Skip to content

Ugutan dari UUM menyekat hak kebebasan bersuara pelajar

Saya mengecam Timbalan Naib Canselor (TNC) Universiti Utara Malaysia (UUM) kerana mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menghalang para pelajar membuat sebarang kenyataan atau terlibat dalam akitiviti yang berkaitan dengan kes kematian pelajar Vinosiny Sivakumar.

Pada 27 Mei 2022, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed “mengingatkan” pelajar melalui kenyataan rasmi agar tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan kes kematian pelajar serta memberi amaran kepada pelajar agar tidak membuat sebarang spekulasi atau pendapat tentang kes ini. Mana-mana pelajar yang didapati melanggar arahan tersebut boleh diambil tindakan tatatertib oleh pihak UUM.

Kenyataan TNC UUM yang menyekat kebebasan bersuara para pelajar bertujuan untuk mengugut dan menakutkan pelajar agar berhenti mempersoalkan kes kematian Vinosiny dan mencari kebenaran.

Setelah kematian pelajar dalam asrama berlaku dan disyaki berpunca daripada renjatan elektrik, pihak pengurusan universiti sepatutnya memberi penjelasan kepada keluarga mangsa dan seluruh warga universiti berlandaskan prinsip ketelusan dan akauntabiliti.

Sedangkan maklumat yang diberi oleh pihak UUM sehingga kini adalah amat terhad, TNC memilih untuk mengancam para pelajar dengan tindakan tatatertib agar pelajar tidak lagi mempersoalkan kes kematian tersebut.

Tindakan UUM yang cuba mengancam dan menakutkan para pelajar agar tidak membuat sebarang komen terhadap kes ini menimbulkan persoalan dalam kalangan warga universiti dan orang ramai, iaitu sama ada pihak universiti sedang berusaha sedaya upaya untuk melarikan diri daripada tanggungjawab dan akauntabiliti.

Sebenarnya, sebelum kerajaan BN-UMNO tumbang pada tahun 2018, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dalam universiti awam sering menggunakan tindakan tatatertib sebagai alat untuk mengugut dan menghukum pelajar yang berani menyatakan pendapat atau bantahan mengenai isu dalam dan luar kampus.

Pada tahun 2014, setelah Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya menjemput ketua pembangkang Anwar Ibrahim untuk berucap dalam kampus, HEP UM mengambil tindakan tatatertib terhadap pelajar, termasuk menggantung pengajian bekas presiden Persatuan Mahasiswa selama dua semester.

Selain itu, pada tahun 2016, pihak HEP UM juga memberi amaran keras dan mengenakan denda terhadap empat orang pelajar yang mengangkat plakad sebagai protes dalam forum 1MDB yang bertujuan mencuci otak pelajar.

Kerajaan BN-UMNO dulu sering campur tangan dalam hal ehwal universiti dan memperalatkan HEP untuk menghukum pelajar yang berani menyatakan bantahan. Malangnya, campur tangan politik yang berlaku dulu berkemungkinan akan mengulangi dalam UUM.

Akhir sekali, saya mengecam pihak pengurusan UUM kerana menyekat hak kebebasan pelajar dengan melarang pelajar mencari kebenaran dan mengugut pelajar dengan tindakan tatatertib.