Skip to content

Teks Perbahasan Titah Diraja Kebawah Duli Mulia Tengku Mahkota Pahang oleh ADUN Tanah Rata YB Ho Chi Yang pada 12 Mei 2026

Terima Kasih kepada Dato’ Sri Speaker, Yang Amat Berhormat, Yang Berhormat-Yang Berhormat, pegawai-pegawai kerajaan salam sejahtera.

Saya merakamkan ucapan menjunjung kasih ke atas Titah Diraja Kebawah Duli Mulia Tengku Mahkota Pahang.

Pertama sekali, izinkan saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Diraja Menteri Besar kerana telah mencatat pencapaian yang membanggakan dengan memperoleh kutipan hasil negeri sebanyak lebih daripada 1 billion bagi empat tahun berturut-turut. Pencapaian ini membuktikan komitmen tinggi, dedikasi, dan keberkesanan tadbir urus Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh YAB Dato’ Sri Diraja Menteri Besar. Maka, dengan adanya hasil negeri yang kian meningkat, pelbagai inisiatif yang membantu rakyat Negeri disalurkan, dari bayi, pelajar, anak muda, wanita, hingga warga emas, semua menikmati manfaat.

Yang terbaru, YAB juga mengumumkan bahawa RM15,000 seminggu diberi kepada setiap DUN bagi mengagihkan bakul makanan kepada keluarga yang terkesan daripada Konflik Timur Tengah. Saya berpendapat bahawa inisiatif sebegini sangat bermakna dan menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan YAB Menteri Besar komited untuk mengurangkan beban rakyat agar bersama-sama mengharungi cabaran geopolitik yang luar biasa ini.

Dato’ Sri Speaker

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyentuh beberapa isu penting yang dekat dengan denyut nadi rakyat.

Pertama sekali, izinkan saya bangkitkan dalam dewan yang mulia ini isu pertanian dan keterjaminan makanan yang menghadapi cabaran yang besar akibat daripada konflik geopolitik.

Kita sedia maklum bahawa sektor pertanian merupakan antara tulang belakang ekonomi negeri Pahang, termasuk kawasan Cameron Highlands yang menjadi pengeluar utama sayur-sayuran dan hasil pertanian negara. Namun begitu, para pekebun kini berdepan peningkatan kos operasi yang semakin membebankan, terutamanya melibatkan penggunaan diesel.

Keadaan ini bertambah membimbangkan apabila harga baja kimia juga meningkat, malahan ada laporan yang mengatakan bahawa walaupun konflik berhenti sekarang, harga baja kimia mungkin akan kekal tinggi sehingga tahun 2027. Hal ini demikian kerana kawasan Timur Tengah memegang kedudukan yang tidak boleh diganti dalam perdagangan baja global. Bagi Urea: Eksport dari rantau ini menyumbang lebih 33% daripada jumlah global. Bagi Ammonia: Hampir 25% daripada bekalan global berasal dari sini. Bagi Sulfur: Bahan mentah kritikal untuk pengeluaran baja fosfat, dengan kira-kira 50% daripada perdagangan global perlu melalui Selat Hormuz.

Bagi penggunaan diesel dalam sektor pertanian, ia bukan sahaja melibatkan kenderaan pacuan empat roda, tetapi juga penggunaan mesin dan jentera pertanian moden. Saya sendiri telah melawat beberapa kebun baru-baru ini yang menggunakan teknologi steamer bagi mensterilkan tanah dan sabut kelapa atau coconut coir untuk tujuan membasmi kuman.

Teknologi ini amat baik dan canggih kerana ia lebih mesra alam, mengurangkan kebergantungan kepada racun serangga serta mengelakkan pembaziran sabut kelapa. Maka, penggunaan teknologi sebegini adalah mesra alam. Namun begitu, penggunaan diesel bagi mesin ini amat tinggi. Dimaklumkan kepada saya bahawa kos penggunaan diesel berdasarkan RM5.17 seliter setakat hari ini bagi steamer boleh mencecah RM1500 sebulan, dengan penggunaan sekali sebanyak 100 liter dan lebih kurang 3 kali sebulan. Ia meningkat secara mendadak berbanding dengan kadar RM900 sebulan, berdasarkan harga diesel RM3.12 seliter sebulan sebelum konflik berlaku. Pengiraan ini juga hanya melibatkan steamer dan belum mengambil kira jentera pertanian lain.

