Skip to content

Ucapan oleh ADUN Bentayan, Chua Wee Beng semasa membahaskan Bajet Negeri Johor 2018

Bentayan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri Speaker kerana memberikan keizinan untuk turut sama dalam perbahasan belanjawan negeri Johor 2018 pada hari ini.

Bentayan juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2017.

Belanjawan Johor 2018

Dalam ucapan Belanjawan 2017 yang lalu, Bentayan telah membangkitkan peri pentingnya satu skim insurans kesihatan rakyat diperkenalkan. Justeru itu, Bentayan menyambut baik pengumuman skim takaful untuk golongan asnaf dan penerima bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat. Namun begitu, Bentayan merasa terpanggil untuk memberikan sedikit komen berkenaan perkara ini,

Skim takaful yang diumumkan sepatutnya dipanjangkan manfaatnya kepada isi rumah berpendapatan 1,999 ringgit ke bawah supaya lebih ramai rakyat yang memerlukan dapat menerima manfaat rawatan kesihatan pakar ini. Jika tidak, ia seperti melepaskan batuk di tangga.

Dengan populasi negeri Johor berjumlah 3,344,400 orang, hanya 5.6 peratus atau 187,286 anak Johor tergolong dalam kelompok berpendapatan di bawah 1,999 ringgit. Jika pelan takaful ini dipanjangkan manfaatnya kepada kelompok ini, Kerajaan Negeri hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan sebanyak 22.5 juta ringgit sahaja.

Jika dibandingkan dengan jumlah peruntukan Belanjawan 2018, ia hanyalah 0.015 peratus sahaja. KPJ, anak syarikat JCorp pula mencatatkan keuntungan bersih sebanyak 155.9 juta ringgit pada tahun 2016. Maka, ia bukanlah satu cadangan yang tidak realistik tetapi ia hanya memerlukan Kerajaan untuk memiliki iltizam politik yang tinggi untuk melaksanakannya.

Dalam ucapan Belanjawan 2017, Bentayan juga menyentuh mengenai keperluan Kerajaan Negeri untuk membantu nelayan-nelayan di Muar beralih kepada aktiviti akua-kultur seperti ternakan tiram sebagai satu aktiviti pendapatan sampingan.

Sekali lagi, Bentayan menyambut baik pengumuman peruntukan tiga ratus ribu ringgit untuk tujuan ini. Sungguh pun begitu, Bentayan berharap agar peruntukan ini akan diberikan kepada individu yang tepat khususnya nelayan yang terkesan dengan hasil laut yang semakin berkurangan. Memandangkan industri akua-kultur yang berimpak rendah terhadap alam sekitar ini boleh mendatangkan pulangan lumayan kepada nelayan-nelayan.

Tan Sri Speaker,

Apabila memberikan angka-angka perangkaan, Menteri Besar tidak patut menutup sebelah mata dan hanya mengambil perangkaan yang menunjukkan peningkatan baik dan melupakan perangkaan yang membimbangkan.

Apabila kita membaca kadar sifar kemiskinan yang tercatat dalam muka surat hadapan ucapan Belanjawan tersebut, kita mungkin akan berfikir bahawa kita benar-benar telah mencapai sifar insiden kemiskinan.

Tetapi apabila kita membacanya bersama dengan pekali Gini, di mana untuk tahun 2016, pekali Gini bagi negeri Johor telah meningkat kepada 0.354 berbanding 0.324 pada tahun 2014. Ini menunjukkan kesenjangan pendapatan yang semakin melebar.

Dengan sebahagian besar pendapatan dikuasai oleh kelompok kaya dan mahakaya, apabila dibahagi dengan per kapita, pastilah ia akan menunjukkan angka sifar. Namun, fakta sebenarnya, di Johor, kita mungkin berhadapan dengan peningkatan kemiskinan dalam bilangan sebenar.

Dan apabila Kerajaan menggunakan perangkaan separuh-separuh begini dalam semua perangkaan ekonomi dan membutakan mata, maka, tidak lah menghairankan, kita sedang membawa hasrat menjadi dengan izin Economic Power House ke arah yang salah.

Kebanyakkan pembangunan dilaksanakan di Selatan Johor menyebabkan berlakunya kesenjangan dan ketaksamaan antara daerah-daerah. Tahun 2016, Johor Bahru mencatatkan pendapatan penengah tertinggi iaitu RM 6,518 diikuti Kulai, RM 6,114.

