Selamat petang dan salam sejahtera. Bekok ingin mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih Baginda Yang Maha Mulia sempena Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor yang Ke-13.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Izinkan Bekok mengutarakan isu yang mempunyai impak kepada kawasan yang Bekok wakili dalam dewan yang mulia ini.
Pertama, Bekok ingin membincangkan isu peluang pekerjaan di kawasan Bekok. Secara umumnya, bukan sahaja di Bekok, bahkan di kawasan kampung di seluruh Malaysia telah menghadapi masalah populasi penduduk yang semakin menua. Salah satu sebab utama adalah kerana golongan remaja telah keluar dari kampung dan mencari makan di kawasan bandar. Sebegitu juga dengan keadaan kawasan Bekok yang kurang peluang pekerjaan dengan gaji yang berpatutan malah selaras dengan pembelanjaan kehidupan bulanan untuk sekeluarga.
Pelan pembangunan seperti Program Agro Mix Farm, iaitu Kebun Neklues dan hab pertanian yang membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk merangsang pembangunan dan potensi Segamat sebagai daerah pertanian utama, nampaknya belum dapat membolehkan kerajaan menjayakan misi tersebut dalam memberikan kesejahteraan kepada rakyat setempat seperti yang dikatakan oleh menteri besar sebelum ini.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Hal ini demikian adalah kerana rakyat setempat tidak dapat melibatkan diri secara langsung dalam pelan dan program ini. Tambahan pula, terdapat rakyat pula langsung tidak tahu apa program yang akan dan telah dilaksanakan di kawasan mereka. Bagaimanakah mereka mendapat peluang pekerjaan ekoran daripada program ini dan menyelesaikan masalah kehilangan tenaga pekerja di kawasan Bekok? Adakah program ini hanya terlibat dengan syarikat besar yang mendapat keuntungan besar sahaja? Bilakah dan bagaimanakah kerajaan hendak melaksanakan program seperti ini supaya rakyat tempatan mendapat manfaat secara langsung daripada pembangunan program ini?
Bekok bersetuju dengan titah Sultan Yang Maha Mulia bahawa segala projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan akan membuka peluang pekerjaan yang banyak dan memberikan pendapatan yang lebih baik kepada masyarakat tempatan. Untuk mencapai kemajuan ekonomi negeri yang kukuh dan berterusan, kerajaan mestilah melaksanakan pembangunan yang seimbang dengan mewujudkan dasar dan polisi yang konsisten.
Janganlah program yang baik ini menjadi “projek gajah putih” pada masa hadapan seperti Pelabuhan Darat Segamat yang telah membelanjakan berjuta-juta ringgit. Janganlah hanya bermain dengan angka bahawa projek tersebut dapat membekalkan peluang pekerjaan yang banyak, tetapi tidak beroperasi dengan baiknya dan membazirkan cukai yang dibayar oleh rakyat pula.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Bekok juga berharap agar kerajaan dapat merancang projek pembangunan dengan baik dan menghubungkaitkannya dengan projek yang lain supaya pembangunan daerah dapat mengejar pembungunan negeri. Sebagai contoh, isu pengangkutan.
Bekok amat mengalu-alukan Perkhidmatan Bas Muafakat Johor yang telah dilaksanakan di Segamat sejak kebelakangan ini. Tujuan perkhidmatan bas ini diadakan adalah bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat dan memberi kemudahan serta meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam kepada rakyat. Adakah tujuan yang ditetapkan ini telah dicapai dan semua rakyat telah bermanfaat daripada perkhidmatan bas ini? Apakah panduan yang menentukan laluan perjalanan bas awam ini? Majlis daerah yang kaya dan berkemampuan menanggung kos perkhidmatan bas awam atau keperluan rakyat tempatan?
