Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Selamat pagi dan Salam sejahtera. Yong Peng mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang mengambil bahagian untuk membahaskan usul menjunjung kasih ke atas Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sempena pembukaan rasmi Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang ke 13.
Y.B. Dato’ Speaker,
Sekali lagi, PBT diingatkan bahawa pelanggan utama mereka adalah penduduk tempatan yang tergolong sebagai pembayar cukai.Mereka berhak bersuara terhadap segala perkhidmatan yang tidak berpuashati.
Sekali lagi, Yong Peng meminta agar tarikh mesyuarat bulanan setiap Majlis Daerah atau Perbandaran dibuka kepada orang ramai melalui kenyataan akhbar supaya para penduduk dapat menghadiri mesyuarat tersebut.
Ini adalah amat penting kerana penduduk dapat mengetahui perkembangan dan pembangunan kawasan masing-masing dan mereka juga dapat tahu adakah aduan-aduan mereka dibawa ke dalam mesyuarat untuk tindakan selanjutnya dan bukan seperti sekarang segala aduan tidak diberitahu tarikh tindakan dapat diambil.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Pencahayaan yang mencukupi merupakan satu cara mencegah jenayah dan kemalangan jalanraya.
Yong Peng telah membuat banyak permohonan supaya menambahkan lampu jalan di kawasan Yong Peng. Yang sedih langsung tidak dapat maklumbalas dari Pihak PBT.
Yong Peng berharap permohonan lampu jalan seperti di bawah dapat dipasang secepat mungkin demi mengelakkan kes yang tidak diingini berlaku. Permohonan-permohonan adalah seperti berikut:-
- Jalan Helang di Taman Sembrong;
- Jalan Bunga Raya 5 di Taman Sri Lalang;
- Jalan ANN Loh Yuen;
- Jalan Damai Jaya 8, Taman Damai Jaya;
- Jalan Kerambit, Taman Ria;
- Jalan dari Taman Cahaya Baru ke Jalan Desa Puteh, Taman Utama.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Permohonan supaya pokok layu ditebang harus diambil berat Pihak PBT.
Bulan lepas terdapat 2 kes pokok tumbang di Ipoh Perak telah mengakibatkan penumpang kereta maut dan cedera.
Maka bagi kes yang akan membawa maut kepada seseorang, kerajaan dan PBT harus memandang berat,pemantauan harian dan tindakan secepat mungkin harus diambil.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Industri Piperolisis boleh dikatakan satu industri yang tidak eko friendly(Minta izin). Di pekan Yong Peng berdekatan Jalan Air Hitam terdapat sebuah kilang yang sentiasa mengeluarkan asap hitam dan ia juga berdekatan dengan sungai Sedi. Pekebun kecil telah banyak kali membuat aduan dan mereka khuatir industri tersebut akan mendatangkan pencemaran udara dan air. Meskipun telah dilapor ke Jabatan Alam Sekitar tetapi masih tidak ada tindakan diambil. Diharap kes ini diambil berat oleh Kerajaan Negeri.
Y.B. Dato’ Speaker,
Kesejahteraan hidup rakyat banyak bergantung kepada mutu perkhidmatan yang diberikan oleh agensi kerajaan termasuk pejabat YB Exco dan pejabat YAB Menteri Besar.
Di antara KPI yang dapat menilai prestasi kerja termasuk jangkamasa maklumbalas surat dan juga keberkesanan membalas panggilan telefon semasa waktu pejabat.
Yong Peng rasa kecewa banyak surat berkenaan aduan dan cadangan dihantar kepada Majlis Daerah Yong Peng , YB Exco Kerajaan Tempatan, YB Exco Pelancungan dan YAB Menteri Besar masih tunggu maklumbalas.
Y.B. Dato’ Speaker,
Terima kasih diucapkan kepada kerajaan Negeri atas perlancaran bas muafakat Johor di kawasan Yong Peng seperti yang dicadangkan oleh Yong Peng pada sidang yang lalu.
