Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu, saya merakamkan penghargaan dan ucapan berbanyak terima kasih di atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk menggulung perbahasan ke atas “UCAPAN BELANJAWAN” PULAU PINANG 2018.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dengan komited dalam perbahasan melibatkan portfolio MMK Belia & Sukan; Dan Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti.
PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN KOMUNITI
Yang Berhormat sekalian,
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas kebijaksanaan dan keprihatian Kerajaan Negeri dalam peruntukan bajet sebanyak RM15juta dalam tahun 2018 untuk semua ibu bekerja sehingga usia 60 tahun yang mempunyai anak kecil yang berusia enam (6) tahun dan ke bawah dibayar insentif tunai sebanyak RM300 setahun. Dengan pendekatan ini, lebih kurang 50,000 isi rumah di Pulau Pinang yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang (1) anak kecil akan mendapat manfaat dari program ini. Langkah ini juga memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri memberi pengiktirafan terhadap sumbangan wanita bekerja dan turut memperkasa serta menggalakkan peningkatan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan. Susulan dari galakkan ini, Kerajaan Negeri pasti ia akan menjadi landasan untuk golongan wanita untuk terus memperkasakan diri melalui pencapaian “Economic Independence” – dengan izin.
Program-Program Yang Bersifat Kekeluargaan
Mengenai Program-Program Yang Bersifat Kekeluargaan seperti yang diusulkan oleh YB Telok Ayer Tawar, suka saya nyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah menjalankan pelbagai program secara langsung dan tidak langsung melibatkan institusi kekeluargaan. Program-program Hari Ibu dan Sukan Rakyat yang melibatkan ibu-bapa dan anak-anak disokong dan dibiayai oleh pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Juga melaksanakan program dan bengkel kursus keibubapaan.
Pemantapan dan cadangan peruntukan per kapita Briged Wanita
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Penanti di atas kenyataan yang membela serta mengiktiraf sumbangan Briged Wanita dalam hal-hal berkaitan kebajikan masyarakat setempat, khususnya penglibatan Briged Wanita membantu mangsa banjir di Pulau Pinang ketika ini. Ini adalah bukti yang jelas tentang kebolehan dan sumbangan kaum wanita baik sebelum, semasa mahupun selepas bencana alam. Briged Wanita diletakkan di bawah struktur pentadbiran Biro Pembangunan Wanita dalam setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK). Pada masa yang sama, Briged Wanita berada di bawah naungan ADUN dan Penyelaras Kadun masing-masing dalam mengurus serta menyokong semua aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Cadangan YB Penanti untuk memberi peruntukan berdasarkan per kapita ahli Briged Wanita untuk setiap kawasan ADUN adalah baik dan harus diperhalusi untuk dipertimbangkan dalam belanjawan peruntukan ADUN supaya aktiviti-aktiviti dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan sistematik dan memanfaatkan kaum wanita. Ini dapat meningkatkan penglibatan wanita dalam aktiviti-aktiviti setempat dan membuka peluang untuk kaum wanita mengambil bahagian dalam pembuatan keputusan dengan lebih aktif.
Keperluan Kemudahan Penjagaan Anak Dan Hubungkait Antara KDNK Dan Surirumah
Saya mengucapkan terima kasih kepada cadangan YB Pulau Tikus, yang memberi cadangan memperkenalkan Program Bapa Emas untuk mengimbangi kesaksamaan gender dan untuk memotivasi para bapa untuk turut berkongsi beban menjaga anak dan keluarga. Cadangan untuk mengadakan kursus asas yang melibatkan kemahiran mengurus rumahtangga atau “home living skills” untuk dijadikan kriteria penerima Subsidi Bapa Emas adalah baik dan akan dipertimbangkan dan diperhalusi oleh pihak Kerajaan Negeri. Pihak Kerajaan Negeri melihat kesaksamaan gender sebagai landasan keluarga harmoni dan bahagia.
Yang Berhormat sekalian,
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
PEMBANGUNAN BELIA
Penyediaan Platform Kepada Golongan Belia
Bagi menjawab cadangan yang dikemukakan oleh YB Berapit, sukacita dimaklumkan bahawa bidang keusahawanan semakin diminati oleh golongan belia di Pulau Pinang baik dari segi perniagaan berkedai mahupun perniagaan secara atas talian (online). Sehubungan itu PYDC telah mengadakan ‘Pinang Fiesta’ yang berjaya membantu peniaga belia di Pulau Pinang untuk mempromosikan pelbagai produk. PYDC juga mengambil kesempatan ini untuk menjemput ikon-ikon golongan muda untuk turut mengambil bahagian dalam program ini yang akan menjadi aspirasi kepada golongan belia lain. Untuk makluman dewan yang mulia, PYDC akan menganjurkan Pinang Fiesta 2017 di Seberang Perai yang memberi penekanan terhadap unsur budaya tempatan melalui persembahan seni budaya, seni mempertahankan diri, makanan tempatan dan hasil kraf tangan. Pada tahun 2017, PYDC juga telah menjalinkan hubungan dengan ‘King Mongkut’s Institute of Technology Ladkrabang, Bangkok, Thailand’ dan ‘The Y.Elites Association, Hong Kong, China’ untuk mengadakan program pertukaran belia.
