1. DAPSY Kebangsaan menzahirkan penghargaan terhadap tindakan pantas dan rasional oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjawab persoalan berkaitan “Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi Berbahasa Cina” di Klinik Kesihatan Setapak.
2. DAPSY merakamkan setinggi-tinggi pujian kepada KKM kerana menunjukkan profesionalisme dan tahap fleksibiliti pentadbiran yang tinggi dalam menjawab isu tersebut. KKM telah menegaskan dan mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi pada masa yang sama berpegang kepada prinsip mengutamakan pesakit dalam pelaksanaan tugas. Pendekatan yang menyeimbangkan dasar kerajaan dan etika perubatan benar-benar mencerminkan KKM yang dimiliki oleh seluruh rakyat Malaysia.
3. DAPSY menegaskan bahawa majoriti rakyat Malaysia sememangnya mampu berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan baik dan lancar. Namun begitu, hak untuk memperoleh maklumat kesihatan yang tepat tidak seharusnya dinafikan bagi sebahagian kecil masyarakat yang tidak fasih menggunakan Bahasa Kebangsaan.
4. Etika utama dalam bidang perubatan ialah menyelamatkan nyawa. Dalam soal kesihatan dan keselamatan nyawa, bahasa sepatutnya menjadi jambatan komunikasi, bukannya tembok yang menghalang mana-mana pesakit daripada menerima rawatan.
5. Kini, kebanyakan klinik kerajaan mempunyai petugas kesihatan yang mahir dalam pelbagai bahasa ibunda rakyat Malaysia. Malah, ramai doktor dan jururawat berbangsa Melayu juga sering menggunakan istilah asas dalam bahasa ibunda pesakit warga emas demi memudahkan penerangan mengenai keadaan kesihatan mereka.
6. Interaksi yang berlandaskan etika perubatan ini bertujuan memastikan ketepatan komunikasi dalam proses diagnosis dan rawatan, sekali gus menjamin hak serta kefahaman pesakit dengan sebaik mungkin.
7. Sebagai contoh, pendekatan KKM sewaktu pandemik COVID-19 juga membuktikan bahawa penggunaan pelbagai bahasa dalam sektor kesihatan bukanlah sesuatu yang asing.
8. Apabila pandemik COVID-19 berada pada tahap paling kritikal, kerajaan turut menggerakkan ramai sukarelawan yang mahir dalam pelbagai bahasa bagi melancarkan proses saringan berskala besar. Tujuannya adalah untuk meningkatkan keberkesanan usaha memerangi wabak dan menyelamatkan nyawa rakyat. Oleh itu, dakwaan bahawa penggunaan bahasa lain mencabar kedudukan Bahasa Melayu adalah tidak berasas dan keterlaluan.
9. Disebabkan faktor sejarah dan latar belakang pendidikan yang berbeza, sesetengah warga emas bukan sahaja tidak fasih menggunakan Bahasa Melayu moden, malah ada yang tidak mampu menguasai bahasa ibunda mereka dalam bentuk tulisan.
10. Namun begitu, golongan ini telah berpuluh-puluh tahun bekerja keras demi menyara keluarga dan turut menyumbang kepada pembangunan negara melalui tenaga kerja dan pembayaran cukai.
11. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia adalah fakta yang tidak pernah dipertikaikan sama sekali. Namun, dari segi realiti kehidupan masyarakat majmuk, penggunaan pelbagai bahasa secara praktikal sentiasa wujud dan harus diberi ruang.
12. DAPSY berpandangan bahawa pentadbiran KKM akan terus berjalan lancar dan tidak terjejas selagi laporan perubatan dan rekod rasmi KKM disediakan dalam Bahasa Melayu. Penggunaan bahasa lain sebagai bahasa tambahan di klinik hanyalah bagi memenuhi keperluan komunikasi yang mendesak.
13. DAPSY dengan tegas menyatakan bahawa kedudukan Bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, pentadbiran, politik dan pendidikan negara adalah kukuh dan tidak boleh digugat. Malah, generasi muda Malaysia hari ini secara umumnya mampu bertutur dalam Bahasa Melayu.
14. Ancaman sebenar terhadap Bahasa Melayu bukanlah sekeping kad tambahan dalam bahasa Cina di klinik kerajaan, tetapi sikap segelintir “polis bahasa” yang taksub bermain retorik politik tanpa mengambil kira realiti pelaksanaan di lapangan.
15. Golongan ini bukan sahaja tidak menyumbang kepada pemerkasaan budaya dan perkembangan Bahasa Melayu dalam era moden, malah memaksa orang lain menerima stereotaip dan pandangan sempit mereka sendiri.
16. Sehubungan itu, DAPSY menyeru para pengkritik supaya turun sendiri ke klinik-klinik kerajaan untuk melihat cabaran sebenar yang dihadapi petugas kesihatan barisan hadapan, dan bukannya memainkan isu politik di media sosial sehingga menambah beban kepada petugas perubatan yang sememangnya sudah sibuk dan berdepan masalah kekurangan tenaga kerja.