Daerah pentadbiran lain merekodkan pendapatan penengah di bawah paras negeri (RM 5,652) adalah Batu Pahat (RM 5,516), Muar (RM 5,371), Tangkak (RM 4,859), Kota Tinggi (RM 4,852), Segamat (RM 4,609), Kluang (RM 3,935) dan Mersing (RM 3,542).

Pekali Gini bagi strata bandar dan luar bandar juga telah meningkat kepada 0.350 daripada 0.326 dan 0.339 daripada 0.291 masing-masing. Pada masa yang sama, kadar pertumbuhan telah meningkat untuk sektor pembinaan. 4.8 peratus dari KDNK pada 2014, 5.8 peratus pada tahun 2015 dan 6.8 peratus pada 2016.

Ini merupakan peratusan tertinggi kebergantungan KDNK terhadap sektor pembinaan antara semua negeri. Akan tetapi, peratusan rumah yang dimiliki menurun 1.2 mata peratus daripada 78.5 peratus pada tahun 2014 kepada 77.3 peratus pada 2016. Ini sejajar dengan keadaan Johor yang merupakan negeri tertinggi dalam Negara yang mempunyai jumlah unit tidak terjual.

Pemuliharaan dan Pemeliharaan Marin

Tan Sri Speaker,

Antara agenda yang terkandung dalam Belanjawan 2018 adalah Agenda Johor Lestari yang menekankan kepada menjadi bangsa berperadaban tinggi dengan menjaga dan menghormati alam sekitar. Namun begitu, Bentayan amat kecewa kerana dalam Belanjawan 2018 ini tidak terkandung apa-apa perkara mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan marin. Apakah kita sudah melupakan mengenai taman laut, dugong dan sebagainya?

Pemeliharaan dan pemuliharaan marin adalah sangat penting memandangkan Johor mempunyai kawasan pesisiran pantai yang panjang 400 km dan mempunyai ramai rakyat yang bergantung kepada ekonomi pesisiran pantai sebagai punca pendapatan.

Plastik dan Polisterina

Tan Sri Speaker,

Masih lagi dalam Agenda Johor Lestari, berdasarkan kepada jawapan Exco, rakyat Johor menggunakan 4,382 tan metrik sehari dimana 657 tan metrik daripada jumlah tersebut adalah merupakan plastik dan polisterina.

Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia menganggarkan secara purata rakyat Malaysia menggunakan 300 beg plastik setahun iaitu hampir satu beg plastik setiap hari. Jika berdasarkan kepada populasi 30 juta orang, ia membawa kepada jumlah 9 billion beg.

Bentayan sangat menyambut baik inisiatif ini dan mendesak Kerajaan Negeri melakukan lebih banyak usaha untuk melaksanakan amalan 3R dengan izin reduce, reuse and recycle produk-produk plastik dan yang berkaitan dengannya.

Kita telah merangka satu roadmap dengan izin, menjelang tahun 2020, Johor akan menjadi kawasan bebas plastik dengan menggantikannya dengan produk yang mudah terurai. Kita membina kilang dan bekerja dengan pihak lain untuk mempromosikan penggunaan produk penggantian.

Tapi apabila kita bercakap mengenai 3R, adakah kita sudah melakukan usaha yang secukupnya? Kita hanya menggantikan bahan yang sangat mudarat kepada bahan yang kurang mudarat.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sisa Pepejal Malaysia, Mohd Radhi Cheah mendedahkan satu fakta yang amat mengejutkan baharu-baharu ini – pengeluaran beg plastik sampah telah meningkat semenjak larangan dikuatkuasakan disebabkan oleh permintaan yang melonjak naik.

Kaedah mengenakan bayaran 20 sen untuk setiap beg plastik seolah-olah tidak mendatangkan apa-apa kesan kerana beg plastik masih ada. Orang ramai masih memilih untuk membayar.

Izinkan Bentayan untuk mengungkap sekali lagi, Reduce, Reuse and Recycle. Apa yang berlaku kepada mengurangkan? Adakah kita memiliki perancangan untuk mengurangkan dan mengguna semula dengan melarang kewujudan beg plastik sama ada yang mudah terurai atau tidak?