Adalah betul bahawa laluan Bas Muafakat Johor tidak dilalui oleh operator bas tempatan dan tidak menjejaskan keuntungannya. Akan tetapi, jika tiada persaingan, mana pula kemajuan? Sebagai contoh, Bas Muafakat Johor yang dilengkapi dengan sistem CCTV, GPS sistem, Sistem Data penumpang dan Kemudahan Internet Percuma (WIFI) yang lebih selesa dan selamat berbanding dengan bas tempatan yang telah uzur dan tidak tepat pada masa lagi perlu membayar kadar tambang bas yang lebih tinggi. Yang manakah menjadi pilihan para Yang Berhormat?
Y. B. Tan Sri Speaker,
Padahalnya, kawasan pedalaman seperti Bekok yang sukar sampai ke institusi pendidikan, hospital dan klinik, pusat membeli-belah dan pejabat-pejabat kerajaan lebih diberi tumpuan kerana kawasan Bekok memang tiada perkhidmatan bas awam. Kerajaan patutlah memberi keutamaan kepada Bekok demi mengurangkan kos sara hidup dan memberi kemudahan kepada rakyat Bekok. Tambahan pula, perkhidmatan bas muafakat pastilah merangsang sektor pelancongan dan pertanian yang akan dibangunkan di kawasan Bekok dan sekelilingnya.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Bekok juga berharap agar pelaksanaan Projek Keretapi Landasan Berkembar Johor Bahru – Gemas dapat dipercepatkan. Kerajaan selalunya memberitahu akyat betapa baiknya perojek ini. Akan tetapi, rakyat betul-betul dapat merasai manfaat projek ini? Bagaimanakah kerajaan dapat merangsangkan sektor eko-pelancongan, pertanian, ekonomi dan pembangunan di kawasan setempat.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Sistem pengangkutan awam yang tidak lengkap dan kualiti perkhidmatan yang teruk menyebabkan rakyat setempat menggunakan masa yang panjang untuk pergi ke destinasi mereka. Dapatkah membayangkan bahawa rakyat di sini perlu menggunakan sebanyak 8 jam untuk pergi ke Kuala Lumpur dan 4 jam ke Johor Bahru apabila hari cuti umum disebabkan perlu menukar beberapa jenis perkhidmatan bas atau KTM, ketidaktepatan bas dan kesesakan jalan raya? Pastilah jadi mimpi ngeri pengguna jalan raya jika disesak dalam Tambak Johor yang menghubungi Singapura.
Bekok ingin bertanya kepada kerajaan, pernahkah kerajaan berfikir demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya dengan menaiktarafkan lebuhraya Tangkak – Johor Bahru kepada 4 lorong untuk menampung bilangan kenderaan yang semakin bertambah dan mengurangkan keadaan kesesakan jalan raya terutamanya pada masa puncak? Bekok juga ingin bercadang untuk menambah lampu jalan raya di lebuhraya dan jalan Persekutuan Segamat – Yong Peng demi menerangkan keadaan jalan raya yang gelap kerana ia telah menjadi salah satu punca berlakunya kes kemalangan jalan raya di kawasan ini.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Bekok ingin meminta maaf kerana Bekok sering kali membincangkan isu sistem pengangkutan awam dalam dewan yang mulia ini. Tindakan Bekok ini bukan kerana Bekok tiada isu lain dan ketinggalan berita terkini tentang perancangan dan pembangunan kerajaan. Sebaliknya adalah kerana rakyat amat tidak berpuas hati keadaan sistem pengangkutan awam kini yang semakin teruk di kawasan tersebut. Walaupun Bekok telah jemu dengan isu ini, begitu juga dengan para Yang Berhormat yang berada dalam dewan ini. Namun begitu, Bekok tetap ingin bersuara demi pihak rakyat semata-mata untuk kebajikan dan manfaat rakyat.
Sebagai contoh, isu projek penaiktarafan Jalan Persekutuan Labis ke Yong Peng yang selalunya dibincangkan. Pada awalnya, kata ahli parlimen tersebut projek ini akan bermula dilaksanakan pada tahun 2017. Akan tetapi, sudah sampai pertengahan tahun 2017, projek bukan sahaja belum dimulakan. Adakah projek ini akan ditangguhkan ke tahun 2018 atau tidak akan dilaksanakan pada akhirnya?
