Satu lagi suntikan dana sebanyak RM45 bilion sebagai rangsangan ekonomi boleh menyebabkan defisit kewangan negara melebar hingga 9% daripada KDNK tetapi dapat membantu Malaysia keluar segera daripada kemelesetan ekonomi COVID-19. Penyusustan KDNK Malaysia sebanyak 17.1% pada suku tahun kedua adalah yang paling teruk di ASEAN. Tambahan RM45 bilion seperti yang telah dilakukan pada bulan April, sangat diperlukan bagi meletakkan ekonomi kita kembali ke landasan untuk menyelamatkan perniagaan dan pekerjaan.
Thailand, yang bergantung kepada sektor pelancongan hampir 2 kali lebih tinggi berbanding Malaysia, baru saja mengumumkan 12.2% penguncupan pertumbuhan suku tahun kedua yang lebih rendah daripada jangkaan. Sekiranya kerajaan Persekutuan terus mengambil sikap sambil lewa dan percaya bahawa ekonomi akan pulih sendiri, maka kita akan terus mengalami kejutan demi kejutan yang menyakitkan sepanjang baki tahun ini.
Pertumbuhan KDNK tahun-ke-tahun bagi ekonomi utama Asean
| Ekonomi | Pertumbuhan KDNK suku tahun pertama |
Pertumbuhan KDNK suku tahun kedua |
| Malaysia | 0.7% | -17.1% |
| Indonesia | 3.0% | -5.3% |
| Filipina | -0.2% | -16.5% |
| Singapura | -0.3% | -13.2% |
| Thailand | -1.8% | -12.2% |
| Vietnam | 3.8% | 0.4% |
Berdasarkan angka Kementerian Kewangan mengenai defisit 5.8% hingga 6% kepada KDNK (seperti dalam jawapan Parlimen yang dilampirkan) untuk tahun ini, saya mengunjurkan suntikan dana tambahan sebanyak RM45 bilion akan menyebabkan defisit melebar kepada 9% daripada KDNK. Defisit 9% daripada KDNK boleh diterima jika untuk menyelamatkan hidup rakyat dengan menyelamatkan perniagaan dan pekerjaan mereka. Defisit 9% kepada KDNK bukan angka terburuk yang pernah direkodkan. Defisit terburuk Malaysia kepada KDNK adalah pada tahun 1982, pada 16.6% dan pada tahun 1981, pada 15.6% daripada KDNK.
Malah Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan juga tidak yakin dengan permainan politik Kerajaan, kerana data ekonomi menunjukkan bahawa Kerajaan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan kemelesetan ekonomi. Walaupun terdapat suntikan dana RM45 bilion, data Bank Negara Malaysia menunjukkan perbelanjaan mengurus suku tahun kedua kerajaan turun 2.1% daripada tahun lalu, berbanding kenaikan 5.2% pada suku tahun pertama.
Kerajaan sebenarnya masih boleh menggunakan pinjaman daripada pasaran tempatan seperti yang telah mereka lakukan untuk suntikan dana RM45 bilion sebelum ini (seperti jawapan parlimen dilampirkan). Pada akhir Jun 2020, saiz pasaran bon tempatan adalah RM1.6 trilion (termasuk bon kerajaan, bon korporat dan kertas BNM). Penerbitan hutang di dalam negeri berjumlah RM45 bilion mampu diterima dan disokong oleh pasaran.


