Saya berharap pihak kerajaan dapat memberikan penjelasan secara terperinci berkenaan kekeliruan yang timbul supaya tidak berlakunya salah faham ke atas usaha murni kerajaan.

YAB Menteri Besar telah mengumumkan banyak projek infrastruktur air yang bakal dijalankan di negeri Johor melalui peruntukan daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2018. Antaranya 12 projek infrastruktur air yang menelan peruntukan sebanyak RM925.6 juta dan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang menelan peruntukan RM5 juta, bermaksud jumlahnya RM930.6 juta untuk projek-projek berkaitan air akan dijalankan pada tahun 2018 daripada peruntukan Kerajaan Persukutuan. Memang projek-projek itu wajar dilaksanakan demi kepentingan dan manfaat seluruh warga Johor. Bagaimana pun, jika dibaca bersama Bajet Kerajaan Persekutuan tahun 2018 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri di Parlimen pada 27 Oktober 2017 yang lalu angka-angka yang disebut oleh YAB Menteri Besar telah menimbulkan banyak kekeliruan, adalah diharapkan supaya Kerajaan memberikan penjelasan yang lebih terperinci berkenaan angka-angka ini.

Daripada Bajet Kerajaan Persekutuan tahun 2018, peruntukan yang diberikan di bawah perkara 06400 Rancangan Bekalan Air Negeri Johor, bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) hanyalah RM10,790,000 bagaimanakah angka 930.6 juta yang disebut oleh YAB Menteri Besar itu diperolehi? Adakah angka ini merupakan jumlah terkumpul daripada tahun-tahun sebelum ini iaitu ditambahkan dengan peruntukan dari tahun-tahun sebelum ini bawah perkara yang sama, iaitu 34.5juta (2017) 57 juta (2016) 68 juta (2015) 69 juta (2014) dan 59 juta (2013), itu pun, jumlahnya sejak Bajet 2013 sehinggalah tahun hadapan 2018 hanyalah sekadar RM297.5 juta sahaja masih jauh daripada 930.6 juta yang tersebut tadi dan itu pun belum kita mengira wujudnya perbelanjaan sebenar sesetengah peruntukan ini yang jauh lebih rendah daripada angka anggaran.

Yang Berhormat Speaker,

Minta maaf kerana saya ingin menyifatkan Bajet 2018 yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar pada Khamis yang lepas ini bukan sahaja bukan ibu atau bapa kepada segala Bajet seperti yang disifatkan oleh YB Puteri Wangsa pada hari semalam, malah ianya dengan maaf ingin saya sifatkan sebagai sebuah Bajet Kaset Rosak yang asyik berulang-ulang bermainkan lagu yang sama, sebuah Bajet Copy and Paste atau Cut and Paste daripada bajet tahun-tahun yang lepas.

Mungkin disebabkan semakin dekat menjelang PRU14, kerajaan seolah-olah tidak bersabar dan sangat terdesak untuk menunjukkan report card yang cantik seolah-olah kononnya kerajaan negeri yang diterajui oleh UMNO-BN adalah berbeza dengan kerajaan persekutuan yang diterajui oleh MO1.

Dalam Ucapan Perbahasan YAB Menteri Besar yang menyenaraikan sebanyak 153 titik sentuhan, kononnya lebih banyak dan lebih hebat jika berbanding dengan kerajaan Pulau Pinang dan Selangor seperti yang disebut oleh YB Kukup semalam. Sebanyak 24 projek air disenaraikan melalui peruntukan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Saya sokong penuh jika kesemua projek-projek tersebut dilaksanakan secara bersungguh-sungguh demi kepentingan seluruh rakyat Johor. Bagaimana pun, saya bimbang pengumuman yang tersebut hanyalah sekadar gimmick politik yang digunakan sebagai umpan untuk memancing undi memandangkan ini merupakan Bajet terakhir menjelang PRU14.

Kalau kita hanya membaca Bajet 2018 memang nampak macam hebat dengan adanya 153 titik sentuhan seperti yang diwar-warkan atau diheboh-hebohkan oleh YB Kukup. Namun jika ianya dibaca secara bersama dengan Bajet-Bajet yang lepas ianya telah menonjolkan kelemahan kerajaan negeri Johor yang diterajui UMNO-BN seperti mana keadaannya di peringkat persekutuan, terima kasih kepada YB Kukup kerana telah memberikan idea dan peluru kepada kami. Oleh sebab itu, saya sifatkan Bajet kali ini sebagai Bajet Copy and Paste atau Cut and Paste, semata-mata untuk kononnya tambahkan titik sentuhannya supaya ianya nampak macam cantik, nampak macam hebat.