Penduduk Parlimen Labis dan pengguna Jalan Yong Peng – Segamat masih tidak boleh menarik nafas lega apabila kerajaan persekutuan masih belum memulakan projek yang memerlukan peruntukan sebanyak RM92 juta bagi menaik taraf laluan sepanjang kira-kira 70 kilometer tersebut. Selain menaiktaraf jalan, kerja menaiktaraf beberapa jambatan berkembar yang terdapat di sepanjang laluan tersebut juga patut dimulakan dengan secepat mungkin kerana keadaan jambatan tersebut boleh mengundang padah kepada pengguna jalan tersebut.
Untuk pengetuahuan para Yang Berhormat, jalan persekutuan tersebut merupakan pintu masuk utama ke Parlimen Labis yang mampu meningkatkan ekonomi serta pembangunan di kawasan Labis. Keadaan perhubungan jalan raya yang tidak begitu selesa sebelum ini telah memberi kesan negatif terhadap pembangunan kawasan Parlimen Labis yang kaya dengan hasil pertanian dan tempat-tempat menarik yang boleh dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.
Para Yang Berhormat sekalian, bukannya Bekok tidak mahu mengemaskini maklumat terkini berkenaan dengan projek ini. Sebaliknya, kata-kata dan perancangan kerajaan sentiasa berubah-ubah dan tidak mengikuti jadual waktu pelaksanaan yang telah ditetapkan. Bagaimanakah Bekok malah rakyat hendak mengikutinya? Janganlah hanya cari pelbagai alasan yang munasabah dan bertindak seperti tin kosong yang hanya pandai bersuara kuat di depan pemberita, tetapi tiada tindakan dan hasil pada akhirnya.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Jikalau projek ini tidak dapat dilaksanakan seperti jadual yang telah ditetapkan, pihak berkuasa lebih baiklah sentiasa menyelenggara keadaan jalan raya seperti melukis garisan putih yang sudah kabur malah yang sudah hilang di jalan tersebut dan menutup lubang dengan tar untuk sementara terlebih dahulu demi keselamatan pengguna jalan raya. Apa yang Bekok dan pengguna jalan raya memberi perhatian adalah janji yang telah dikotai dan dilaksanakan dan bukannya alasan yang tidak berguna.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Salah satu misi majlis daerah tempatan adalah untuk mengadakan pentadbiran yang cekap dan berkesan. Seperti titah sultan, dalam membuat sesuatu dasar, kerajaan hendaklah berbincang dan mendengar pendapat daripada semua pihak yang terlibat sebelum membuat sesuatu keputusan.
Sejak kebelakangan ini, Majlis Daerah Labis telah menangguhkan tarikh akhir pembayaran cukai harta kepada hujung bulan Mac. Bekok ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru pihak yang berkenaan supaya memberi maklumat yang lebih jelas dan pantas kepada orang awam sebelum tarikh tamat pembayaran cukai harta untuk mengelakkan kekeliruan orang awam.
Hal ini demikian kerana Bekok telah membuat dua kali telefon untuk pertanyaan tentang penangguhan tarikh akhir pembayaran cukai harta daripada pegawai dalam Majlis Daerah Labis untuk memastikan kebenaran pengumum majlis daerah tersebut. Untuk makluman, jawapan dan maklumat yang diberi oleh pegawai tersebut adalah sama seperti kenyataan dalam surat khabar. Duka citanya, rupa-rupanya, maklumat yang Bekok dapati daripada pegawai tersebut adalah tidak sama dengan notis yang dipaparkan pada waktu senja 28 Februari 2017 dalam media sosial.
Maka, jika terdapat apa-apa perubahan maklumat Majlis Daerah Labis, haruslah diberitahu pada saat pertama kepada orang awam. Janganlah menyebarkan maklumat tentang penangguhan tarikh pembayaran cukai tanah pada media sosial, pada hari terakhir tarikh tamat asal dan saat terakhir. Untuk pengetahuan umum, ramai warga emas adalah tidak tahu menggunakan media sosial dan keadaan sebegini akan menyebabkan mereka ketiggalan maklumat terkini.
