Presiden Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu, Muhyiddin Yassin, dan Presiden PAS, Hadi Awang, patut menjelaskan mengapa dalam 35 35 tahun pertama kerjaya politik saya, tuduhan liar dan tidak masuk akal yang kononnya saya ini anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei, dan seorang komunis tidak pernah timbul sebaliknya fitnah-fitnah ini hanya muncul dalam 20 tahun terakhir kerjaya politik saya dalam abad ke-21.
Sekiranya saya ini anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969, dan seorang komunis, tuduhan-tuduhan ini sepatutnya telah pun dikemukakan dalam 35 tahun terawal kerjaya politik saya. Mengapakah tuduhan-tuduhan ini hanya dibuat dalam 20 tahun yang lepas?
Bolehkah Muhyiddin menjelaskan mengapa dia mendekati saya secara bersorok-sorok di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada tahun 2016 untuk mengelakkan pemerhatian Cawangan Khas semasa meminta sokongan DAP terhadapnya untuk dia menjadi Perdana Menteri sekiranya saya ini anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei, dan seorang komunis?
Bolehkah Hadi menjelaskan mengapa PAS bekerjasama dengan DAP dua kali, pertama kali di bawah pimpinan Fadzil Nor dalam Barisan Alternatif pada tahun sembilan puluhan dan kali kedua di bawah pimpinan Hadi dalam Pakatan Rakyat sejak Pilihan Raya Umum ke-12 sehinggalah tahun 2015 sekiranya benar DAP ini anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei, dan komunis?
Kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan dari Mei 2018 hingga Februari 2020 telah dituduh sebagai didominasi DAP dan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad juga dituduh sebagai boneka dan orang suruhan saya.
Adakah Mahathir bersetuju yang kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan ini didominasi DAP dan bahawa dia hanyalah boneka dan orang suruhan saya?
Dalam tempoh 22 bulan ini, saya tidak sertai sekali pun Kabinet Mahathir, dan saya tidak pernah meminta Mahathir untuk melantik sesiapa atau melaksanakan apa-apa dasar. Pimpinan DAP juga tidak tahu menahu mengenai rancangan Mahathir untuk mengumumkan dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada bulan September 2018 yang Malaysia akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa untuk Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD) dan Statut Rom. Menteri Luar Negeri ketika itu, Saifuddin Abdullah adalah saksi terbaik bahawa DAP tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini.
Adakah kini Mahathir akan mengatakan yang dia membuat pengumuman ini atas arahan DAP?
Sebab mengapa fitnah-fitnah yang mengatakan DAP ini kononnya anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei, dan komunis tidak pernah dibuat dalam 35 tahun pertama kerjaya politik saya ada dua: pertamanya, tuduhan-tuduhan ini adalah penipuan semata-mata, dan kedua, parti-parti politik Melayu tidak melihat DAP sebagai ancaman kepada asas politik mereka.
Dalam 20 tahun terakhir kerjaya politik saya, parti-parti Melayu mula melihat DAP sebagai ancaman terhadap asas sokongan orang Melayu mereka memandangkan terdapat perubahan pemikiran dan kini semakin ramai orang Melayu yang bersetuju dengan ideologi DAP bahawa Malaysia adalah untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, asalkan mereka komited sebagai seorang rakyat Malaysia.
Kami mencatatkan sejarah pada tahun 1990 dengan Ahmad Nor dipilih sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru. Dalam pilihan raya umum 2013, dua orang Ahli Parlimen Melayu DAP menang – Zairil Khir Johari untuk Bukit Bendera dan Mohd Ariff Sabri bin Abdul Aziz untuk Raub. Ada seorang Ahli Parlimen DAP menang dalam PRU 2018, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, di Raub. Dan tiga orang Ahli Parlimen DAP Melayu dalam PRU 2022, Syahredzan bin Johan, Bangi, Young Syefura Othman, Bentong, dan Syerleena Abdul Rashid, Bukit Bendera.
Dalam 20 tahun yang lepas, DAP dilihat sebagai ancaman yang bersaing dengan parti-parti politik Melayu untuk sokongan orang Melayu dan momokan terhadap DAP sebagai kononnya anti Melayu, Islam, dan Raja, kononnya pencetus rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, dan kononnya komunis telah dilampirkan sebagai reaksi defensif mereka untuk menghalang DAP dari mendapat sokongan orang Melayu.
