Seperti biasa pihak UMNO hanya tahu menuduh sembarangan tanpa usul periksa atau faham konteks ucapan dalam bahasa lain (http://www.sinarharian.com.my/nasional/pemuda-umno-desak-kulasegaran-letak-jawatan-1.862002). Tidak ada sebab bagi Saudara M. Kulasegaran untuk meletakkan jawatannya sebagai Menteri Sumber Manusia hanya kerana ucapannya dalam bahasa Tamil diputarbelitkan oleh pihak-pihak yang tak bertanggungjawab tempoh hari.
Walaupun ucapannya dalam bahasa Tamil diputarbelitkan dan beliau difitnah bukan-bukan, namun beliau meminta maaf atas sebab tidak mahu salah faham terhadap ucapan beliau berlanjutan sehingga menjadi bahan politik kotor yang selalu dimainkan oleh UMNO. Namun demikian, Saudara Kulasegaran patut ambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memutarbelitkan ucapan bahasa Tamil beliau.
Sebaliknya, UMNO patut rajin mengkaji sejarah dan belajar mengenai sejarah-sejarah Nusantara serta kerajaan-kerajaan dahulu seperti Srivijaya, Majapahit, Kedah, dan kesultanan Melayu Melaka zaman dahulu sebelum dan selepas ajaran Islam sampai ke kepulauan Melayu. Adalah penting bagi kita semua mengenali asal-usul negara kita dan menghayatinya kerana ini adalah sebahagian daripada identiti rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Bagi sebuah parti seperti UMNO yang kononnya memperjuangkan bangsa Melayu, amat memalukan jika mereka sendiri tidak tahu akan sejarah kepulauan Melayu dan juga asal-usul Melayu Nusantara.
Akhir kata, jika ahli-ahli UMNO tidak faham bahasa Tamil mungkin Ahli Parlimen Baling Datuk Azeez yang fasih berbahasa Tamil boleh memberikan tunjuk ajar kepada ahli UMNO mengenai ucapan saudara Kulasegaran tempoh hari bagi pengesahan.