Sementara itu, ahli majlis tempatan juga harus memainkan peranan dengan baik dan memberitahu maklumat terkini tentang tarikh penangguhan pembayaran cukai harta pada saat pertama kepada rakyat. Sebagai ahli majlis, iaitu salah satu saluran antara majlis daerah dengan rakyat tempatan haruslah tanggungjawab dan memberi perkhidmatan yang ikhlas hati kepada rakyat tempatan. Sebaliknya, bukan hanya menolak kesalahan diri kepada orang lain dan berlakon dalam surat khabar semata-mata untuk bermain taktik politik.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Salah satu kesulitan dan masalah yang dihadapi oleh rakyat setempat di Taman Seri Sejati, Taman Maju Jaya 1 dan Taman Maju Jaya 2 adalah tiada perkhidmatan telefon dan Wifi TM sejak beberapa tahun yang lalu. Ekoran daripada kekurangan infrastruktur ini, penduduk setempat tidak dapat menikmati kemudahan tujuan perniagaan, pendidikan, sistem sekuriti mahupun mendapat mandapat berita terkini dan membuat panggilan. Signal syarikat telefon alih lain pula selalunya lemah di kawasan ini. Bagaimanakah kawasan mahu jadi maju jikalau tidak mendapat kemudahan komunikasi yang paling asas?
Kejadian sebegini adalah kerana pihak pemaju gagal menyediakan infra sivil bagi perkhidmatan telekomunikasi mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan juga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Bekok tidak faham apa masalah yang telah berlaku semasa pembinaan ketiga-tiga taman perumahan ini, sama ada majlis tempatan mahupun pemaju yang perlu menanggung kesalahan kerana majlis daerah masih tidak membalas surat aduan Bekok setakat kini walaupun sudah banyak kali Bekok menghantar surat berkenaan aduan tersebut. Adakah kes ini mengandungi unsur rasuah? Seperti titah baginda Yang Maha Mulia, orang ramai dinasihatkan untuk sama-sama membantu kerajaan menghapuskan amalan rasuah dengan mematuhi segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Menteri Besar, iaitu Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin amat mementingkan Petunjuk Prestasi Utama, iaitu KPI. Apa KPI pula yang Majlis Daerah Labis telah dapati sedangkan banyak masalah tempatan seperti yang disebut di ketiga-tiga taman perumahan berikut belum diselesaikan? Adakah kerana kesemua aduan yang belum diselesaikan melibatkan peruntukan? Jika ya, Bekok memohon supaya menteri besar lebih menumpu kepada Majlis Daerah Labis yang kecil lagi miskin kerana kami sedang menunggu-nunggukan peruntukan daripada Yang Amat Berhormat untuk menyelesaikan masalah yang selalunya menyulitkan rakyat tempatan.
Masalah yang seterusnya adalah kerja-kerja pindaan di Jalan Labis – Yong Peng, iaitu di depan persimpangan Sekolah Kebangsaan Labis. Bekok hairan mengapakah kerja-kerja pindaan ini masih belum disiapkan sejak setengah tahun yang lalu? Keadaan ini amat menyulitkan pengguna jalan raya terutamanya ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka pergi ke sekolah mahupun balik ke rumah.
Selain itu, kerja-kerja penyelengaraan lampu awam seliaan MDL di Jalan Persekutuan, Jalan Segamat-Labis pada 14 Mac 2017 masih tidak dapat menyelesaikan masalah kerana lampu jalan awam masih tidak bernyala sejak beberapa bulan yang lalu. Bekok memahami usaha majlis daerah, tetapi lampu jalan tersebut masih tidak dapat berfungsi merupakan hakikat yang amat menyulitkan pengguna jalan raya.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Sultan telah bertitah bahawa kita mesti mangamalkan perbelanjaan yang berhemah dan berusaha untuk menambah hasil dengan mencari sumber hasil baru yang lebih konsisten dan tidak boleh leka dengan lebihan hasil yang kita ada atau bersikap boros dan berbelanja sesuka hati.
