Skip to content

Usul untuk menggesa Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui agensi masing-masing mengambil tindakan segera untuk memastikan isu pencemaran air sungai yang mengganggu bekalan air tidak berlaku lagi

Saya telah mengemukakan suatu usul yang dikeluarkan di bawah Peraturan Tetap 26(1) Dewan Negeri Selangor bertarikh 9hb Oktober 2016 untuk menggesa Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui agensi masing-masing mengambil tindakan segera untuk memastikan isu pencemaran air sungai yang mengganggu bekalan air tidak berlaku lagi kerana kegagalan ini akan terus mendatangkan kesusahan kepada rakyat Selangor. Usul ini telah dihantar dengan tangan pada 10hb Oktober 2016 kepada Setiausaha Dewan.

Saya dan rakan-rakan saya di Dewan Negeri Selangor memandang serius kejadian pencemaran air sungai yang berlaku 3 kali dalam masa sebulan ini yang telah menyebabkan beratus ribu pintu terjejas dengan gangguan bekalan air. Kerajaan negeri telah mengambil apa jua langkah-langkah yang berada di dalam bidang kuasanya untuk menyelesaikan masalah yang timbul akibat kejadian tersebut. Walau bagaimanapun, kejadian pencemaran pada 15hb Oktober 2016 dan 23hb Oktober 2016 telah disahkan berlaku di Sungai Samantan, Pahang dan Sungai Buah, Negeri Sembilan masing-masing yang air sungainya mengalir ke dalam negeri Selangor. Kerajaan Selangor tiada sebarang bidang kuasa terhadap tempat kejadian tersebut memandangkan ia berada di luar negeri Selangor. Justeru itu, saya mendesak kerajaan persekutuan untuk mengambil langkah sewajarnya dengan kadar segera dan memandang serius perkara ini kerana walaupun kerajaan negeri berbeza dengan persekutuan, rakyat tidak bersalah. Kepentingan rakyat Selangor harus dilindungi juga oleh kerajaan persekutuan dan biar kita mengenepikan perbezaan politik dan terus berkhidmat untuk rakyat jelata.

Saya menyarankan supaya menteri-menteri tidak berpolitik dalam isu ini dan kita harus bersama-sama meneyelesaikan pemasalahan ini. Isu air bukan sahaja berlaku di negeri Selangor. Kota Tinggi dan Mersing di Johor telah menghadapi catuan air sejak April 2016 sehingga kini akibat kekurangan air mentah dan ia pula tidak diwar-warkan dalam media perdana. Kawasan Parlimen Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak iaitu Pekan juga menghadapi masalah bekalan air. Bagi menyelesaikan permasalahan ini, kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan sewajarnya bekerjasama dan bukan lagi terus berpolitik seperti yang ditunjukkan oleh sesetengah menteri kabinet. Sepertimana yang telah disarankan oleh Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo supaya Menteri Dalam Negeri Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan langkah-langkah yang akan diambil oleh kementerian beliau untuk membantu menangani isu pencemaran sungai, ia sepatutnya dijawab dengan segera sekiranya Timbalan Perdana Menteri itu berjiwa rakyat.

Sehari setelah gesaan Gobind, tiada sebarang maklumbalas daripada Zahid dan ia adalah sangat mengecewakan. Sebagai seorang Menteri Dalam Negeri, beliau sepatutnya lebih peka dengan isu-isu yang mengancam keselamatan negara kita biarpun ancaman tersebut adalah dalam segi kekerasan ataupun sebaliknya. Beliau tidak boleh terus berdiam diri dan kini, 6 juta orang rakyat Selangor jika bukan keseluruhan 30 juta orang rakyat Malaysia sedang menunggu jawapan beliau.

Selain daripada itu, ketika kerajaan Selangor sedang giat mengambil tindakan terhadap kilang-kilang haram di sepanjang sungai, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar juga harus mengarahkan semua PBT beserta dengan Pejabat Tanah dalam negara ini mengambil tindakan tegas terhadap kilang-kilang haram terutamanya kilang-kilang yang terletak di sepanjang sungai.