Di samping itu, pembangunan usahawan ‘teknopreneur’ tempatan melalui program perintis “Penang Accelerator for Creative, Analytics & Technology (@CAT)” membantu golongan ‘teknopreneur’ berpotensi dalam mentransformasi idea yang bernas kepada perniagaan. Ini termasuklah akses kepada ‘mentoring’, dana dan latihan dalam ‘software coding’ dan perancangan perniagaan.
Penganjuran Kursus Kepimpinan Kepada Persatuan-Persatuan Belia
Mengenai Penganjuran Kursus Kepimpinan Kepada Persatuan-Persatuan Belia yang dikemukakan oleh YB. Machang Bubuk, dimaklumkan bahawa PYDC menganjurkan Sidang Muda Negeri Pulau Pinang untuk menggalakkan dan meningkatkan penyertaan belia dalam urus tadbir awam di Pulau Pinang dari segi kepimpinan dan perkongsian minda. Keberkesanan program ini dapat dilihat dari segi politik, ekonomi dan sosial dengan peningkatan kefahaman berkenaan fungsi dan organisasi Kerajaan Negeri serta Kerajaan Tempatan, kesedaran politik dan penglibatan belia dalam masyarakat, memahami hal ehwal pentadbiran awam dan membina jaringan belia dalam komuniti masyarakat setempat untuk peningkatan ekonomi dan sosial mereka. Bagi penganjuran kursus kepimpinan kepada Persatuan Belia, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan ini.
Sukan elektronik atau (e-Sukan) merupakan sebuah industri baru bukan sahaja hanya kepada pembangunan permainan video tetapi ianya merupakan industri dan sumber ekonomi baru generasi masa kini. Sukan elektronik semakin bercambah saban hari di seluruh pelosok dunia. Pembangunan sukan elektronik ini kini semakin popular di kalangan anak-anak muda sehinggakan ianya kini dipertandingkan di kejohanan peringkat antarabangsa dan juga bakal menjadi antara sukan yang akan diperkenalkan di Sukan Asia 2022 masa depan.
E-Sports, Kerajaan Negeri telah memperuntukan RM 1 Juta sebagai pemudahcara untuk pembangunan sukan elektronik (e-Games) amat dialu-alukan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
PEMBANGUNAN SUKAN
Selaku EXCO Belia dan Sukan, saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang terus-menerus memajukan dan memartabatkan kesimbungan pembangunan sukan negeri. Komitmen dan hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri bersukan yang aktif dan sihat khususnya dengan penjenamaan Pulau Pinang sebagai sebuah bandaraya sukan yang unggul dan wacananya ke arah negeri berbasikal, negeri Pulau Pinang kini megah dengan inisiatif progresif dengan halatuju mampan yang merangkumi tambahan pelbagai prasarana sukan baharu seperti :-
a) Pembinaan laluan berbasikal Pulau Pinang (RM45 Juta) di bawah Pelan Induk Laluan Basikal Pulau Pinang yang dicadangkan pelaksanaannya pada tahun 2016.
b) Pembinaan dua (2) buah kompleks badminton baru iaitu sebuah di Lebuh Macallum yang akan memuatkan lapan (8) gelanggang badminton dan satu (1) gelanggang bola keranjang; dan sebuah kompleks badminton di Sungai Pinang yang memuatkan dua belas (12) gelanggang badminton.
c) Pembinaan sebuah kompleks badminton bernilai RM2.5 juta yang merangkumi enam (6) buah gelanggang di Jalan Bukit Panchor, Seberang Perai Selatan.
d) Pembinaan sebuah kompleks sukan di Ampang Jajar, Permatang Pauh yang akan merangkumi sebuah kolam renang dan tiga puluh (30) gelanggang badminton dengan kos lebih kurang RM60 juta.
e) Cadangan untuk tambahan empat (4) kolam renang dan penyediaan sejumlah lapan puluh dua (82) gelanggang badminton baharu dalam tempoh masa empat (4) tahun.