Dalam 24 projek berkaitan air yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar minggu lepas sekurang-kurangnya dapat saya kesan 6 projek pernah diumumkan semasa YAB Menteri Besar membentangkan Bajet 2017 pada 17 November tahun 2016 antaranya ialah :

  1. Pembinaan 2 buah telaga tiub di Kota Tinggi, cuma kali ini diperincikan lokasi telag tiub tersebut
  2. Pemasangan sistem pemantauan kualiti air di Sg Johor
  3. Pelaksanaan pengurusan lembangan sungai secara bersepadu (IRBM) di Sungai Johor dengan 10 juta untuk 5 tahun dan 2 juta setiap tahun
  4. Kerja-kerja pembaikan dan pemasangan peralatan pengukuran gegaran di LRA Gunung Pulai
  5. Penyediaan Pelan Kecemasan Empangan (ERP) bagi Empangan Juaseh, Segamat
  6. Pembinaan LRA Kahang yang menelan perbelanjaan RM125 juta, cuma kali ini jumlahnya dikurangkan kepada RM100 juta

Senarai ini belum termasuk pembinaan LRA Kahang dan LRA Buloh Kasap, Segamat yang diumumkan pada 19 November tahun 2015 semasa pembentangan Bajet 2016. Jumlahnya sekurang-kurangnya 7 projek yang berulang-ulang daripada Bajet lama, belum lagi termasuk projek-projek seperti Projek Bekalan Air Luar Bandar yang pernah diumumkan juga dalam Bajet tahun 2015 (13 November 2014), Projek Sumber Air di pelbagai daerah yang tidak diperincikan butirannya adakah projek-projek yang bakal dijalankan pada hadapan ini juga pernah disebut beberapa tahun yang lepas?

Kalaulah menggunakan titik-titik sentuhan yang lama dan digunakan berulang-ulang kali, apakah hairannya 153 titik sentuhan ini? Kalaulah dimasukkan dengan cerita lama zaman P. Ramlee beribu titik sentuhan boleh dimasukkan. Apakah yang dibangga-banggakan oleh YB Kukup dengan 153 titik sentuhan ini?

Perkara ini menonjolkan ketandusan idea dan kelemahan perancangan pihak kerajaan khasnya dalam perkara asas seperti isu air. Hampir setiap kali saya menyertai perbahasan dalam Dewan yang mulia ini saya bangkitkan isu bekalan air di sekitar Kluang. Antaranya termasuklah meminta kerajaan supaya mempercepatkan pembinaan Empangan Kahang dan Loji Rawatan Air Kahang secara serentak supaya Loji sempat beroperasi sebaik sahaja Empangan siap dibina. Kini Empangan Kahang sudah siap dibina, malah air di empangan bukan sahaja telah penuh malah telah melimpah betapa ruginya air itu hanya dapat kita lihat tetapi tidak boleh diminum. Keadaan sekarang seumpama kita membuat sebuah kereta tetapi tidak dibuatkan enjinnya sekali, bukankah ianya sekali lagi menunjukkan kelemahan pengurusan kerajaan dan sikap degil kerajaan mengambil kira pandangan daripada pihak pembangkang dan akhirnya rakyat merasai kesusahan itu disebabkan kelemahan dan kesempitan fahaman politik pimpinan.

Pada tahun lepas, semasa membentangkan Bajet untuk tahun ini, YAB Menteri Besar telah mengumumkan suatu projek pemindahan air dari Empangan Kahang ke LRA Sembrong Timor yang dijangkakan siap pada tahun 2017 sebagai rancangan sementara pembinaan LRA Kahang yang dijangkakan siap pada tahun 2018. Sekarang sudah bulan November, sebulan lagi akan berlalu tahun 2017 dan kita akan menyambut tahun 2018 apakah telah terjadi kepada dua projek air ini? Loji Rawatan Air tiada paip pemindahan air pun tiada, yang ada hanyalah sekali lagi janji manis daripada kerajaan. Sampai bilakah rakyat Johor khususnya penduduk-penduduk di sekitar Kluang hendak disuapkan dengan janji-janji manis daripada kerajaan tanpa pelaksanaan yang serius dan bersungguh-sungguh? Maka saya minta, barang berapa titik sentuhan yang disebut pun, saya minta supaya kerajaan serius, bijak dan bersungguh-sungguh dalam membuat rancangan, “Plan the work, Work the Plan”, dengan izin.

Pada masa yang sama, saya meminta supaya pihak kerajaan mempertimbangkan semula secara serius pelaksanaan projek pemindahan air dari Empangan Kahang ke LRA Sembrong Timor sementara menunggu LRA Kahang siap dibina pada tahun 2019, itu pun jika bermula dan siap dibina mengikut jadual.

