Skip to content

Kerajaan umum berita gembira buat pesawah di Program Sentuhan Agro Madani Negeri Perak

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan bersetuju untuk menambah baik Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) dengan meningkatkan kadar subsidi daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan. Dengan langkah ini bermakna pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1700 per metrik tan dan secara langsung akan meningkatkan pendapatan pesawah serta memberi motivasi kepada pesawah untuk meningkatkan pengeluaran. Langkah ini dilaksanakan segera dan berkuat kuasa pada hari esok, 9 Ogos 2023. Pengumuman dibuat menerusi Program Sentuhan Agro MADANI Negeri Perak, dihadirinya hari ini.

Kenaikan kadar SSHP melibatkan implikasi kewangan tambahan sekitar RM360 juta setahun dan dengan itu, jumlah peruntukan SSHP akan mencecah RM1 bilion setahun. Langkah ini akan meningkatkan pendapatan pesawah sekali gus melonjakkan penghasilan padi negara daripada SSL 65% ke tahap maksimum.

Kerajaan juga komited untuk menyemak semula mekanisme penggredan padi berdasarkan parameter pengilangan iaitu daripada segi kualiti, kelembapan dan kebersihan varieti padi bagi menjamin harga yang berpatutan dan adil kepada pesawah padi.

Komitmen kerajaan sepertimana terkandung dalam Belanjawan 2023 bagi membangunkan industri padi dan beras adalah melalui inisiatif berikut iaitu meneruskan pemberian subsidi dan insentif berjumlah RM1.6 billion iaitu peningkatan peruntukan sebanyak 5.9% berbanding tahun 2022, menyalurkan bantuan tunai kepada pesawah sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM228 juta dan mengagihkan 30% daripada keuntungan bersih import beras oleh BERNAS untuk dikongsi kepada pesawah.

Dalam majlis yang sama, YAB Perdana Menteri turut menyampaikan bantuan berjumlah RM21.8 juta yang memanfaatkan 28,295 orang pesawah dan peladang di negeri Perak. Bantuan-bantuan yang disampaikan adalah di bawah Program Pemerkasaan Usahawan Peladang (Rise-UP), Program Pemilikan Jentera Kecil dan Sederhana Secara Geran Padanan, Program Agriprentice, Dana Tabung Hijrah MADANI Agrobank, Bantuan Khas Sumbangan Tunai Kepada Pesawah dan Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah.

Kementerian sentiasa cakna dalam menggalas tanggungjawab memastikan tahap bekalan makanan negara kekal terjamin. Inisiatif ini juga diharap dapat merealisasikan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam menaikkan taraf sosio ekonomi pesawah dan menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat.