Skip to content

Segerakan Penambahan Doktor di Hospital Kuala Kubu Bharu

  1. Saya memandang serius situasi kekurangan Pegawai Perubatan di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) yang kini semakin kritikal dan memberi kesan langsung kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di kawasan Hulu Selangor, khususnya Kuala Kubu Bharu. 
  2. Berdasarkan maklumat yang diterima, pada ketika ini hanya terdapat 34 Pegawai Perubatan yang menjalankan tugas klinikal sepenuhnya di HKKB. Daripada jumlah tersebut, 13 orang ditempatkan di Unit Kecemasan dan Trauma yang bertugas secara syif, 9 orang di Unit Perubatan Am, 7 orang di Unit Pembedahan Wanita dan Kanak-Kanak, manakala 5 orang lagi merupakan Pegawai Perubatan separa klinikal.
  3. Sehingga Jun 2025, seramai 3 Pegawai Perubatan sedang mengikuti Cuti Belajar Bergaji Penuh (HLP) menggunakan perjawatan HKKB, dan jumlah ini dijangka meningkat kepada 6 orang mulai Jun 2026.
  4. Sejak Januari 2026, kekurangan Pegawai Perubatan semakin ketara akibat cuti bersalin atau menjaga anak (2 orang), seorang pegawai bercuti tanpa gaji sehingga Disember 2026, seorang pegawai akan bertukar keluar selepas menerima lantikan tetap, dan seorang lagi bercuti sakit panjang akibat barah. Keadaan ini menjadikan seramai 10 Pegawai Perubatan tidak dapat berada di lapangan klinikal secara fizikal walaupun perjawatan mereka masih diisi.
  5. Tambahan pula, 2 Pegawai Perubatan telah tamat kontrak tanpa pengisian baharu dilakukan. Keadaan ini menyebabkan beban kerja yang tinggi termasuk pelaksanaan double syif di Unit Kecemasan dan Trauma, sekali gus berisiko menjejaskan kualiti perkhidmatan serta keselamatan pesakit.
  6. Kekurangan tenaga kerja ini telah menyebabkan peningkatan beban tugas yang amat ketara termasuk pelaksanaan double shift di Unit Kecemasan dan Trauma.
  7. Situasi ini bukan sahaja memberi tekanan kepada petugas kesihatan, malah berpotensi menjejaskan kualiti perkhidmatan dan keselamatan pesakit sekiranya tidak ditangani dengan segera.
  8. Sehubungan itu, pihak HKKB telah memohon sekurang-kurangnya 11 Pegawai Perubatan bagi menggantikan pegawai yang meletak jawatan, menyambung pengajian dan menerima lantikan tetap mulai Jun 2026. Pada masa yang sama, HKKB turut memohon penambahan sehingga 41 Pegawai Perubatan bagi memenuhi keperluan sebenar hospital, sekali gus melancarkan perkhidmatan kepada pesakit serta memenuhi keperluan kebajikan dan latihan pegawai untuk meningkatkan kecekapan perawatan dan kualiti rawatan pesakit.
  9. Hospital Kuala Kubu Bharu bukanlah satu-satunya hospital yang berdepan isu kekurangan Pegawai Perubatan. Menurut kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada 7 Ogos 2025, seramai 705 pegawai perubatan dan 1,394 jururawat Kementerian Kesihatan (KKM) yang berkhidmat melebihi lima tahun, meletak jawatan dalam tempoh 2022 hingga 2024.
  10. Situasi ini menunjukkan bahawa isu kekurangan tenaga kesihatan memerlukan pendekatan jangka panjang dan penyelesaian yang menyeluruh di peringkat nasional.
  11. Saya menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mencari jalan penyelesaian yang tuntas dan berkesan, termasuk menawarkan sebanyak 4,500 lagi jawatan tetap untuk pegawai perubatan pada tahun 2026.
  12. Ini merupakan komitmen fiskal kerajaan demi memastikan doktor-doktor muda mempunyai masa depan kerjaya yang lebih stabil serta mampu terus berkhidmat dalam sistem kesihatan awam negara.
  13. Namun begitu, saya tetap mendesak pihak KKM supaya permohonan pihak HKKB disegerakan, disegerakan, disegerakan kerana Hospital Kuala Kubu Bharu merupakan satu-satunya hospital awam di daerah Hulu Selangor yang menampung beban keperluan kesihatan rakyat yang amat tinggi.
  14. Kesihatan rakyat tidak boleh dipandang ringan. Saya juga mendesak supaya permohonan penambahan sehingga 41 orang Pegawai Perubatan diberi perhatian serius demi memastikan kelancaran operasi hospital serta penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan berkesan.