Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Sempena Tahun Kuda dalam zodiak Cina pada sambutan tahun baharu ini, berbekalkan nilai-nilai keberanian, kepantasan dan ketekunan, Pulau Pinang kekal yakin untuk terus mengorak langkah ke arah memacu Visi Penang2030. Semangat kebersamaan, kemakmuran dan keharmonian yang menjadi tunjang utama akan dikekalkan bagi membolehkan kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi dapat dikecapi semua rakyat negeri ini.
Tahun 2025, kita telah mengharungi pelbagai cabaran dan kekal tangkas mengorak langkah ke hadapan dengan iltizam serta semangat yang terus membara #UntukNegeriKita. Pulau Pinang terus mengekalkan momentum kukuh apabila mencatatkan jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan sebanyak RM217.42 bilion bagi tahun 2019 sehingga suku ketiga 2025, sekali gus membuktikan bahawa ketahanan ekonomi yang berorientasikan daya saing dengan tumpuan terhadap pelaburan berimpak tinggi.
Menyentuh konteks pembangunan modal insan, Kerajaan Negeri kekal komited memastikan setiap anak di Pulau Pinang mempunyai akses serta peluang pendidikan berkualiti dengan persekitaran selesa dan kondusif. Sejak 2009 hingga kini, lebih RM141.9 juta telah disalurkan kepada 90 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC); Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK, 12); Sekolah Mubaligh (24) serta Sekolah Menengah Cina Persendirian (5) yang bertapak di negeri ini.
Keharmonian masyarakat berbilang kaum turut menjadi elemen penting dalam pembangunan sosioekonomi negeri, yang mana Kerajaan Negeri senantiasa memastikan semua komuniti dapat menjalankan ibadat agama masing-masing dengan selesa serta selamat. Bantuan Kewangan Tabung Amanah / Peruntukan Khas Hal Ehwal Bukan Islam (RIBI) diteruskan, dan sejak tahun 2016 sehingga 2025, sebanyak 411 permohonan telah diluluskan meliputi pelbagai kategori dengan jumlah peruntukan RM16.114 juta.
Saban tahun, pastinya Pulau Pinang tidak pernah terkecuali dengan pengisian kepelbagaian program sambutan khasnya untuk seisi keluarga. Pesta Kebudayaan Miao Hui yang kini menjadi ikon budaya di negeri ini bakal berlangsung pada hari kelima sambutan Tahun Baharu Cina. Lebih bermakna, saya berharap anak-anak Pulau Pinang yang pulang ke kampung halaman dan juga para pengunjung dari dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang untuk menikmati 16 item Warisan Kebudayaan Tidak Ketara yang bakal diwartakan kelak, antaranya nasi kandar, char kue kak, oh chien, mi Hokkein, mi sotong, roti benggali termasuk budaya kopitiam, perarakan chingay, perarakan Thaipusam serta loghat Tanjong.
Tanglung-tanglung merah yang digantung di seluruh Pulau Pinang menghangatkan lagi suasana sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini. Gemerlapan cahaya-cahaya lampu di Kek Lok Si pastinya terus menjadi tarikan utama. Sebagaimana dalam kepercayaan masyarakat Cina, adalah diharapkan warna merah yang menghiasi setiap pelosok negeri yang kita cintai ini membawa tuah, kemakmuran, kebahagiaan dan tenaga positif. Semoga tuah ini membawa kita ke arah ‘A Better Penang’ berteraskan ‘livelihood economy’ yang kita perjuangkan demi memastikan tiada pihak yang terpinggir serta dipinggirkan.
Sebagai penutup kata, marilah kita terus semarakkan semangat perpaduan, saling menghormati serta bekerjasama demi membina masa depan Pulau Pinang yang lebih gemilang. Semoga pertemuan dan penyatuan dengan sanak keluarga serta orang tersayang pada tahun baharu ini mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah sedia terjalin.
Selamat Tahun Baharu Cina, Xin Nian Kuai Le!