Jika kita benar-benar mempunyai hasrat dan jika Kerajaan Negeri benar-benar mempunyai iltizam politik, kita sepatutnya mula memikirkan untuk mengenakan cukai plastik seperti yang diamalkan oleh Denmark dan Ireland.

Sementara kita mengekalkan kebebasan memilih oleh pengguna, cukai yang dipungut ini akan disalurkan ke dalam dana hijau untuk mempromosi dan melakukan lebih banyak perkara untuk alam sekitar. Semenjak ia diperkenalkan, Denmark berjaya mengurangkan penggunaan daripada 800 juta beg kepada 400 juta setahun.

Beg plastik mudah terurai ini hanya boleh digunakan untuk barang-barang seperti daging mentah, tumbuhan atau tanaman yang tertanam dalam pasir atau tanah seperti kentang dan halia, dan produk-produk makanan laut. Hanya dengan cara inilah, rakyat kita akan sentiasa ingat untuk membawa beg yang boleh diguna semula semasa membeli belah.

Kemudian, kitar semula. Apa yang telah terjadi kepada inisiatif Asingkan? Walaupun rakyat bersedia untuk mengasingkan bahan buangan tetapi apa yang berlaku kepada barangan kitar semula?

Adakah pusat pengumpulan sampah kita bersedia untuk mengasingkannya atau ia telah menjadi kaedah untuk kontraktor sisa pepejal untuk menjana lebih keuntungan dengan menjualkannya kepada pihak ketiga? Jika kita tidak serius untuk melaksanakannya, bagaimana rakyat akan mematuhinya.

Parit Jawa, Muar

Tan Sri Speaker,

Parit Jawa terkenal dengan aktiviti memerhati burung-burung ekoran ia merupakan antara tempat persinggahan burung yang bermigrasi sementara muara sungainya pula terkenal dengan pokok bakau. Jikalau Kerajaan Negeri benar-benar menghargai pemuliharaan marin dan pokok bakau seperti yang diumumkan dalam belanjawan 2018, iaitu peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit untuk tapak RAMSAR Sungai Pulai, tetapi mengapa di Parit Jawa tidak dipedulikan? Seharusnya Kerajaan lebih berhati-hati dan menghargai semua kawasan yang mempunyai pokok bakau.

Amalan Menangkap Ikan Lestari sememangnya telah diamalkan oleh nelayan-nelayan di sekitar Parit Jawa, Muar. Antara kaedah yang digunapakai adalah kelong, bubu dan jaring yang merupakan kaedah tangkapan ikan berimpak rendah.

Nelayan-nelayan Parit Jawa sering mengadu mengenai kewujudan banyak kapal-kapal besar seperti kapal tangki berlabuh di sekitar perairan Parit Jawa selama berbulan-bulan bahkan ada yang sehingga bertahun-tahun.

Apabila mereka berlabuh, nelayan-nelayan akan mengalami kesukaran untuk menebar jaring mereka. Bentayan ingin mengemukakan persoalan, apakah tindakan pihak Kerajaan berhubung perkara ini?

Pada dua minggu lepas, nelayan-nelayan menyatakan terdapat sebuah kapal terbalik berhampiran dengan kawasan kelong-kelong. Kapal ini menghalang nelayan untuk menjalankan kegiatan rutin mereka dan dibimbangi berlakunya tumpahan minyak. Diharapkan agar pihak Kerajaan Negeri untuk mengalihkan kapal ini dengan segera.

Jabatan Perikanan juga telah menggazetkan perairan Parit Jawa sehingga ke Kesang sebagai kawasan tangkapan ikan tradisional dan melarang bot pukat tunda dari memasuki kawasan ini.

Kebelakangan ini, mungkin kerana hasil laut yang semakin berkurangan di tempat-tempat lain, banyak bot-bot pukat tunda masuk dan menggunakan pukat tunda di kawasan perairan Parit Jawa.

Nelayan-nelayan tempatan telah membuat banyak laporan Polis dan melaporkan kepada pihak APMM tetapi tiada tindakan diambil. Justeru itu, Bentayan meminta agar Kerajaan Negeri memberikan perhatian kepada perkara ini.

Tujuan kita tidak membenarkan bot pukat tunda memasuki kawasan ini adalah disebabkan kaedah ini akan membinasakan tempat pembiakan ikan dan akan menangkap semua jenis ikan tidak kira saiz.