Menurut jawapan kementerian tenaga, teknologi hijau dan air di Dewan Rakyat, pembinaan LRA Kahang dijangkakan siap dalam masa 18 bulan dan projek pemindahan air tidak akan dijalankan. Adakah ini secara tidak langsung bermaksud penduduk di sekitar Kluang akan dihantui masalah gangguan bekalan air bagi tempoh sekurang-kurangnya 2 tahun akan datang? Oleh yang demikian, projek pemindahan air dari Empangan Kahang ke LRA Sembrong Timor wajar dimulakan segera supaya masalah gangguan bekalan air dapat diatasi dalam masa tersingkat sementara menunggu LRA Kahang siap dibina pada tahun 2019.

Titik-titik sentuhan dalam aspek lain seperti pengangkutan, High Speed Rail dan Landasan Berkembar Elektrik Gembas-Johor Bahru juga digunakan berulang-ulang kali untuk dijadikan sebagai salah titik sentuhan kononnya untuk menunjukkan kehebatan kerajaan yang diterajui UMNO-BN.

Bagi projek Landasan Berkembar, seawal pada suku pertama tahun 2014, proses pengambilan tanah telah berlangsung dan telah siap, kontrak pembinaan telah ditandatangani dengan Syarikat Asing China Railway pada Disember 2015, namun sehingga sekarang pembinaannya masih belum bermula, hanya sekali lagi janji kosong sahaja. Disebabkan kelewatan tersebut, kini rakyat Johor termasuk penduduk di sekitar Kluang menghadapi masalah apabila kami bergerak ke destinasi selepas Gemas ke utara pantai barat seperti Kuala Lumpur. Semua penumpang dari selatan terpaksa berhenti di Gemas, dan membuat transit di Stesen Gemas untuk meneruskan perjalanan ke utara. Kadang-kala kami terpaksa berhenti di Stesen Gemas pada tengah malam dan bermalaman di Gemas sementara menunggu tren seterusnya.

Apakah yang menyebabkan kelewatan projek ini? Apakah kelewatan ini sesuatu yang dibangga-banggakan oleh kerajaan sehingga berkali-kali disebut semasa pembentangan Bajet oleh YAB Menteri Besar?

Terima kasih kepada kerajaan atas beberapa inisiatif yang dilakukan untuk meningkatkan keselamatan lalu-lintas di FT50, Jalan Batu Pahat. Bagaimana pun, jalan yang sama FT50 juga yang merentasi bandar Kluang, Jalan Mersing yang juga perlu diberi perhatian oleh kerajaan. Memandangkan lalu-lintas yang semakin sibuk di Jalan Mersing keselamatan lalu-lintas wajar diberikan keutamaan khasnya meningkatkan keselamatan penjalankan kaki. Pada tahun 2015, saya telah meminta JKR membina tiga buah jejantas di Jalan Mersing bagi memudahkan penduduk di sekitar melintasi jalan di samping mengurangkan kemalangan jalan yang melibatkan penjalan kaki. Namun sehingga sekarang permohonan tersebut masih belum diluluskan oleh pihak JKR. Walaupun kita faham bahawa jalan tersebut merupakan jalan persekutuan yang merupakan bidang kuasa kerajaan persekutuan namun kerajaan negeri tidak seharusnya mendiamkan diri sahaja apabila perkara ini melibatkan isu keselamatan nyawa penduduk.

Walaupun kita maklum bahawa kerajaan telah memulakan pembinaan jalan pintas menyambungkan Jalan Haji Manan ke Jalan Niyor bagi mengurangkan kesibukan lalu-lintas di Jalan Niyor sebagai suatu pendekatan untuk mengurangkan kemalangan jalan di Jalan Niyor J191 atau Jalan Haji Ithnin Maarof. Bagaimana pun, lalu-lintas di Jalan Haji Ithnin Maarof masih lagi mempunyai risiko yang tinggi kerana petempatan dan taman-taman perumahan yang padat di sepanjang jalan tersebut. Terlalu banyak akses di sepanjang jalan tersebut merupakan salah satu punca yang menyebabkan kawasan tersebut menjadi kawasan berisiko tinggi. Oleh yang demikian, adalah diharapkan pihak kerajaan memberikan peruntukan yang secukupnya untuk menambahbaikkan elemen keselamatan di jalan tersebut.

Serupa juga keadaannya dengan Jalan Renggam, J25. Ekoran daripada pembangunan taman-taman perumahan yang pesat di sepanjang jalan tersebut, maka adalah diharapkan isu keselamatan jalan ini diberikan keutamaan sebelum keadaan lalu-lintas di sini menjadi sesuatu yang membimbangkan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Isu Tanah Perkuburan Penganut Hindu

Isu tanah perkuburan telah menghantui komuniti Hindu di sekitar Kluang untuk kian lama. Dalam suatu lawatan YAB Menteri Besar ke Kluang pada tahun 2013 YAB telah menjanjikan sebidang tanah akan dikurniakan untuk tujuan yang tersebut di atas. Bagaimana pun, sehingga sekarang isu ini masih belum selesai, maka saya berharap isu ini dapat diselesaikan dan masyarakat Hindu di Kluang tidak lagi menghadapi masalah kekurangan tanah perkuburan sebelum Dewan Negeri yang Ketigabelas dibubar. Buktikanlah kepada kita semua bahawa isu tidak akan dijadikan suatu lagi janji manis semasa PRU14 sebagai umpan untuk memancing undi.

