Skip to content

Pembinaan PPR merupakan satu berita yang amat baik buat Warga Pulau Pinang yang telah lama dianak-tirikan

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming telah mengadakan lawatan kerja ke Pulau Pinang tempoh hari dan telah membuat pengumuman yang baik untuk Warga Pulau Pinang, khususnya dari segi peruntukkan untuk pembangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Pengumuman baik tersebut telah menyatakan komitmen Kerajaan Persekutuan Perpaduan yang bakal membina 1,000 unit PPR di bahagian Pulau, iaitu kawasan Jelutong dan kawasan Kepala Batas di bahagian Seberang Perai yang dianggarkan bernilai sebanyak RM200 juta.

Komitmen ini merupakan satu berita yang amat baik buat Warga Pulau Pinang yang telah lama dianak-tirikan khususnya dari segi isu pembekalan projek PPR. Usaha sama di antara Kerajaan Negeri yang bertanggung jawab untuk mengenal pasti lokasi dan tanah yang sesuai ini akan disambut baik oleh Kerajaan Persekutuan melalui peruntukkan yang diumumkan tersebut.

Fakta ini telah sekaligus membongkarkan dusta yang sering kali dimainkan oleh Perikatan Nasional khususnya Gerakan yang sering mengitar-semulakan pembohongan bahawa tiada projek PPR yang dibina di Negeri Pulau Pinang.

Walaupun memahami fakta dan polisi bahawa tanggungjawab pembinaan PPR ini adalah dibawah Kerajaan Persekutuan, sentimen politik dusta ini sering kali dimainkan oleh Parti Gerakan dan PN yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri tidak membina PPR, namun hakikatnya adalah Kerajaan Negeri senantiasa bersedia, malah telah mengenal pasti tanah-tanah yang bersesuaian di kelima-lima daerah Pulau Pinang untuk tujuan pembangunan PPR.

Susulan daripada pengumuman baik YB Nga Kor Ming, ini telah sekaligus membuktikan bahawa Gerakan dan PN telah gagal sama sekali dalam isu pembangunan PPR di Pulau Pinang. Biarpun Parti Gerakan merupakan sebahagian daripada Kerajaan Gagal yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin pada seketika, isu PPR di Pulau Pinang telah dibisukan oleh Kerajaan Gagal tersebut dan ulang kali diputar-belitkan oleh Parti Gerakan.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming di atas berita baik tersebut, bukan semata-matanya Pulau Pinang yang telah dianak-tirikan sekian lama akhirnya berjaya diperuntukkan PPR yang sewajarnya, malah pengumuman itu turut membuktikan bahawa Parti Gerakan dan Perikatan Nasional adalah “scammer” yang terbesar di Pulau Pinang.