Skip to content

Unjuran cukai koprat 2021 tidak realistik

Menteri Kewangan membuat unjuran bahawa cukai Koprat bagi tahun 2021 akan meningkat. Cukai Koprat yang dikutip bagi tahun 2020 adalah lebih kurang RM59.4 bilion. Pada tahun 2019 Cukai Koprat yang dikutip oleh kerajaan adalah dalam lingkungan RM63.8 bilion. Ini adalah kutipan cukai sebelum pandemik Covid-19.

Penularan wabak Covid-19 telah mengakibatkan sektor koprat menguncup pada tahun 2020. Sektor koprat menghadapi pelbagai masalah disebabkan Kawalan Pergerakan dan penguncupan pemasaran di dalam dan di luar negara. Kekangan dari segi tenaga kerja juga menyukarkan lagi pengoperasian sektor koprat pada tahun 2020. Penyusutan pendapatan adalah amat ketara. Justeru, kutipan cukai koprat juga turut berkurangan bagi tahun berkenaan.

Tetapi, yang peliknya adalah mengenai unjuran Menteri Kewangan bahawa cukai koprat bagi tahun 2021 adalah RM64.6 bilion iaitu lebih tinggi daripada kutipan cukai yang sama pada tahun 2019. Unjuran ini adalah tidak munasabah. Ekonomi negara kita masih belum pulih. Masalah Covid-19 juga masih tidak menentu. Sektor koprat masih terjejas. Banyak juga perniagaan-perniagaan yang telah menggulung tikar. Oleh itu, adalah amat sukar sekali untuk mencapai unjuran Menteri Kewangan yang tidak realistik.

Adakah kerajaan cuba mengaburi mata rakyat dengan angka-angka bayangan seperti ini. Walaupun dijangka akan berlaku pemulihan ekonomi pada tahun hadapan, tetapi tidak mungkin untuk mencapai jumlah yang diunjurkan. Apatah lagi, jika sekiranya Covid-19 terus menular dan mengancam pada tahun 2021.