Bulan Ramadan kali ini sekali lagi dicemari gelagat samseng pasar Ramadan di Kluang. Mereka bertindak jelek cuba mengasari wakil-wakil Pakatan Harapan yang hanya datang melawat untuk menyampaikan sumbangan buah kurma, sejenis makanan bukannya senjata.
Ibarat sudah menjadi acara saban tahun, di saat umat Islam percaya syaitan dipasung pada bulan mulia ini, samseng-samseng pasar Ramadan pula keluar mempamerkan gelagat mereka. Kita bersyukur kerana rakyat rata-ratanya mengecam tindakan cuba mengambil alih kerja syaitan itu.
Kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim dan Ketua Bahagian UMNO Kluang, Md Jais Sarday mempertahankan samseng pasar Ramadan sudah cukup menjelaskan kepada kita siapa di belakang samseng-samseng ini. Tidak hairanlah samseng-samseng ini tidak pernah gentar dan takut untuk terus berlagak samseng.
Saya ingin mengajak warga Malaysia merenung sejenak, perhatikan setiap insiden samseng politik, pasti ada kaitannya dengan UMNO. Bukan sekali dua samseng-samseng politik UMNO datang ke ibupejabat parti lain dan membuat huru-hara dan merosakkan harta benda.
Ada yang pernah mengugut untuk membakar bangunan DAP dan sehingga hari ini kita masih tidak tahu ke mana penghujungnya siasatan polis terhadap mereka. Amat membimbangkan apabila gambaran umum yang kita warga Malaysia sering dapat adalah mereka itu kebal undang-undang dan semakin membiak banyak.
Buli dan Samseng Dalam Politik
Dewasa ini kita sering dikejutkan dengan berita melibatkan kes buli yang hingga mengakibatkan korban nyawa. Kita menangisi mereka yang menjadi mangsa buli dan terkorban. Kita bimbangkan nasib dan masa depan anak-anak kita, apakah mereka akan selamat dari budaya buli?
Budaya buli dan samseng wajar ditangani. Tetapi bagaimana kita mahu tangani jika budaya buli dan samseng ini terus disuburkan oleh UMNO yang merasakan mereka paling berkuasa di dunia ini? Kita warga Malaysia perlu bimbang. Bimbang kita cuba meniup padam sumbu-sumbu api berbahaya namun mereka yang berkuasa terus menerus membakar kampung. Disebabkan ada yang menghalalkan perbuatan samseng dan buli seperti itulah perkara sebegini masih berlaku dan akan terus berlaku meskipun sesudah 60 tahun Merdeka.
Pemimpin UMNO seperti Razali Ibrahim dan Md Jais Sarday boleh mencipta pelbagai alasan untuk menghalalkan perbuatan samseng itu. Sehingga kita warga Malaysia cuba dibodohkan dengan alasan seperti pemberian kurma percuma akan menjejaskan perniagaan kurma.
Namun hakikatnya mereka cuma mahu mempertahankan kesamsengan dan tabiat membuli mereka. Bukankah suspek buli di UPNM menggunakan alasan pelik bahawa perbuatan buli mereka itu bertujuan memaksa mangsa mengaku kesalahan seperti yang diberitahu oleh bomoh?
UMNO dan buli berpisah tiada. Sekarang terpulang kepada kita warga yang waras, apakah mahu bersama mereka UMNO sang pembuli, atau kita mahu bersama-sama mereka yang berusaha membina Malaysia yang aman baik di dalam masyarakat mahupun politik.