Hospital Seri Manjung yang telah menerima peruntukan naiktaraf berjumlah RM73.17 juta, namun saya ingin menegaskan betapa pentingnya pemilihan kontraktor yang benar benar berkualiti bagi melaksanakan projek ini bagi mengelakkan projek tergendala.
Kerajaan telahpun memperuntukkan sejumlah RM60 juta melalui Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015). Tender rasmi projek naiktaraf tersebut telahpun dilancarkan pada 7 September 2015. Namun begitu kontraktor yang memasuki tender tersebut tidak dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak JKR.
Saya telah lama menekankan masalah projek naiktaraf hospital ini. Soalan ini pernah diajukan di dalam parlimen, dan jawapan bertulis yang diterima melalui Jabatan Perdana Menteri telahpun meluluskan peruntukan baru berjumlah RM73.17 juta pada 7 Mac 2018. Proses pembukaan tender akan diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya.
Kesan inflasi dan kenaikan kos bakal merencatkan lagi projek naiktaraf hospital ini disebabkan masa yang diambil adalah terlalu lama untuk memulakan projek yang sepatutnya dimulakan pada tahun 2016. Sekiranya pihak kerajaan tidak meluluskan bantuan tambahan, keadaan ini akan merencatkan proses naik taraf seperti cadangan asal.
Rancangan naiktaraf Hospital Manjung yang diumumkan dahulu bakal menyaksikan pertambahan Klinik Pakar ENT, Klinik Pakar Pergigian, Klinik Pakar Psikiatri dan kemudahan CT Scan. Sebelum ini, pesakit perlu dirujuk ke Hospital Ipoh bagi mendapatkan rawatan-rawatan tersebut. Sekiranya projek ini dapat dimulakan dengan segera dengan peruntukan yang mencukupi, ia akan memberikan manfaat yang besar kepada pesakit pesakit di kawasan ini.
Oleh itu, saya berharap agar proses pembidaan tender dapat dijalankan dengan sempurna. Perkara pokok yang harus diambil kira adalah pemilihan kontraktor yang berkaliber yang mampu untuk memastikan projek berjalan dengan baik. Saya juga berharap agar kontraktor yang dipilih akan menjalankan tanggungjawab dengan berkesan, kerana setiap hari yang bertangguh bakal memberikan impak terhadap pesakit pesakit di kawasan ini.