Usaha-usaha untuk terus menerus membangunkan infrastruktur sukan negeri sebagaimana yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri ini turut disokong oleh suntikan dari sektor swasta yang bersama mengubah arus pembaharuan sukan negeri melalui :-
a) Menaiktaraf stadium mini bola sepak di Permatang Rawa dengan kos RM2.5 juta; dan cadangan membina baru sebuah stadium hoki baru bernilai RM7 juta yang akan dibiayai bersama dengan sektor swasta.
b) Sumbangan untuk pembinaan baharu sebuah kompleks sukan baru di Pantai Jerejak Bayan Baru yang merangkumi sebuah velodrom tertutup, kompleks kolam renang bersaiz Olimpik serta padang bola sepak terbuka dengan kos sehingga RM100 juta.
c) Inisiatif yang diterima dari pihak swasta untuk membina baharu sebuah Akademi Badminton Pulau Pinang bernilai RM22 juta dengan kapasiti 16 gelanggang badminton di Persiaran Karpal Singh.
Pembangunan Bola Sepak
Mengenai pembangunan bola sepak sebagaimana yang dibangkitkan oleh YB Pengkalan Kota termasuk pemantapan dalam pentadbiran pengurusan sukan, semenangnya kedua-dua perkara ini sentiasa diberi perhatian dan amat dititikberatkan oleh Kerajaan Negeri berdasarkan kepada nilai tajaan yang telah disuntik bagi menjana kecemerlangan pasukan bolasepak Pulau Pinang yang beraksi di Liga Super Malaysia. “Yang diharapkan tidak menjadi” – Kemerosotan prestasi pasukan Pulau Pinang yang merosot dari awal musim sehingga tercicir keluar dari Liga Super ke Liga Premier amat mengecewakan ramai pihak termasuk penaja-penaja yang menyumbang.
Saranan yang diutarakan oleh YB Pantai Jerejak bagi mengadakan Post mortem yang menyeluruh merupakan satu cadangan yang amat baik. Begitu juga dengan cadangan dari YB Penanti dan YB Seri Delima, kesemua pandangan positif mereka akan diutarakan kepada pengurusan tertinggi FAP dan juga kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan lanjut Kerajaan Negeri terutamanya dalam bab tajaan dan kewangan.
Soal pengendalian dalam pembayaran gaji serta pengurusan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) seperti yang dibangkitkan oleh YB Teluk Bahang, secara keseluruhannya perkara ini berada di bawah bidang kuasa pihak persatuan bolasepak negeri yang berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dibawah Akta 576, Akta Pembangunan Sukan 1997 dan juga bernaung dibawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
YB Teluk Bahang turut membangkitkan isu lewat bayar gaji pada awal musim 2017 sehingga bulan September 2017. Perkara ini tidak timbul sehinggalah dana Persatuan Bolasepak Pulau Pinang telah berkurangan pada hujung bulan September 2017. Bayaran gaji pada bulan Oktober 2017 belum lagi dilaksanakan kerana kekurangan dana. FAP tidak dapat membayar gaji bukan sahaja kepada pemain-pemain dan jurulatih-jurulatih malahan staf-staf pejabat FAP juga.
Menjawab persoalan YB Bertam, secara keseluruhannya pembayaran gaji pemain bagi tahun 2017 adalah berjumlah RM667,350.00 sebulan dan anggaran dalam RM10 juta semusim termasuk caruman KWSP dan PERKESO. Gaji pemain tempatan yang dibiayai oleh FAP berada di antara RM6,000 hingga RM40,000 sebulan, manakala gaji pemain import berada di antara RM30,000 hingga RM50,000 sebulan tertakluk kepada kelayakan dan kemahiran pemain. Perbelanjaan ini juga melibatkan pembiayaan elaun perumahan dan elaun kenderaan pemain diantara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan.
Minat EXCO Wanita dalam Sukan atau tidak, sememangnya tidak berkaitan sama sekali. Perihal bolasepak di dalam negeri atau di peringkat kebangsaan adalah sama. Wahal, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, seorang lelaki sendiri pun, sehingga kini tidak mampu mencampuri atau mengubah urusan perjalanan bolasepak negara dibawah FAM yang selama ini berada di ambang kejatuhan.