Maka, Majlis Daerah Labis harus melaksanakan projek-projek pembangunan yang diperlukan oleh rakyat untuk memastikan segala perbelanjaan pembangunan dapat memberikan impak yang maksima.
Seperti contoh, sistem aduan baru melalui Whatsapp yang dilancarkan oleh Majlis Daerah Labis pada tahun lepas harus diteruskan dan membalas kepada pengadu tentang status terkini berkenaan dengan aduan mereka. Bekok tidak tahu sejak bilakah tindakan majlis daerah tidak membalas aduan telah menjadi amalan biasa majlis daerah. Kebanyakan surat aduan Bekok sama ada dalam bentuk bertulis mahupun melalui Whatsapp tidak mendapat balasan yang berpatutan.
Adakah Bekok tidak dilayan dengan adil kerana hanya aduan Bekok yang tidak mendapat balasan dan diabaikan? Hal ini demikian adalah disebabkan kaki tangan yang tidak mencukupi atau sedang menunggu peruntukan kerajaan? Sila membalas surat aduan Bekok mahupun dalam sepatah dua kata. Apa masalah yang sedang dihadapi oleh Majlis Daerah Labis boleh memberitahu Bekok dan Bekok pasti akan bersuara untuk pihak majlis daerah dalam dewan yang mulia ini. Untuk pengetahuan semua, amalan untuk membalas teguran orang lain adalah kesopanan dan tidak patut muncul dalam institusi kerajaan tempatan.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Bekok menyeru pihak majlis sentiasa memantau lesen perniagaan dikeluarkan untuk memastikan peniaga menjalankan perniagaan mereka mengikuti undang-undang. Hal ini demikian adalah kerana Bekok telah menerima banyak aduan daripada penduduk bahawa kegiatan haram seperti mesin judi, lumba kuda dan sebagainya bermula aktif di kawasan Labis. Maka, Bekok menyeru pihak berkuasa mengambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya terhadap aktiviti haram seperti ini.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Bekok menggesa pihak yang berkenaan supaya selalu memantau keadaan pemendapan dan tahap kekotaran sungai di kawasan Labis. Pihak yang berkenaan haruslah membersihkan sungai bukan sahaja mengikut jadual waktu yang telah ditetapkan, malah mengikut keadaan semasa seperti di Sungai Labis, persekitran di Pasar Awam Labis. Tindakan ini bukan sahaja bertujuan untuk menjaga kebersihan sungai dan alam sekitar, malah dapat mengelakkan banjir pada masa depan.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Pada akhirnya, Bekok ingin bersuara untuk pihak orang asli di kawasan Bekok. Peserta Rancangan Pengumpulan Semula Orang Asli (RPS) yang terdiri daripada tiga kampung, iaitu Kampung Kudong, Kampung Tamok dan Kampung Seri Tembayan menggesa supaya pihak Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) melakukan penyerahan tanah 8 ekar dan KDAJ generasi kedua projek RPS orang asli mukim Bekok pada tarikh yang telah dijanjikan. Pihak berkenaan digesa supaya mempercepatkan proses penyerahan tanah dan sentiasa mengemaskini maklumat terkini dengan peserta RPS.
Sementara itu, jalan masuk Kampung Kudong sehingga ke Kampung Selai sudah rosak. Maka, Bekok memohon jasa baik daripada pihak berkenaan supaya memperbaiki jalan tersebut.
Tambahan pula, Bekok menggesa bahawa kampung orang juga patut dilayani dengan adil dan melancarkan hotspot untuk “Johor Free Wifi” di kampung orang asli Bekok.
Y. B. Tan Sri Speaker,
Berikut merupakan ucapan Bekok pada hari ini. Semoga pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah yang lama dihadapi oleh rakyat setempat terlebih dahulu sementara melancarkan projek pembangunan negeri.
Sekian, terima kasih.