Sukan vs politik – sukan sering menjadi mangsa – Oleh Fairuz Azhan

25 NOVEMBER – Tatkala seluruh rakyat Malaysia bersatu menyokong kontinjen negara pada temasya Sukan SEA di Indonesia, ada pula yang mengambil kesempatan sempena pesta sukan terbesar Asia Tenggara tesebut untuk membuat kenyataan berbaur politik.

Sesungguhnya kontinjen negara kita amat tidak popular di Indonesia. Isu ini bukanlah isu baru kerana kebelakangan ini warga Indonesia tidak berpuas hati dengan Malaysia atas pelbagai isu, termasuk isu iklan Kementerian Pelancongan, pertindanan tuntutan sempadan Sarawak dan Kalimantan, dan mungkin juga layanan buruk sesetengah rakyat kita terhadap warga mereka yang bekerja di sini.

Namun apabila Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata bahawa layanan buruk kontinjen negara adalah disebabkan “para pemimpin pembangkang yang memburukkan negara apabila mereka ke Indonesia”, kita rasa seperti mahu menangis, sama ada kerana tak berhenti-henti ketawa atau pun kerana memikirkan nasib dam maruah negara kerana  mempunyai seorang pemimpin kerajaan sebegini.

Cheap shot’ atau pun ‘political jab’ yang merepek seperti inilah yang sering menjadi menjadi bahan berita media kawalan UMNO-Barisan Nasional khususnya lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia.

Sesungguhnya hasrat paling murni acara kesukanan adalah untuk merapatkan hubungan sesama insan biar di peringkat tempatan, mahu pun antara negara. Seharusnya sukan dan politik sewajarnya dipisahkan.

Tetapi dalam sejarah memang banyak peristiwa sukan di seluruh dunia yang menjadi medan untuk membuat kenyataan politik

Tinju dipolitikkan

Dalam tahun 1930-an, juara tinju heavyweight Max Schmeling diangkat oleh parti rasis Nazi sebagai lambang ketuanan banga Arya dan lambang masa depan Jerman. Dalam perlawanan yang penuh simbolik dan berorientasikan politik, beliau telah menewaskan  peninju kulit hitam Joe Loius dengan tumbukan ‘KO’.

Di Jerman Schmeling yang sebenarnya anti-Nazi mendapat sambutan meriah daripada rakyat dan dijulang sebagai wira oleh rejim Adolf Hitler.

Dalam perlawanan ulangan New York, Presiden F.D. Roosevelt berkata, “Anda harus menang. Amerika memerlukan otot-otot anda untuk menewaskan Jerman.”

Perlawanan menjadi lebih tegang apabila juru publisiti Nazi yang mengiringi peninju tersebut berkata bahawa “Mustahil seorang kulit hitam boleh menewaskan kami, dan apabila kami menang, wang tersebut akan digunakan untuk membina kereta kebal Jerman.”

Setelah menewaskan Schmeling, juga dengan tumbukan KO, pada pusingan pertama, Louis berkata, “Saya perlu menang atas alasan peribadi dan negara saya telah mengharapkannya.”

Dalam arena bola sepak pula seperti yang kita sedia maklum, memang sudah banyak rentetan sejarah dan peristiwa yang melibatkan politik.

Bola sepak dipolitikkan

Israel, mengikut kedudukan geografinya, pada asal merupakan ahli Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). Namun pada kerana keengganan negara-negara Arab dan negara umat Islam untuk bermain dengan mereka, mereka kini mereka bernaung di bawah Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Kelab bolasepak Sepanyol, Athletic Bilbao pula terkenal kerana dasar cantera di mana mereka hanya mengambil para pemain dari wilayah Basque sahaja dan tradisi itu masih kekal hingga hari ini. Kebanyakan penduduk Basque terutamanya zaman dahulu tidak menganggap diri mereka warga Sepanyol tetapi mahu merdeka sebagai negara Basque.

Tidak lupa juga sejarah FC Barcelona dan Real Madrid di mana Real Madrid suatu masa dahulu merupakan kelab naungan diktator fasis Jeneral Francisco Franco manakala FC Barcelona yang terletak di kawasan Catalunya merupakan kubu kuat golongan anarkis dan sosialis.

Bekas pengurus Barcelona Sir Bobby Robson pernah berkata, “FC Barcelona bukan sekadar kelab bola sepak tetapi mewakili aspirasi warganya. Ia merupakan askar Catalunya.” Ia sepadan dengan moto kelab itu “més que un club” yang bermaksud lebih dari sekadar sebuah kelab.

Dalam perlawan akhir Piala Dunia 1966 yang dimenangi England menentang Jerman Barat, terdapat satu gol kontroversi yang dijaringkan Sir Geoff Hurst. Pada zaman itu tiada teknologi canggih ulang tayang untuk memastikan sama ada rembatan beliau telah melepasi garisan gol.

Namun demikian, dengan penuh kontroversi, penjaga garisan dari Soviet Union telah membenarkan gol tersebut. Apabila beliau ditanya mengapa beliau berbuat demikian, dijawabnya dengan satu perkataan, “Stalingrad”. Ia merujuk kepada bandar Soviet Union yang diserang habis-habisan dengan kejam dan zalim serta teruk dimusnahkan oleh tentera Hitler dalam Perang Dunia Kedua.

Sukan Olimpik dipolitikkan

Sudah tentu banyak lagi contoh lain yang boleh dikemukakan, termasuk keadaan di mana pasukan bola sepak negara kita tidak berpeluang menyertai Sukan Olimpik di Moscow 1980, walau pun telah layak, kerana Malaysia menyertai Barat untuk memboikot sukan global itu atas alasan Soviet Union telah menyerang Afghanistan.

Sebagai balasannya sekutu-sekutu Soviet pula memboikot Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles kerana membantah pemulauan sukan itu di Moscow empat tahun sebelumnya. Malah, Iran di bawah rejim agama telah memboikot kedua-dua sukan itu atas alasan kuasa-kuasa besar telah campur tangan dengan hal-ehwal dunia, termasuk di negara-negara Asia Barat.

Politik dan sukan sepatutnya dipisahkan

Seharusnya, acara-acara sukan serata dunia terutamanya yang melibatkan penglibatan pelbagai negara tidak dijadikan medan politik. Ia adalah untuk merapatkan hubungan sesama manusia.

Temasya Sukan SEA yang bertujuan mengeratkan silaturrahim antara kita di rantau Asia Tenggara tetapi kerana politik, kontinjen kita menerima layanan buruk di Indonesia. Kita memang mengutuk tindakan berbau politik dari pihak negara jiran kita.

Tetapi pemimpin politik kita tidak sepatutnya mengambil kesempatan itu untuk menimbulkan fitnah pula di kalangan rakyat sendiri.

Sukan tidak harus dipolitikkan, sama ada oleh pemangsa atau yang menganggap diri menjadi mangsa. Kita warga Malaysia tidak perlu melatah terhadap layanan buruk sewaktu di Indonesia.

Kita mesti tunjukkan pada dunia bahawa kita merupakan masyakat madani dan bertamadun yang menghormati pelbagai masyarakat dunia ini. Kita tidak perlu hirau dengan segelintir pemimpin politik kita yang hanya pandai mencari publisiti politik tanpa mempedulikan nasib dan masa depan rakyat.

Apabila tidak dipisahkan, sukan menjadi mangsa politik. – Roketkini.com

Recommended Posts