Malah pada 6 Mac 2017 yang lalu, lima (5) pasukan bolasepak negeri yang lain (2 pasukan dari Liga Super & 4 pasukan dari Liga Perdana) juga telah dilaporkan tidak membayar gaji pemain melibatkan jumlah anggaran keseluruhan sebanyak RM15 juta sejak musim 2015 dan 2016. Semua pasukan ini berada dibawah tanggungjawab EXCO Belia dan Sukan Lelaki di negeri-negeri terlibat. Isu lelaki dan wanita tidak menjadi persoalan yang boleh dibahaskan dalam konteks ini. Untuk maju dan terus bergerak ke podium kejayaan, pindaan dan kemajuan perlu dilaksanakan dari dalam persatuan tersebut sendiri oleh barisan jawatankuasa yang dapat menjalankan fungsi dan tugas yang diamanahkan dengan cekap, akauntabel dan telus.
Arus bolasepak negara kini sudah boleh menarik nafas lega dengan peralihan pucuk pimpinan FAM pada 25 Mac 2017 sehingga tahun 2021. Transformasi bolasepak negara kini dipercayai dapat melakar revolusi baharu secara keseluruhan dan gemilang dengan pelantikan Tunku Mahkota Johor sebagai Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam Kongres FAM ke-53. Kewibawaan pemimpin mencorak kejayaan pasukan. Kerajaan Negeri juga berharap agar perubahan positif dapat dilaksanakan dalam masa terdekat oleh badan induk bola sepak Pulau Pinang dan seterusnya membantu memulihkan kembali maruah bola sepak negeri yang tercalar ini.
Memperkukuhkan Kedudukan Kewangan FAP
Selaras dengan perkembagan terkini, pengurusan Bolasepak kini perlu mengorak langkah untuk beralih ke arah sebagaimana sebuah organisasi perniagaan berfungsi. Pasukan bolasepak tidak boleh lagi menjadikan tajaan kewangan Kerajaan Negeri sebagai sandaran dana utama bagi menguruskan pasukan bolasepak untuk persatuan negeri. Sekiranya dilihat kepada kaedah pengurusan bolasepak kelab-kelab eropah atau liga Inggeris, pelbagai jenis pemasaran dilaksanakan untuk memastikan sumber kewangan kelab tersebut senantiasa mencukupi.
Keadaan ini amat berbeza di Malaysia termasuk di Pulau Pinang. Pasukan Pulau Pinang tidak dikenali luas, kurang promosi, kurang idea kreatif menarik penonton ke stadium, dan kurangnya inisiatif mencari wang sendiri bagi membiayai perbelanjaan pengurusan FAP. Ini amat berbeza dengan liga paling popular di dunia, iaitu Liga Perdana Inggeris. Mereka kerap menganjurkan promosi-promosi mereka yang kreatif, sesi perjumpaan bersama peminat, mengadakan majlis-majlis amal bersama peminat setia pasukan, program menjelajah dunia, bengkel-bengkel bola sepak dan sebagainya.
Sudah tibalah masanya pengurusan FAP menitikberatkan pemasaran bolasepak negeri bagi mengukuhkan kedudukan kewangan dan seterusnya menjulang naik prestasi pasukan negeri. Calon lantikan pegawai pemasaran perlulah seorang yang profesional, mempunyai latar belakang komersial dan pengalaman luas dalam dunia korporat. FAP perlu berfikir secara ahli perniagaan – bagaimana menarik penonton, bagaimana menjana wang sendiri,dan kaedah-kaedah terbaik untuk memenuhkan stadium negeri setiap kali berlangsungnya perlawanan bolasepak. Kedudukan kewangan FAP perlu distabilkan agar pembangunan sukan bolasepak dapat dibangunkan terus-menerus.
Mengenai persoalan berkenaan langkah-langkah yang perlu diambil untuk meningkat prestasi pasukan bola sepak pulau pinang seperti yang dibangkitkan oleh YB Seri Delima, Pentadbiran FAP telah mengenalpasti tiga (3) strategi penting dalam memulihkan kembali kewibawaan pentadbiran FAP bagi meningkatkan semula prestasi pasukan bola sepak Pulau Pinang untuk tahun 2018, antaranya adalah:
i. Mengukuhkan Kembali Pematuhan Kepada Governan Persatuan dan Prosedur Membuat Keputusan-Keputusan Strategik
ii. Pengurusan Kewangan Yang Lebih Cekap, Telus dan bertanggungjawab (Berakauntabiliti)
iii. Pembentukan Pasukan Utama Yang Lebih Kompetitif, Berjiwa Besar dan Berdisiplin
(Sports Village di Stadium Negeri Batu Kawan)
Mengenai halatuju perancangan Sports Village di Batu Kawan beserta pengurusan penyelenggaraan melibatkan semua Kompleks Sukan dan Stadium Negeri yang dibangkitkan YB Berapit, Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Negeri Pulau Pinang yang kini berada di fasa awal pelaksanaannya telah dipertanggungjawabkan bagi merancang serta melaksanakan pembangunan komprehensif terhadap kemajuan prasarana dan kemudahan sukan berikut.