Sekalipun kita menyedari bahawa kesihatan awam merupakan bidang kuasa kerajaan persekutuan tetapi kita tidak seharusnya mendiamkan diri tanpa berbuat apa-apa untuk mengurangkan kesulitan yang dihadapi rakyat Johor. Ramai pelangan hospital awam telah membuat aduan kepada saya bahawa pembekalan ubat yang sebelum ini diberikan setiap bulan atau dwibulan sekarang telah dikurangkan kekerapannya kepada dua minggu sekali. Dengan kata lain mereka terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan bekalan ubat baru setiap dua minggu sekali. Keadaan ini telah menyulitkan mereka yang tinggal jauh dari hospital khasnya mereka yang daripada kalangan warga emas. Saya berharap kerajaan boleh membuat sesuatu untuk membetulkan masalah ini atau pun sekurang-kurangnya membenarkan pesakit warga emas untuk mendapat bekalan ubat untuk suatu tempoh yang lebih lama.

Sekali lagi saya ingin menarik perhatian pihak kerajaan berkenaan pelaksanaan program Bas Muafakat Johor supaya inisiatif baik ini benar-benar membawa manfaat kepada rakyat Johor. Perkhidmatan Bas Muafakat Johor seharusnya menghubungkan agensi-agensi yang sering dikunjungi penduduk seperti hospital, pejabat pos, balai polis, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya bagi memudahkan penduduk menguruskan urusan harian mereka.

Ini mungkin kali terakhir saya berbahas dalam Dewan yang mulia ini. Selepas ini kita akan menghadapi PRU14 dan siapalah tahu parti mana yang bakal menerajui kerajaan negeri yang baru. Bagaimana pun, saya berharap kerajaan baru ini yang bakal dibentuk selepas PRU14 haruslah berani membuat pembaharuan untuk memperkasakan institusi Dewan Negeri Johor yang merupakan badan perundangan tertinggi di negeri Johor.

  1. Mengiktirafkan kedudukan Ketua Pembangkang sebagai amalan tradisi sistem demokrasi berparlimen Komanwel
  2. Menyediakan segala kemudahan yang wajar kepada Ketua Pembangkang bagi memudahkan beliau melaksanakan tugas dan peranan beliau.
  3. Menyediakan ruang pejabat kepada ahli-ahli pembangkang dan backbencher bagi memudahkan urusan dan melancarkan lagi persidangan Dewan yang mulia ini.
  4. Menyediakan peruntukan sewa pejabat pusat khidmat, gaji pembantu dan penyelidik kepada semua Ahli-ahli Dewan Negeri tanpa mengira kepartian supaya mereka dapat menjalankan tugas mereka secara profesyenal.
  5. Memperuntukkan masa yang mencukupi bagi membolehkan semua Ahli Dewan Negeri menyertai perbahasan rang undang-undang dan apa-apa usul yang dibentangkan di Dewan yang mulia ini.
  6. Memanfaat slot perbahasan peringkat dasar rang undang-undang supaya semua Ahli Dewan dapat meneliti setiap fasal rang undang-undang yang dibentangkan dalam Dewan yang mulia ini.
  7. Menyediakan salinan digital dokumen-dokumen asas persidangan Dewan seperti penyata rasmi, jawapan soalan-soalan semua Ahli Dewan dan sebagainya serta memuat naikkan salinan tersebut ke laman web seperti mana yang dilakukan oleh Parlimen
  8. Membuat siaran langsung keseluruhan persidangan Dewan Negeri melalui apa jua saluran yang sesuai

Akhirnya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Tan Sri Speaker, Yang Berhormat Dato Timbalan Speaker, semua ahli-ahli Dewan, kakitangan Dewan dan juga seluruh penjawat awam yang telah memberikan bantuan, nasihat dan tunjuk ajar kepada saya selama ini sama ada secara langsung atau tidak langsung. Saya juga ingin meminta maaf sekiranya terdapat apa-apa silap salah dari segi kelakuan atau tersilap bahasa yang secara tidak sengaja telah menyinggung hati mana-mana pihak.

Mungkin kita akan berjumpa lagi dalam Dewan yang mulia ini mungkin tidak, apa pun semoga Tuhan yang Maha Berkuasa akan menentukan masa depan yang paling baik buat kita semua. Sekian sahaja, terima kasih.