Yang Berhormat Tan Sri Speaker, selamat pagi dan salam sejahtera. Di kesempatan ini Penggaram ingin mengucapkan tahniah atas ucapan dan saranan ke Bawah Duli Tuanku Sultan Johor dalam titah beliau pada sesi pembukaan dewan yang mulia ini pada 4 Mei yang lalu.
Saya bersyukur diberi kesempatan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan usul menjunjung kasih ke atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sempena Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-13.
YB SPEAKER
Terlebih dahulu, izinkan saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anak-anak remaja kita yang terlibat dalam tragedi kemalangan jalanraya di Johor Bahru yang amat menyedihkan kita semua pada bulan Februari yang lalu. Kami berharap agar semua pihak mengambil iktibar daripada insiden menyedihkan ini. Saya juga turut mengucapkan takziah kepada keluarga adik Mohd Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang telah meninggal dunia pada Mac lalu atas insiden yang begitu menyayat hati kita. Kami berharap, kes ini dapat disiasat dengan telus dan adil oleh pihak berkuasa.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
PELAN PEMBANGUNAN NEGERI
Pengumuman Pelaksanaan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ) telah dibangkitkan pada bajet tahun 2016 dengan peruntukan sebanyak RM 3 juta. Seterusnya Kerajaan Negeri mengumumkan akan melaksanakan pelan pertumbuhan ekonomi Johor secara besar-besaran dalam bajet negeri tahun 2017. Segala strategi dan pelan tindakan dalam PPSJ ini akan disegerakan pelaksanaannya dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.
Dari 2016 ke 2017 kerajaan negeri telah melaburkan sebanyak RM 8 juta untuk menjayakan PPSJ. Di sini saya ingin tahu “apakah kayu ukur kejayaan PPSJ?” dalam maksud lain, apakah KPI yang ditetapkan dan apakah pencapaian setakat ini di setiap daerah mengikut lapangan kebitaraannya setelah PPSJ dilaksanakan sehingga kini.
Saya juga mahu bertanya kepada Menteri Besar selaku ketua eksekutif petadbiran kerajaan negeri berhubung arahan rakan beliau iaitu Tan Sri Noh Bin Haji Omar, menteri di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang telah memberi arahan untuk membatalkan semua kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen di mana BN tewas. Kenyataan beliau itu adalah mengikut pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah jabatan Kerajaan Tempatan bertarikh 17 Mac.
Dalam surat itu, menyatakan bahawa kerajaan tempatan (PBT) diarahkan untuk “membatalkan projek-projek BP 1 tahun 2017 yang telah diluluskan kepada PBT di kawasan-kawasan parlimen bukan BN”.
Oleh yang demikian, apakah kesan arahan Menteri tersebut terhadap Pelaksanaan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ). Adakah kerajaan negeri harus tunduk dengan arahan semberono menteri ini atau mengabaikan arahan menteri mereka sendiri dan memberi tumpuan kepada keperluan rakyat yang telah dirancangkan.
Jika Menteri Besar tidak tahu untuk membuat keputusan, maka saya ingin mencadangkan agar Menteri besar mengabaikan arahan Menteri tersebut kerana arahan itu jelas sekali menggambarkan kecetekan pemikiran Menteri UMNO. Kita orang Johor jangan sekali-kali membiarkan diri kita diperbodohkan oleh tindakan menteri yang tidak menghormati semangat dan prinsip demokrasi yang melayan semua pihak secara adil.
Jika menteri besar tunduk dengan arahan tersebut, maka ia menjadi bukti bahawa kerajaan negeri Johor adalah boneka kerajaan Kleptokrasi. Johor perlu berdikari dalam aspek ekonomi dan tidak terlalu bergantung dengan kerajaan pusat yang kini sedang dalam krisis kepimpinan yang sangat kritikal.
YB Tan Sri Speaker
INTEGRITI
Saya ingin menarik tumpuan ketiga mengenai pengumuman Menteri Besar Johor Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung kesediaan Kerajaan Negeri untuk membentangkan kad laporan bagi membolehkan rakyat menyemak dan menilai prestasi kemampuan Kerajaan pimpinan beliau dalam mengotakan janji.
Pada masa yang sama, YAB Menteri Besar Mohamed Khaled Nordin telah mengetuai 9 Exco kerajaan Negeri telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah ( IBR ). Saya menghargai inisiatif beliau dalam usaha meningkatkan integriti kerajaan dimata rakyat. Namun adakah ini suatu polisi? Atau ia hanya sekadar gimik politik untuk mengaburi mata rakyat ketika pilihanraya umum akan berlaku tidak lama lagi.
Bagi kami, Ikrar Bebas Rasuah ( IBR ) ini sekadar lafaz janji pihak yang mengangkat ikrar. Ia buakan suatu mekanisme untuk membendung kegiatan rasuah yang sedang membarah dalam kerajaan. Justeru itu, saya ingin menegur YB Permas selaku Menteri Besar untuk menerima saranan kami iaitu mengisytiharkan harta dan pemilikan ahli-ahli EXCO negeri.
