Skip to content

Pilih Sundarajoo sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Prai untuk mencapai tiga matlamat – (i) Prai yang lebih baik dan progresif (ii) Pulau Pinang sebagai bandar dunia dan (iii) Malaysia bangkit sebagai negara hebat dunia

Saya menyeru para pengundi di Prai untuk memilih calon Pakatan Harapan–Barisan Nasional, S. Sundarajoo sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Prai untuk mencapai tiga matlamat seperti berikut:

  1. Untuk Prai yang lebih baik dan progresif;
  2. Pulau Pinang sebagai bandar dunia; dan
  3. Malaysia bangkit semula sebagai negara hebat dunia.

Para pengundi di Prai tidak boleh membiarkan perbezaan pendapat di mana-mana atau perkara kecil menyekat usaha mencapai ketiga-tiga matlamat ini.

Ada mereka yang mengatakan Chow Kon Yeow tidak patut menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang atau dia tidak akan dapat berkhidmat sepenuh penggal lima tahunnya tetapi perkara ini telah dinafikan oleh pimpinan DAP kebangsaan dan tidak ada sebab untuk perkara ini terus menjadi isu.

Ada mereka yang mengatakan Sundarajoo bukan seorang anak jati Pulau Pinang sedangkan dia telah tinggal dan bekerja di Pulau Pinang selama 20 tahun dan mengundi di sini tiga kali.

Tetapi yang paling penting sekali, tiga matlamat yang hendak dicapai dengan memilih Sundarajoo sebagai ADUN Prai adalah (i) memastikan Prai menjadi lebih baik dan progresif, (ii) menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar bertaraf dunia, dan (iii) memastikan Malaysia bangkit semula sebagai sebuah negara hebat dunia dan menghentikan kisah sedih di mana Malaysia terus ditinggalkan di belakang satu demi satu negara.

Sundarajoo yang saya kenali adalah seorang yang jujur dan bekerja keras, yang tahu membezakan di antara perkara yang betul dan salah.

Dia tahu erti keadilan, belas kasihan, dan solidariti.

Saya langsung tidak teragak-agak untuk menggesa Sundarajoo dipilih sebagai ADUN Prai.

Saya gunakan peluang ini untuk meminta semua rakyat Malaysia, bukan sahaja untuk mengundi undi mereka dan memastikan anak-anak dan sanak saudara mereka untuk pulang dan mengundi, tetapi juga untuk menjadi petugas kempen dan menjelaskan kepada orang ramai mengapa penting untuk mereka mengundi pada hari Sabtu ini.

Setiap undi bermakna, dan sekarang bukanlah masanya untuk memboikot pilihan raya atau memecahkan undi kerana peluang yang ada di hadapan kita di antara pilihan sama ada Malaysia terus merosot atau bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia ini tidak akan datang lagi.