Skip to content

Adakah pihak polis akan memastikan keselamatan orang ramai dijamin semasa Perhimpunan Perkauman September 16 pada Hari Malaysia?

Sikap tidak bertanggungjawab dan hipokrit sesetengah pemimpin tertinggi UMNO yang juga menteri kanan kerajaan menggalakkan perhimpunan perkauman September 16 harus dikecam sekeras-kerasnya.

Kenyataan yang tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pemimpin UMNO terutama daripada Jamal Md Yunos bahawa beliau tidak akan menolak kemungkinan sesetengah peserta akan mengamuk kerana ‘beremosi’ ketika perhimpunan diadakan harus dikecam sekeras-kerasnya dan juga dipandang serius oleh pihak polis kerana ini melibatkan keselamatan umum.

Pihak Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) tidak akan menyoal hak untuk berhimpun kerana ia adalah hak setiap rakyat Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan. Namun, kami menyeru pihak polis untuk mengutamakan dan memastikan keselamatan orang ramai di seluruh Kuala Lumpur terutamanya pada cuti umum Hari Malaysia.

Orang awam termasuk orang Islam berasa dalam ketakutan dan tidak ada sesiapa berani untuk turun ke Kuala Lumpur pada hari tersebut kerana bimbang akan keselamatan masing-masing. Pihak penganjur perhimpunan perkauman ini tidak mengambil kira bahawa perhimpunan provokasi sebegini akan merugikan ekonomi tempatan, mencetuskan ketegangan di antara kaum tanpa sebab dan menakutkan orang ramai termasuk orang Islam. Ini juga akan menjejaskan Hari Malaysia yang sepatutnya mempromosikan harmoni sesama rakyat Malaysia.

Sekali lagi, pihak DAPSY menyeru kepada pihak polis untuk memberikan jaminan keselamatan kepada orang ramai dan para pelancong untuk mengurangkan keresahan.