Saya berpendapat, langkah yang kami cadangkan ini lebih konkrit daripada sekadar membaca ikrar tanpa apa-apa langkah yang jelas dan tuntas. Keberanian ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri membuat pengisytiharan harta akan dicontohi oleh pegawai-pegawai kanan negeri yang lain. Ini akan membawa satu budaya yang lebih baik kepada semua.
Untuk memastikan agenda ketelusan pentadbiran diamalkan dalam urustadbir Johor, saya di sini ingin mencabar YAB Menteri Besar dan YB Exco-exco mengisytiharkan harta mereka untuk sebagai bukti keikhlasan mereka yang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah.
Sebagai langkah dalam memastikan urustadbir yang baik – dengan izin ( Good Governence ), kerajaan negeri sewajarnya menubuhkan satu sistem yang baru iaitu Jawatankuasa Terpilih ( Khas ) bagi hal ehwal integrity yang meliputi wakil kerajaan, pembangkang dan pegawai kanan negeri termasuk pegawai wakil dari pihak SPRM. Ini akan membolehkan Jawatankuasa Khas ini meneliti semula, semua prosedur dan mekanisme urustadbir yang cekap dan telus.
Tanpa Jawatankuasa Khas ini, sebarang langkah yang diambil hanya akan menjadi langkah politik oleh kerajaan negeri kerana prinsip ‘semak dan imbang’ – dengan izin ( check and Balance ) tidak wujud dalam mengendalikan urustadbir ini.
YB Tan Sri Speaker.
REFORMASI PIHAK BERKUASA TEMPATAN
Berhubung dengan agenda reformasi dan pemerkasaan – dengan izin (empowerment) ke atas pihak Pihak Berkuasa Tempatan, sekali lagi saya menyeru kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri agar melakukan reformasi sistem di PBT. Reformasi ini penting bagi memastikan agenda kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan cekap. Ia juga akan meningkatkan integriti PBT dan keberkesanan fungsinya. Reformasi ini boleh dilakukan secara berperingkat atau berfasa, sesuai dengan persekitaran semasa.
Antara perkara asas atau prinsip yang boleh dilakukan diperingkat awal adalah dengan menyemak kembali sistem pemilihan dan perlantikan Ahli-ahli Majlis di setiap PBT. Langkah pertama ini boleh dikaji dan dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada pembahagian ahli-ahli majlis mengikut sektor-sektor terpenting.
Cadangan kami antaranya yang Pertama, separuh atau lima puluh peratus (50 %) dikalangan ahli-ahli majlis setiap PBT hendaklah meletakkan golongan muda dibawah umur tiga puluh lima tahun (35 tahun) yang berkelayakan. Manakala 1 pertiga lagi diwakili oleh golongan wanita yang bermastautin dilakaliti tersebut dan mempunyai kelayakan sebagai Ahli Majlis. Manakala satu slot bagi setiap PBT hendaklah ditetapkan untuk seorang Golongan Kurang Upaya (OKU) bagi memastikan golongan ini dapat terlibat dalam memberi sumbangan kepada pembangunan tempatan.
Kumpulan-kumpulan ini mempunyai kreativiti dan potensi untuk membantu dan memberi khidmat kepada masyarakat dan juga PBT itu sendiri dalam merangka pelan pembangunan dan pengurusan kawasan pihak berkuasa. Ini juga akan memberi peluang pekerjaan yang baru kepada golongan-golongan tersebut.
Saya menggesa agar kerajaan negeri dan semua PBT melihat cadangan ini dari sudut yang positif, bukan hanya pandang sebelah mata, hanya kerana kami ini pembangkang dalam kerajaan.
Saya juga ingin membangkitkan isu berkaitan Mesyuarat Penuh PBT. Saya memohon kepada pihak kerajaan negeri untuk memberi kebebasan kepada Yang Dipertua Majlis dan PBT untuk membenarkan wakil-wakil rakyat Pembangkang menyertai mesyuarat penuh yang dijalankan oleh PBT. Ini amat penting untuk memastikan wakil rakyat kami memainkan peranan yang lebih baik dengan PBT dan juga rakyat. Kami dituduh sebagai suka mengkritik, sebaliknya tugas-tugas kami sebagai wakil rakyat disekat diperingkat PBT.
Pada masa yang sama, kami amat bersimpati dengan seluruh pentadbir di PBT-PBT yang tidak dapat memain peranan secara neutral dan profesional kepada kami. Kami memahami dilemma mereka dan kami memohon kepada Menteri Besar untuk menjadi Menteri Besar kepada semua rakyat tanpa mengira parti apa pun. Integriti dan profesionalisme adalah mengatasi sikap kepartian yang sempit dan tidak berpenghujung.
YB Speaker
Masih berkisar mengenai hal ehwal PBT. Saya ingin menyentuh tentang peranan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) yang saya kira tidak jelas peranan atau fungsinya kepada masyarakat sebaliknya JPP ini seakan berperanan sebagai ejen parti politik pihak-pihak tertentu.