Untuk makluman YB Berapit, bilangan tempahan penggunaan Stadium Bandaraya Pulau Pinang untuk tahun 2016 adalah sebanyak tujuh puluh enam (76) permohonan dan enam puluh lima (65) permohonan pada tahun 2017 yang merangkumi Latihan dan Perlawanan Bolasepak Liga Super dan juga penganjuran sukan oleh sekolah-sekolah di negeri Pulau Pinang. Manakala untuk Stadium Negeri Batu Kawan, dari Januari 2016 sehingga November 2017, sejumlah lima puluh tujuh (57) tempahan telah dibuat untuk penggunaan tapak parkir dan sebanyak empat puluh sembilan (49) tempahan telah dibuat oleh FAP untuk penggunaan padang stadium tempoh dari Januari 2017 sehingga November 2017.
ASIA PACIFIC MASTERS GAMES (APMG) PENANG 2018
Kejohanan Asia Pacific Masters Games (APMG) Penang 2018 adalah sukan “masters” yang akan diadakan buat julung kalinya di Pulau Pinang dari 7 hingga 15 September 2018. Kejohanan ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang dengan sokongan dari Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dan Kementerian Pelancongan Malaysia. Kejohanan ini juga telah mendapat pengiktirafan dari Majlis Olimpik Malaysia (OCM) bagi acara-acara sukan akan dianjurkan oleh Persatuan-persatuan sukan peringkat Negeri dan Kebangsaan.
Adalah dianggarkan sebanyak 5,000 peserta akan menyertai kejohanan ini. 60% daripadanya adalah dianggarkan dari luar negara dan 40% daripadanya peserta tempatan. Sebanyak 21 acara akan dipertandingkan semasa Kejohanan Asia Pacific Masters Games dan setiap acara adalah mengikut spesifikasi dan peraturan yang ditetapkan oleh badan pentadbir tertinggi acara tersebut. Upacara perasmian Kejohanan APMG Penang 2018 akan diadakan pada 8 September 2018 di Padang Kota dan Upacara penutup akan diadakan pada 15 September 2018 di Setia SPICE Convention Centre.
PENUTUP
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-pertua,
Ahli-ahli Yang Berhormat
Pulau Pinang ingin menjadikan negeri ini sebagai “We are Home of the Champion”. Beberapa pendekatan baru dalam pembangunan sukan yang selaras dengan keperluan sukan masa kini yang semakin kompetitif akan diperkenalkan. Pendekatan-pendekatan ini bermatlamat untuk meneruskan kecemerlangan atlet-atlet negeri dalam bidang sukan serta mampu menyerlah di peringkat antarabangsa secara konsisten.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-pertua,
Banjir pada 5 November 2017 merupakan satu bencana alam yang paling teruk dalam sejarah Negeri Pulau Pinang. Ia telah memberi impak yang amat besar kepada semua golongan penduduk Pulau Pinang sama ada golongan wanita, lelaki, kanak-kanak, warga emas mahupun Orang Kurang Upaya (OKU) dari segi fizikal mahupun emosi terutama bagi mereka yang kehilangan harta benda dan orang yang disayangi.
Dalam dewan yang mulia ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak, dalam operasi bantuan bencana banjir ini khususnya kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi-agensi kerajaan yang telah bertindak pantas menggerakkan tenaga kerja, siang dan malam tanpa mengenal erti penat lelah, syarikat-syarikat swasta yang telah menghulurkan bantuan kewangan dan peralatan, badan-badan Bukan Kerajaan, JKKK, Briged Wanita, sukarelawan dan orang awam yang telah bangkit untuk membantu.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk jabatan, agensi-agensi kerajaan termasuk NGO-NGO serta komuniti dan institusi-institusi swasta yang telah membantu Kerajaan Negeri untuk melaksanakan program-program belia dan sukan, pembangunan wanita, keluarga dan komuniti demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri Pulau Pinang. Semoga kerjasama antara kerajaan dan masyarakat akan sentiasa membantu Kerajaan Negeri dalam mempertingkatkan perkhidmatannya kepada share-holder terbesar iaitu rakyat negeri Pulau Pinang.
Bagi mengakhiri ucapan penggulungan saya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan pertanyaan dan mengemukakan isu-isu yang berkaitan dengan portfolio saya, Belia & Sukan; Dan Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti.
Sekian, terima kasih. Saya mohon menyokong.