Skip to content

Kerajaan Negeri Johor sedia perkemas pengurusan sisa binaan

Pengurusan sisa binaan telah menjadi tumpuan pihak Kerajaan Negeri Johor susulan tindakan penguatkuasaan oleh pihak SWCorp Negeri Johor terhadap kontraktor yang melupuskan sisa binaan tersebut di kawasan tidak digazetkan dan telah diputuskan oleh pihak mahkamah pada awal bulan ini.

Dengan ini ditegaskan bahawa pihak Kerajaan Negeri Johor tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan para kontraktor yang bertentangan dengan arus perundangan. Sebaliknya, pihak Kerajaan Negeri Johor amat terbuka dan bersedia untuk mengadakan pertemuan, perkongsian dan perundingan bersama para kontraktor dalam menemukan langkah penyelesaian yang memenangkan semua pihak.

Sehubungan dengan itu, satu pertemuan dan perundingan telah diadakan oleh pihak Kerajaan Negeri Johor bersama Persatuan Kontraktor Pengurusan Sisa Binaan pada hari ini bagi membincangkan kekangan yang dihadapi mereka untuk melupuskan sisa binaan dan cadangan bagi melicinkan pengurusan sisa berkenaan.

Berdasarkan perbincangan tersebut, pihak Kerajaan Negeri Johor cakna dan prihatin akan kekangan yang dihadapi para kontraktor antaranya seperti yuran pelupusan, pengoperasian di tapak pelupusan serta kemudahan pelupusan yang terhad dan tidak ekonomikal bagi perkhidmatan tersebut.

Susulan daripada itu, pihak Kerajaan Negeri Johor bersedia untuk mengadakan perbincangan bersama pihak yang berkepentingan bagi bersama-sama memperkemas operasi pengurusan sisa binaan sekaligus dapat membanteras kawasan longgokan sampah dan tapak pelupusan haram di negeri Johor.

Dalam pada itu juga, pihak Kerajaan Negeri Johor juga akan mempertimbang dan mempercepat permohonan untuk mewujudkan kemudahan khusus bagi melupuskan sisa binaan bagi menampung keperluan sektor tersebut seiring dengan pembangunan pesat di serata negeri Johor. Pertimbangan akan turut diberikan terhadap perkara berkaitan pemilihan tanah pelupusan sisa binaan khususnya yang kini digunapakai oleh para kontraktor.

Justeru itu, sekali lagi ditegaskan bahawa pihak Kerajaan Negeri Johor bersedia untuk duduk berbincang bagi menemukan penyelesaian tuntas dan saksama. Malah, tindakan tegas akan dikuatkuasakan terhadap kontraktor yang gagal manfaatkan kemudahan tersebut dengan mengambil jalan mudah.

ihak Kerajaan Negeri Johor akan memaklumkan perkembangan tentang sebarang langkah penyelesaian yang ditemukan daripada semasa kepada semasa.