Walaupun kerajaan melalui Kementerian Pertanian telah memperkenalkan Bantuan Budi Diesel sebanyak RM400 sebulan, saya mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan bersama dengan Kerajaan Negeri Pahang boleh memperkenalkan bantuan bersasar tambahan diberikan kepada petani berdasarkan penggunaan sebenar jentera dan mesin pertanian. Langkah ini penting supaya usaha memperkenalkan teknologi pertanian moden tidak terbantut akibat peningkatan kos operasi.

Kedua, saya juga ingin mencadangkan supaya kerajaan negeri untuk menawarkan pakej rangsangan ekonomi bagi sektor pertanian demi mengharungi cabaran yang dibawa oleh konflik ini. Antaranya, saya mohon kerajaan untuk mempertimbangkan moratorium bayaran sewa tanah Pahang Corporation serta memberi pengecualian terhadap denda tertentu bagi membantu para pekebun yang terkesan.

Pada masa ini, kadar sewa tanah yang dikenakan boleh mencecah sekitar RM4,500 seekar. Dalam keadaan kos baja meningkat, bekalan baja semakin berkurangan dan harga diesel yang tinggi, ramai pekebun berdepan tekanan kewangan yang serius.

Saya berpandangan bahawa pengurangan kadar sewa tanah ataupun moratorium sementara boleh dilihat sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi negeri. Langkah ini bukan sahaja membantu meringankan beban pekebun, malah menjadi sokongan institusi yang penting supaya mereka terus dapat menghasilkan bekalan makanan demi keterjaminan makanan negara.

Dato’ Sri Speaker,

Ketiga, saya juga ingin mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan dari sudut tatakelola pentadbiran kerajaan negeri agar sistem penyampaian kerajaan terus diperkukuh seiring dengan aspirasi ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

Pertamanya, saya berpandangan bahawa laporan tahunan syarikat berkaitan kerajaan negeri (State GLC) seperti Pahang Corporation dan agensi-agensi berkaitan wajar diberikan akses yang lebih meluas kepada Ahli Dewan Negeri. Sama ada melalui pembentangan di sidang Dewan, penyediaan salinan rasmi kepada ADUN, ataupun dibuka secara atas talian, langkah ini akan membantu wakil rakyat dan masyarakat memahami dengan lebih mendalam operasi, hala tuju pelaburan, prestasi kewangan serta cabaran yang dihadapi oleh GLC negeri.

Cadangan ini bertujuan membolehkan semua Ahli Dewan memberikan pandangan yang membina demi meningkatkan keberkesanan pengurusan dan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan negeri. Saya yakin bahawa ketelusan dan akses kepada maklumat akan membantu memperkukuh kepercayaan awam terhadap pentadbiran kerajaan.

Di samping itu, saya juga ingin mencadangkan agar Ahli Dewan Negeri kawasan diberikan ruang untuk terlibat sebagai ahli mesyuarat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelesaian Tanah Daerah.

Melalui penglibatan ADUN dalam jawatankuasa berkaitan, pandangan dan maklum balas rakyat boleh disampaikan secara lebih terus dan tersusun kepada pihak pentadbiran daerah, serta memastikan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira realiti dan keperluan sebenar masyarakat di peringkat akar umbi.

Dato’ Sri Speaker,

Keempat, saya juga ingin menyentuh sektor pendidikan di Cameron Highlands. Saya menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan dan permohonan Pejabat Pendidikan Daerah Cameron Highlands untuk membina sebuah Kolej Vokasional di Cameron Highlands.

Kewujudan kolej ini akan membuka lebih banyak peluang kepada anak muda untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran dan teknikal, sekali gus meningkatkan mutu pendidikan serta kebolehpasaran graduan tempatan.

Dalam masa yang sama, saya turut menyeru agar kerajaan mempertimbangkan pembinaan Sekolah K9 dan K11 di Cameron Highlands. Langkah ini amat penting bagi menggalakkan murid daripada masyarakat Orang Asli untuk terus belajar dan mengurangkan kadar keciciran pendidikan.

Selain itu, ia juga dapat membantu mengurangkan tekanan kapasiti di sekolah-sekolah sedia ada di Cameron Highlands, memandangkan jumlah pelajar dijangka terus meningkat, khususnya dengan dasar membenarkan murid berumur enam tahun memasuki alam persekolahan lebih awal.

Dato’ Sri Speaker,

Kelima, saya ingin menyentuh mengenai keputusan kes ganti rugi banjir Lembah Bertam, Cameron Highlands yang baru diumumkan pada 5 Mei 2026.

