Skip to content

Menentang Jho Low diberi pengampunan

Saya menyambut baik pendirian tegas Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa Jho Low tidak wajar diberi sebarang pengampunan, sebaliknya mesti dibawa pulang ke Malaysia untuk disiasat, didakwa dan dibicarakan.

Jho Low bukan mangsa politik. Beliau ialah individu buruan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, skandal penyelewengan dana kerajaan terbesar di Malaysia.

Sebab itu saya amat terkejut apabila Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata isu laporan permohonan pengampunan Jho Low kepada Presiden Donald Trump hanya akan dibawa ke perhatian Kabinet minggu depan.

Dalam isu sebesar ini, kerajaan tidak boleh kelihatan lembap atau berkira-kira. Bantahan rasmi Malaysia mesti dihantar segera kepada kerajaan Amerika Syarikat melalui saluran diplomatik dan undang-undang.

Pendirian negara mesti jelas. Jho Low tidak patut diampun. Beliau patut ditangkap, diekstradisi dan dibawa ke muka pengadilan di Malaysia.

Najib Razak juga tidak wajar menerima sebarang pengampunan lanjut. Beliau telah disabitkan bersalah dalam kes SRC International berkaitan 1MDB dan telah pun menerima pengurangan hukuman serta denda.

Jangan jadikan pengampunan sebagai pintu belakang untuk mereka yang terlibat dalam skandal kewangan terbesar negara.

Jika dalang, pelaku atau penerima manfaat skandal 1MDB dan SRC boleh mencari jalan keluar melalui pengampunan, mesej kepada dunia amat memalukan.

Rompak negara dahulu, minta ampun kemudian.

1MDB tidak boleh disapu bersih dengan pengampunan politik. Ia mesti diselesaikan dengan penangkapan, pendakwaan, perbicaraan dan hukuman yang setimpal.