Setelah menaiki Bas Muafakat Johor di Pekan Yong Peng, saya mencadangkan supaya route bas ini harus termasuk semua kawasan Taman-taman perumahan seperti Taman Mewah,Taman Melor,Taman Kota keruing dan lain-lain. Ia juga harus termasuk kangkar bahru, Kg Sri Sepakat,Kg Hj Mean dan Lam Lee dimana penduduk warga emas dapat menaiki bas percuma ini ke Klinik kesihatan Yong Peng yang baru yang akan dioperasi tidak lama lagi untuk mendapat rawatan.
Seperti yang disebutkan pada sidang yang lalu, Pesakit perlu membayar 20 ringgit dengan menaiki teksi berulang-alik dari Hospital ke stesen bas Batu Pahat dan ini amat membebankan pesakit khasnya warga emas dan golongan yang berpendapatan rendah. Maka Yong Peng berharap kerajaan negeri dapat mengadakan perkhidmatan bas muafakat Johor di antara Hospital Batu Pahat dan Stesen Bas Batu Pahat.
Y.B. Dato’ Speaker,
Yong Peng juga menyeru kerajaan supaya memulihkan perkhidmatan bas dari Paloh ke Yong Peng.
Satu cara untuk mewujudkan bandar yang sangat makmur adalah dengan adanya sistem pengangkutan awam yang paling sempurna.
Untuk maklumat Dewan yang mulia ini, Tahun 2017 merupakan Tahun melancung Yong Peng, Yong Peng bercadang dengan adanya perkhidmatan bas dari Paloh ke Yong Peng akan membawa lebih ramai pelancung dari Kluang melalui Paloh ke Yong Peng dan seterusnya meningkatkan impak ekonomi Pekan Yong Peng dan Paloh.
Harap YB Paloh boleh sokong.
Y.B. Dato’ Speaker,
Kemakmuran satu negeri atau bandar adalah bergantung kepada langkah dan pemikiran satu pentadbiran yang sentiasa maju.
Apakah maksud satu pentadbir yang maju? Ia adalah bergantung kepada keupayaan dan kecekapan suatu pentadbir negeri dalam penyelesaiaan masalah penduduk warga Johor.
Y.B. Dato’ Speaker,
Yong Peng ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini dalam isu kualiti air di kawasan Yong Peng.
Semua sedia dimaklumkan bahawa kualiti air yang bersih dan bebas daripada pencemaran adalah amat penting untuk kegunaan seharian kita semua.
Y.B. Dato’ Speaker,
Dua bulan kebelakangan ini penduduk Yong Peng telah menghadapi masalah bekalan air yang berwarna kuning. Penduduk khuartir ia akan menjejaskan kesihatan mereka daripada penyakit. Ia telah mengakibatkan penduduk hidup dalam perasaan takut dan mereka amat khuartir air yang mereka minum telah dicemar dan tidak lagi selamat untuk diguna.
Inilah Filter yang penduduk Yong Peng tunjuk semalam. Sudah 2 bulan berlalu malahan masalah ini masih belum dapat diselesaikan lagi. SAJ harus sentiasa mengamalkan prinsip “Kesihatan penduduk adalah diutamakan” dan Yong Peng berharap masalah ini dapat disiasat puncanya dan diselesaikan dalam minggu ini.Kalau tidak yang kecewa dan terjejas adalah kesihatan penduduk.
Y.B. Dato’ Speaker,
Tidak dapat dinafikan selain daripada jalan yang tidak rata dan yang berlubang, struktur jalan dan jambatan yang tidak sempurna juga akan mengakibatkan peningkatan kes kemalangan maut di jalanraya.
Yong Peng ingin meminta kerajaan mengambil berat, menyiasat dan membetulkan keadaan jalan-jalan yang Yong Peng sebut seperti di bawah:-
- Jambatan Sungai Bekok di Jalan Muar yang sempit dimana ia perlu dilebarkan.
- Jalan Kluang sehingga ke Taman Ria, Sri Lalang yang mana banyak kes kemalangan maut telah berlaku di sana.
- Batu 1 Jalan Labis, yang mana bahu Jalan yang sentiasa bertakung air dan berlubang.
