Skip to content

“Azam Baki Perlu Berundur” DAPSY Seru Berpegang Teguh kepada Semangat “Reformasi”

1. DAPSY Kebangsaan menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki untuk berundur dengan serta-merta susulan kontroversi pemilikan saham dan dakwaan berkaitan integriti SPRM. DAPSY menegaskan bahawa kedudukan beliau kini telah menjadi liabiliti kepada Kerajaan Perpaduan dan terus menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

2. DAPSY mengiktiraf bahawa di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pelbagai reformasi institusi dan pembaharuan positif telah digerakkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, termasuk peningkatan peruntukan kepada sekolah-sekolah pelbagai aliran, usaha pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, penggubalan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta inisiatif untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri. Namun, reformasi yang bersifat jangka panjang ini tidak wajar dicemari atau dibayangi oleh isu integriti seorang individu dalam institusi antirasuah.

3. DAPSY menegaskan bahawa kini kerajaan sedang membawa agenda reformasi dan antirasuah, isu Azam Baki tidak boleh dipandang ringan. Sikap berdiam diri atau membiarkan perkara ini berlalu akan mengundang persepsi budaya “melindungi orang atasan” yang pernah menjerut negara pada era lama, sekali gus mengecewakan penyokong reformasi dan menggugat keyakinan terhadap hala tuju Kerajaan Perpaduan.

4. Berhubung himpunan yang baru-baru berlaku di Kuala Lumpur, DAPSY menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil serius suara generasi muda. Apabila anak muda merasakan mereka terpaksa turun ke jalan raya untuk menyatakan kebimbangan terhadap kredibiliti institusi antirasuah, isyarat itu wajib ditafsir sebagai amaran dan teguran yang sihat dalam sebuah demokrasi.

5. DAPSY menekankan bahawa langkah paling berkesan untuk mengembalikan keyakinan anak muda dan rakyat adalah dengan menunjukkan ketegasan terhadap prinsip antirasuah, bukan menafikan kebimbangan mereka, apatah lagi memandang remeh tuntutan untuk memulihkan reputasi integriti institusi.

6. Pada masa yang sama, DAPSY berpegang bahawa semua pihak tidak perlu melayan segelintir ahli politik yang hanya lantang apabila sudah tidak berkuasa atau mengamuk apabila dah kalah dalam pemilihan parti tetapi dahulunya pula memilih untuk membisu. Tumpuan sebenar adalah sama ada pendukung reformasi khususnya Pakatan Harapan berani mempertahankan prinsip dan memastikan agenda pembaharuan tidak direncatkan.

7. DAPSY turut mengingatkan bahawa
perjuangan “Reformasi” selama ini adalah konsisten untuk menolak pelantikan individu yang terpalit isu rasuah atau integriti dalam jawatan tinggi kerajaan. DAPSY menyeru untuk mempertahankan dan melaksanakan prinsip yang sama pada hari ini kerana rakyat menilai melalui tindakan, bukan retorik.

8. Jika kerajaan gagal memperkukuh komitmen terhadap ketelusan dan akauntabiliti pada saat ini, krisis kepercayaan ini akan menjadi lebih parah. Oleh itu, langkah paling wajar dan bertanggungjawab adalah memastikan Azam Baki berundur serta-merta dan memberi ruang kepada siasatan yang benar-benar menyeluruh, telus dan meyakinkan rakyat.