Namun, perkara ini adalah seperti kisah King Canute dan Ombak dan pilihan raya pada 12 Ogos ini akan menentukan sama ada akan adanya kestabilan politik dan perpaduan nasional dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, dan kawasan untuk menjadikan Selangor dan Malaysia sebagai contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia dan sama ada Malaysia mampu untuk bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia.
Saya menunggu jawapan dari Muhyiddin dan Hadi, dan juga Mahathir.
DAP tidak pernah anti-Islam, tetapi kami menolak semua bentuk Islam yang bersifat ekstremis dan tidak bertoleransi, seperti mana kami menentang semua bentuk fahaman Buddha, Kristian, Hindu, Tao, atau Sikh yang bersifat ekstremis dan pelampau kerana kami mahukan sebuah Malaysia yang menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini mungkin sama penting dengan Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 yang lepas, dan ada lima sebab mengapa para pengundi di Kinrara perlu mengundi gabungan Pakatan Harapan–Barisan Nasional!
Pertama, kita mahu Ng Sze Han dipilih semula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri untuk Kinrara dan menjadi Exco negeri Selangor.
Kedua, kita mahu Amirudin Shari untuk terus menjadi Menteri Besar Selangor untuk lima tahun yang akan datang untuk terus membangunkan Selangor ke peringkat yang lebih tinggi.
Ketiga, kita mahu menyokong kerajaan perpaduan Anwar di peringkat kebangsaan.
Apa-apa pun yang terjadi dalam enam pilihan raya pada 12 Ogos ini, kerajaan perpaduan Anwar tidak boleh ditumbangkan memandangkan Ahli-ahli Parlimen kini dilarang untuk melompat parti.
Tetapi kemenangan majoriti dua-pertiga untuk gabungan PH–BN di Selangor, dan juga Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan menguatkan usaha untuk kerajaan perpaduan Anwar di peringkat persekutuan untuk melaksanakan rancangan Ekonomi Madani supaya Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia dengan matlamat-matlamat seperti berikut:
- Menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dari segi kadar keluaran dalam negara kasar. Malaysia buat masa ini berada di tempat ke-35.
- Berada dalam kedudukan 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD. Kita sedang berada di tempat ke-27.
- Tempat 25 ke atas dalam Indeks Pembangunan Manusia PBB. Tempat semasa adalah ke-62.
- Tempat 25 ke atas dalam Indeks Persepsi Rasuah. Tempat semasa adalah ke-61.
Dalam beberapa dekad yang lepas, Malaysia telah mengalami kemerosotan, ditinggalkan di belakang Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong, dan Vietnam.
Kita kini berada dalam bahaya ditinggalkan di belakang China, Indonesia, dan India pula dalam masa terdekat ini dan PAS dan Bersatu dalam PN tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk membangkitkan semula Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, sebaliknya, hanya ada dasar yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup.
Kita perlu mengundi bukan sahaja untuk lima tahun yang akan datang, tetapi untuk 20 ke 30 tahun yang akan datang, demi anak-anak dan cucu-cucu kita.
Kelima, untuk menyelamatkan Malaysia. Kita tidak mahu Malaysia menjadi satu kegagalan antarabangsa, sebaliknya kita mahu Malaysia menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, dan tamadun kepada dunia.
Ada pepatah Cina yang mengatakan: “国家兴亡,匹夫有责” (Dalam kebangkitan dan kejatuhan sesebuah negara, semua orang bertanggungjawab).
Kita perlu menjadi seorang rakyat Malaysia yang patriotik.
Kita tidak boleh hanya mengundi sahaja dalam pilihan raya pada 12 Ogos ini, kita juga perlu menasihati sanak saudara dan rakan-rakan kita untuk pulang mengundi dari luar kawasan dan luar negara, dan setiap rakyat Malaysia di Kinrara, Selangor, dan Malaysia perlu bekerjasama menjadi petugas pilihan raya untuk memastikan adanya kadar keluar mengundi tertinggi dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini untuk kita bersama menghentikan kemerosotan negara dan selamatkan Malaysia!