Walaupun Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin mempunyai hak untuk mempertahankan dasar kerajaan, termasuk amalan pengambilan kakitangan kontrak dalam agensi berita nasional Bernama dan Bernama TV, tidak ada sebab untuk beliau membuat serangan yang tidak wajar dan tidak berasas terhadap pengadu. Adakah dengan membuat serangan peribadi cubaan Zahidi untuk menutup aduan Sydney Yap Xi Ni dan mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang dibangkitkan mengenai Bernama?
Semalam Zahidi berkata Bernama mungkin mempertimbangkan untuk “memeriksa kesihatan” kakitangan Bernama TV yang akan berhenti, Sydney Yap Xi Ni, yang sebelum ini mengetengahkan aduan pemotongan gaji dan masalah dalaman lain di cabang TV agensi berita itu. Zahidi menambah, “Mungkin dia ‘tension’, sakit mental, atau mungkin dia bergaduh dengan sesiapa…,”.
Tingkah laku keterlaluan oleh seorang Timbalan Menteri seperti ini adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima. Zahidi dan Bernama mungkin tidak berpuas hati apabila Sidney mengadu tetapi mereka harus membenarkan siasatan bebas terhadap isu yang dibangkitkan dan proses sewajarnya dijalankan. Membuat serangan peribadi sebelum proses sewajarnya selesai adalah tidak bertanggungjawab dan tidak sesuai dengan jawatannya sebagai Timbalan Menteri.
Ini bukan kali pertama Zahidi dilaporkan melakukan serangan peribadi terhadap wanita muda yang membuat aduan mengenai kekurangan dan kelemahan kerajaan. Sebelum ini pada 2020, beliau telah menyerang seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah, Veveonah Mosibin dari Pitas, Sabah, kerana membangkitkan keadaan infrastruktur digital dan rangkaian yang lemah di kawasan luar bandar di Sabah.
Video viral Veveonah memanjat pokok untuk mendapatkan akses Internet bagi menduduki peperiksaan dalam talian, pada mulanya diperlekehkan oleh Zahidi sebagai percubaan Veveonah untuk berpura-pura mengambil peperiksaan universiti di atas pokok untuk mempopularkan saluran YouTubenya. Berikutan bantahan awam yang besar, Zahidi kemudiannya terpaksa meminta maaf kepadanya pada September 2020 kerana kenyataannya yang tidak tepat.
Serangan terbaru ke atas seorang lagi wanita muda yang membuat aduan mengenai Bernama, adalah lebih serius apabila Zahidi memanggilnya sakit mental dan mempersoalkan kesihatan mentalnya, sekali gus menjejaskan prospek pekerjaan masa depannya. Zahidi harus menunjukkan contoh yang baik dengan menjalani pemeriksaan kesihatan mental sendiri kerana terus melakukan serangan peribadi terhadap wanita muda yang berani mengadu tentang kegagalan dasar dan kelemahan kerajaan.
Sekiranya Zahidi terlupa, Perlembagaan Persekutuan secara automatik melucutkan kelayakan Ahli Parlimen dan Senator yang disahkan kurang siuman.