Selepas 13 tahun menunggu, akhirnya Mahkamah Tinggi telah memutuskan taksiran ganti rugi sebanyak RM4.74 juta kepada kira-kira 100 orang mangsa tragedi banjir tersebut. Saya ingin merakamkan rasa syukur kerana akhirnya keadilan dapat ditegakkan buat mangsa-mangsa yang telah sekian lama menanggung penderitaan.

Walaupun masih terdapat ruang untuk rayuan, saya berharap pihak defendan, iaitu TNB, dapat mengambil pendekatan yang lebih berperikemanusiaan dan bersimpati terhadap mangsa-mangsa yang telah kehilangan harta benda dan ahli keluarga akibat tragedi tersebut. Saya juga berharap segala proses dan prosedur pembayaran ganti rugi dapat dipercepatkan demi kebajikan mangsa.

Pada masa yang sama, kes ini harus sentiasa dijadikan iktibar bahawa aspek pengendalian dan pengawasan infrastruktur awam, khususnya empangan, amat penting demi menjamin keselamatan nyawa rakyat. Justeru, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk mengkaji penggubalan satu undang-undang khas berkaitan pengendalian dan keselamatan empangan supaya tragedi seumpama ini tidak berulang lagi.

Keenam, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada atlet-atlet Cameron Highlands yang telah berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan dalam pertandingan akuatik MSSP peringkat Negeri Pahang.

Lebih membanggakan, empat orang atlet dari Cameron Highlands telah dipilih untuk mewakili negeri Pahang ke pertandingan MSSM. Ini membuktikan bahawa sukan akuatik di Cameron Highlands semakin berkembang dan berjaya melahirkan atlet-atlet yang kompetitif.

Sehubungan itu, saya sekali lagi ingin memohon agar kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan pembinaan kolam renang di Cameron Highlands. Sebelum ini, Jabatan Belia dan Sukan bersama Pejabat Daerah dan Tanah pernah mengenal pasti tapak yang berpotensi, namun lokasi tersebut didapati kurang sesuai.

Saya berharap usaha ini tidak dihentikan dan diteruskan demi membangunkan sukan renang di Cameron Highlands serta mencungkil lebih ramai bakat muda yang mampu mengharumkan nama negeri Pahang pada masa hadapan.

Dato’ Sri Speaker,

Ketujuh, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi Syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan YAB Menteri Besar kerana telah dinobatkan sebagai negeri tempat pertama dalam Perpaduan Nasional (IPNas) 2025, yang membuktikan bahawa Negeri Pahang adalah negeri paling kukuh dalam menjamin perpaduan dan keharmonian rakyat di Malaysia.

Oleh itu, semua pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang, haruslah berbangga dengan pencapaian ini dan mengelakkan daripada tindakan yang berpotensi merosakkan perpaduan dan menjahanamkan keharmonian masyarakat majmuk.

Kenyataan janggal oleh Ahli Parlimen tertentu seperti Lim Kit Siang merupakan sepupu kepada Lee Kuan Yew dan juga Chin Peng, yang dilihat sebagai berniat jahat untuk menimbulkan rasa tidak puasa hati dan ketegangan antara kaum, telah dibuktikan oleh mahkamah bahawa ia adalah fitnah. Rayuan MP tersebut juga gagal, dan ganti rugi termasuk kos berjumlah RM825,000 perlu dibayar kerana memfitnah tiga pemimpin DAP.

Malahan, Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong, mengadakan lawatan rasmi ke beberapa negeri-negeri Pantai Timur, termasuk Pahang dan Terengganu dan turut disambut baik oleh Menteri Besar. Kalau ikut logik MP tersebut, Lee Hsien Loong merupakan anak saudara Chin Peng, maka sepatutnya tertimbul isu dan tentangan kuat daripada Kerajaan sebelah sana? Hakikatnya langsung tidak.

Oleh itu, saya menyeru agar kita semua terus mempertahankan budaya politik yang professional, menghormati kepelbagaian masyarakat, dan bersama-sama memelihara keharmonian yang menjadi kekuatan utama Negeri Pahang. Keamanan dan perpaduan yang kita kecapi hari ini bukan sesuatu yang datang dengan mudah, dan ia mesti dipelihara demi masa depan generasi akan datang.

Dengan ini, saya menyokong Titah Diraja Kebawah Duli Mulia Tengku Mahkota Pahang. Sekian, terima kasih.