1. Di bawah dasar BUDI95, semua rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah layak menerima subsidi minyak RON95. Kini timbul cadangan supaya subsidi ini ditarik daripada golongan kaya, khususnya kumpulan T20.
2. Pada pandangan pertama, cadangan ini kelihatan logik. Memang benar subsidi sepatutnya membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Namun persoalannya bukan sekadar siapa layak menerima subsidi, tetapi sama ada kerajaan mempunyai sistem yang cekap, adil dan telus untuk melaksanakan dasar tersebut tanpa menjejaskan ekonomi rakyat.
3. Cabaran pertama ialah kesukaran mengenalpasti golongan benar-benar kaya berdasarkan “net disposable income”. Sistem PADU yang diperkenalkan sebelum ini masih belum membuktikan keupayaannya sebagai pangkalan data yang benar-benar lengkap, tepat dan diyakini rakyat. Jika data tidak tepat, maka dasar juga akan menjadi tidak tepat. Akhirnya rakyat biasa yang susah.
4. Kerajaan juga perlu memahami bahawa ramai rakyat Malaysia tidak mempunyai pendapatan tetap. Ada peniaga kecil dan golongan bekerja sendiri yang pada bulan tertentu memperoleh pendapatan melebihi RM15,000, tetapi pada bulan-bulan sukar hanya membawa pulang RM2,000. Keadaan ekonomi dunia sekarang tidak menentu. Harga minyak dunia naik turun, kos import meningkat, perdagangan global juga perlahan. Semua ini memberi kesan kepada pendapatan rakyat.
5. Sebab itu kerajaan tidak boleh menggunakan ukuran pendapatan kasar semata-mata untuk menentukan siapa “kaya” dan siapa “tidak kaya”. Pendapatan tinggi tidak semestinya bermaksud kehidupan mewah. Ada yang menanggung pinjaman rumah, pendidikan anak-anak, kos rawatan ibu bapa dan komitmen perniagaan yang besar.
6. Malaysia hari ini masih berdepan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan harga tenaga global dan kelembapan ekonomi serantau. Bila kos meningkat kepada satu kumpulan, akhirnya kesannya akan sampai juga kepada rakyat lain melalui harga barang dan perkhidmatan. Jika pelaksanaan dilakukan secara tergesa-gesa, kesannya bukan sahaja kepada golongan T20, tetapi akan merebak kepada keseluruhan rantaian ekonomi negara.