Skip to content

Tiga tugas untuk pengundi di Teratai pada 12 Ogos

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, telah mengumumkan rancangannya untuk menjadi salah satu daripada 30 negara teratas dunia dengan rancangan Ekonomi Madani, yang mempunyai matlamat-matlamat seperti berikut:

  • Menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dari segi kadar keluaran dalam negara kasar. Malaysia buat masa ini berada di tempat ke-35.
  • Berada dalam kedudukan 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD. Kita sedang berada di tempat ke-27.
  • Tempat 25 ke atas dalam Indeks Pembangunan Manusia PBB. Tempat semasa adalah ke-62.
  • Tempat 25 ke atas dalam Indeks Persepsi Rasuah. Tempat semasa adalah ke-61.

Saya seru kepada para pengundi di enam negeri yang akan berhadapan dengan pilihan raya pada 12 Ogos ini untuk memberikan sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim dan rancangannya untuk membangkitkan semula Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Malah, saya ingin menyeru kepada para pengundi di enam negeri ini untuk berkempen supaya Malaysia dapat bangkit semula dan menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia supaya anak-anak dan cucu-cucu kita tidak perlu berhijrah ke negara-negara lain di seluruh dunia dalam Diaspora Malaysia kedua untuk menjadikan negara lain yang hebat, misalnya seperti Singapura. Mereka sepatutnya duduk di Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia!

Namun, ada dua keperluan yang perlu dipenuhi untuk Malaysia bangkit semula sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia, seperti yang telah dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong – keperluan untuk kestabilan politik dan perpaduan nasional dalam kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan.

Kini, ada petanda baik apabila selepas lapan bulan kerajaan perpaduan Anwar mentadbir, kita menyaksikan datangnya semula keyakinan para pelabur asing dan pelbagai masalah-masalah ekonomi rakyat mula diselesaikan.

Kita perlukan lima tahun penuh dengan kestabilan politik dan perpaduan rakyat, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan untuk Malaysia bangkit semula sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Inilah perkara yang boleh dicapai oleh enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos.

Malaysia tidak boleh bangkit semula menjadi sebuah negara hebat sekiranya kita mengikuti jejak langkah pemerintahan di Kedah, Kelantan, dan Terengganu. Kita perlukan kepimpinan seperti di Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan.

Pulau Pinang misalnya, mempunyai kadar KDNK per kapita empat kali ganda lebih tinggi berbanding dengan Kelantan.

Adakah kita mahu Malaysia menjadi seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah atau kita mahu seluruh negara diangkat menjadi seperti Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan?

Jawapannya jelas sekali.

Kerana inilah enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini amat penting sekali, kerana keputusan yang kuat untuk gabungan perpaduan Pakatan Harapan–Barisan Nasional di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu akan menunjukkan yang Malaysia mampu untuk bangkit semula menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, dan bukannya mengikuti hala tuju Perikatan Nasional (PN) yang bakal membawa negara kita ke arah menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup seperti Sri Lanka.

Kerana ini jugalah pada 12 Ogos, kita mahu capai tiga matlamat; pertamanya untuk memastikan Yew Jia Haur dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri untuk Teratai; kedua untuk memastikan Amirudin Shari dapat terus memimpin sebagai Menteri Besar Selangor untuk kerajaan Pakatan Harapan–Barisan Nasional untuk lima tahun yang akan datang; dan ketiga untuk Malaysia bangkit semula menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.