Lokasi tepat jalan ini hampir persimpangan Jalan Labis dan Jalan Ann Peng, senang kata Jalan ini adalah Jalan Persekutuan bersebelahan Jalan ke rumah rasmi Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Satu Negeri yang bebas daripada rasuah adalah satu impian semua bangsa Johor.
Satu sistem supaya Kerajaan bebas daripada rasuah adalah semua YB Exco dan YAB Menteri Besar mengumumkan harta benda mereka setiap tahun selepas dilantik jawatan.Yong Peng bersedia mengumumkan harta dan sama juga rakan-rakan saya di sini. Saya berharap YB-YB di sebelah sana boleh ikut bersama.
Yong Peng juga berpendapat sistem Kuota Parti dalam system pengagihan rumah murah, rumah sederhana dan rumah mampu milik yang mungkin senang diserang rasuah, maka ia haruslah dihapuskan demi satu Negeri yang bebas daripada rasuah.
Yang Berhormat Dato speaker,
Semasa kerja melawat Yong Peng ke pejabat Tanah Batu Pahat, didapati satu piawai kerja atau SOP kerja seperti tempoh permohonan penukaran tukar syarat, panjang panjakkan dan sebagainya telah dipaparkan di kaunter. Suara piawai itu kelihatan sangat sesuai.
Tetapi yang paling penting adalah setiap Jabatan harus mengikut apa yang dipaparkan dan kalau tidak ia hanya dijadikan sebagai satu hiasan di dinding Pejabat tersebut sahaja.
Y.B. Dato’ Speaker,
Saya menyeru supaya Pihak Kerajaan jangan berkecil hati selepas isu–isu tersebut dibangkit oleh Pihak Pembangkang.
Semua teguran dan pertanyaan merupakan satu sistem yang sihat di semua negara Demokratik dimana Pihak Pembangkang sebagai sistem check and balance (minta izin) supaya segala pentadbiran kerajaan mengamalkan segala sistem dan policy dengan cekap, jujur dan Amanah.
Yong Peng tidak bersetuju dengan ucapan seperti Ceramah Politik YAB Menteri Besar bahawa DAP hanya mementingkan kaum Cina sahaja. Bahkan semua isu yang dibawa oleh ADUN-Adun pembangkang dalam dewan yang mulia ini adalah isu demi semua bangsa Johor tidak kira kaum dan agama. Ini semua demi keselesaan rakyat.
Kami di sini juga tidak mahu nanti hari kami menjadi kerajaan hanya dapat satu account yang tidak intigriti dan dalam angka negatif.
Y.B. Dato’ Speaker,
Yong Peng telah membawa banyak isu di Dewan Yang Mulia ini dalam masa 4 Tahun ini untuk tindakan kerajaan.
Diantaranya ada yang telah diselesai dan fasiliti tersebut telah dinikmati penduduk tempatan seperti Sekolah Agama Seri Yong Peng, Sekolah Agama Taman Kota, Sekolah JKC (Tamil) Ladang Yong Peng dan Klinik Kesihatan Yong Peng yang baru yang akan disempurnakan kecuali 10 ekar tanah yang dijanji kerajaan Negeri Johor kepada Sekolah Cina Yong Peng.
Di sini Yong Peng ucapkan terima kasih kepada Agency kerajaan yang sudi tolong selesaikan masalah di Kawasan Yong Peng dan juga tahniah Pengundi Kawasan Yong Peng.
Y.B. Dato’ Speaker,
Akhir sekali, saya menyeru pihak kerajaan mengambil perhatian dan tindakan segera untuk menyelesaikan masalah dan isu-isu yang Yong Peng bangkitkan dalam ucapan tadi. Tidak kira kita di sebelah pembangkang atau kerajaan,memberi khidmat untuk keselesaan dan kesejahteraan rakyat adalah tanggungjawab bersama, Kita Bersatu, Bertindak berjaya.
Dengan semangat yang membara, kita melangkah dengan megah untuk mencapai cita mulia.
Apa itu cita-cita Rakyat?
Cita-cita semua ADUN harus selari dengan cita-cita rakyat iaitu wujudkan satu kerajaan yang cekap, jujur dan AMANAH.
Y.B. Dato’ Speaker,
Sekian ucapan saya, terima kasih.