Tujuan saya membangkitkan isu ini adalah untuk kita menilai kembali fungsi entiti tersebut kerana ia dilihat bukan untuk membantu PBT dan masyarakat setempat sebaliknya menjadi pencetus masalah bagi rakyat. Masalah yang dicetuskan adalah berpunca daripada ahli-ahli JPP ini sendiri yang bekerja dengan cara yang tidak profesional atau dengan kata lain, dengan ‘memilih bulu’. Mereka menjadi telinga dan mata parti politik tertentu, bukan menjadi mata dan telinga kepada rakyat dalam membantu menyelesaikan.
Saya beranggapan keadaan ini sudah menjadi krisis yang parah. Garis politik ‘parti dan ideologi’ dengan ‘politik polisi rakyat’ sudah tidak ada. Yang akan menjadi mangsa dalam hal ini adalah rakyat dan juga PBT itu sendiri. Saya tidak menyalahkan pihak PBT kerana JPP ini bukan mereka yang mewujudkan sebaliknya oleh kerajaan pusat menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Dengan kewujudan entiti JPP ini, saya kira ia juga menjadi masalah kepada PBT yang telahpun mempunyai institusi Ahli Majlis.
Jika Ahli Majlis disetiap PBT mempunyai 24 zon dan 24 Ahli Majlis, maka setiap zon JPP pula diwakili oleh 10 orang AJK dengan seorang ketua. Ini bermakna sebanyak 264 ahli di setiap PBT. Kesemua wakil-wakil ini menjadi ejen-ejen politik parti, bukan mengutamakan isu-isu rakyat. Tugas ahli JPP ini akan bertindih dengan peranan Ahli Majlis. Ini bukankah menyusahkan rakyat dan juga PBT itu sendiri. JPP ini digunakan untuk mempergunakan PBT untuk tujuan kepartian.
Saya menyarankan kepada kerajaan negeri untuk meneliti kembali perkara ini kerana kita mahu memastikan rakyat dan PBT dapat menjalin hubungan yang lebih baik tanpa ada gangguan dari JPP. Kredibaliti PBT harus kita jaga agar tidak dirosakkan oleh ejen-ejen kerajan persekutuan yang dipimpin oleh seorang Kleptokrat.
YB Tan Sri Speaker
KETELUSAN SISTEM PILIHANRAYA
Berhubung daftar pemilih Pilihanraya. YB Mengkibol pada Februari lalu telah membangkitkan isu dimana terdapat banyak nama-nama pemilih yang mengelirukan ditemui. Ini termasuk 8 orang nama yang berkongsi alamat dengan Menteri Besar Johor. Selain daripada itu, pihak kami turut menemui banyak lagi nama yang mempunyai alamat yang bertindih dan meragukan.
Sungguhpun ini bukan bidang kuasa kerajaan negeri, namun demikian kerajaan negeri harus peka dan harus pro aktif dalam bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyediakan satu sistem yang bersih dan teratur. Jika tidak, kerajaan negeri hanya akan dilihat sebagai pihak yang menangguk di air yang keruh.
Masalah-masalah ini berpunca dari sikap tidak telus semua agensi kerajaan negeri termasuk diperingkat pusat. Perubahan alamat-alamat ini, bukan dilakukan oleh parti DAP, Amanah, PKR atau PPBM. Sebaliknya, urusan ini dibuat oleh SPR. Jadi mengapa kami disalahkan apabila kami membangkitkan wujudnya kesilapan dan kesangsian atas nama-nama daftar pemilih ini. Kerajaan negeri harus bersikap neutral dalam memastikan keadilan sistem pilihanraya ini wujud dan berfungsi. Saya pasti parti kerajaan mahu menang dengan cara yang bersih, bukan sepertimana pemimpin kleptokrasi yang memanipulasi agensi kerajaan demi survival kuasa politik korup mereka.
YB Tan Sri Speaker
PERPADUAN KAUM
Saya ingin merakamkan ucapan sembah ta’zim atas kata-kata nasihat dan harapan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang dinukilkan dalam status laman sosial Faceebook bulan april yang lalu. Titah Tuanku Permasisuri akan pentingnya perbezaan iktikad kepercayaan itu diraikan dan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat rentas kepercayaan dan kaum di negara ini.
Seruan dan harapan Tuanku Permaisuri adalah selari dengan gagasan yang digarap oleh DAP sebagai parti pelbagai kaum semenjak awal penubuhannya sehingga kini iaitu menghormati kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Justeru itu, saya mewakili pakatan pembangkang negeri Johor berikrar di dewan yang mulia ini untuk kekal komited dalam memupuk perpaduan bangsa Johor. Kami menolak sekeras-kerasnya politik perkauman yang cuba digunakan oleh pihak-pihak tertentu apatah lagi ketika menjelang Pilihanraya Umum 14 yang akan datang. Kami juga menyeru kepada semua parti politik khususnya UMNO dan MCA untuk tidak lagi bermain dengan sentimen kebencian kaum dan agama, sebaliknya menumpukan kepada perpaduan dan pembangunan ekonomi dan rakyat negeri Johor sepertima kami rakan-rakan pembangkang.
Sekian, terima Kasih.