Lebih memelikkan adalah kita melarang bot pukat tunda kerana ia menganggu ekosistem bawah laut tetapi mengapakah kita kemudiannya memberikan permit Kerja Pengangkutan Pasir?

Permit yang dikeluarkan bukanlah untuk satu kapal tetapi sebanyak 28 permit secara rasmi dan sebanyak 40 kapal jika berdasarkan kepada aduan yang dikemukakan oleh nelayan-nelayan Parit Jawa dan setiap kapal boleh mengangkut 1000 tan dalam tempoh enam hingga lapan jam.

Bentayan tidak faham, jika pada tahun 2000 kita telah mengharamkan kerja-kerja pengangkutan pasir ini atas alasan impak negatif kepada industri perikanan tetapi mengapa kali ini kita membenarkannya pula?

Bulan Julai 2017, persatuan nelayan telah mengadakan protes melibatkan enam ratus orang nelayan yang terkesan dengan aktiviti ini. Namun begitu, syarikat operator mengangkut pasir ini kemudiannya telah mengadakan hubungan dengan beberapa watak penting persatuan dan menawarkan mereka untuk menjadi penghantar barang keperluan ke kapal-kapal di tengah laut dengan sejumlah bayaran.

Soalnya, bagaimana pula dengan nasib beratus-ratus nelayan lain yang berdepan dengan kesukaran ekoran daripada aktiviti pengangkutan pasir ini? Aktiviti ini bukan sahaja merosakkan alam sekitar tetapi juga turut merosakkan jaring dan bubu ikan yang dipasang oleh nelayan.

Ramai nelayan telah membuat laporan polis mengenai perkara ini tetapi ia ibarat debu yang berterbangan di udara. Ada diantara mereka kerugian hampir dua puluh ribu ringgit.

Bentayan memohon agar Kerajaan menyiasat aduan nelayan-nelayan bahawa operasi mengangkut pasir ini berlaku siang dan malam tanpa henti. Adakah perkara ini benar-benar berlaku? Jika betul, mengapa kita boleh membenarkannya?

Negara seperti Indonesia, Vietnam dan Kemboja telah pun mengharamkan pengeskportan pasir ke Singapura atas pertimbangan kerosakan yang berlaku kepada alam sekitar.

Tan Sri Speaker,

Bentayan banyak kali mendengar ada pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita bahawa projek pengangkutan pasir ini adalah merupakan projek Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan untuk kegunaan Forest City.

Tetapi hasil carian maklumat yang dilakukan oleh Bentayan menemukan sebenarnya projek ini dimiliki oleh sebuah syarikat swasta dan langsung tidak kena mengena dengan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Projek ini juga adalah untuk dieksport ke Tuas, Singapura. Justeru, perkara ini perlu disiasat kerana Institusi Diraja Johor telah dikaitkan secara salah dalam perkara ini.

Tan Sri Speaker,

Jangka masa projek mungkin sekitar enam bulan sahaja tetapi kerosakan yang berlaku dan kehilangan hasil perikanan di kawasan tersebut mungkin mengambil masa lima hingga sepuluh tahun untuk dipulihkan kembali.

Jika hasil perikanan merosot, harganya pasti akan meningkat. Indeks Harga Pengguna mencatatkan kenaikan sebanyak lapan peratus bagi ikan dan makanan laut. Jika hasil perikanan terus merosot, ia akan turut menaikkan kos sara hidup di Johor.

Projek pengangkutan pasir ini merupakan sebuah projek bernilai billion ringgit. Harga pasir ini adalah diantara 200 hingga 600 ringgit bergantung kepada gred. 40 kapal, 1000 tan,180 hari, 200 hingga 600 ringgit, boleh mencecah antara 1.44 bilion ke 4.32 bilion ringgit. Berapakah pendapatan yang akan diterima oleh Kerajaan Negeri?

Nilai ini hampir menyamai belanjawan kita sekurang-sekurangnya untuk satu tahun. Hasil enam bulan projek ini cukup untuk mentadbir sebuah negeri dengan izin new economic powerhouse.

Bentayan memahami bahawa jarak antara lokasi projek dengan pesisiran pantai adalah antara 7 hingga 9 batu nautika, oleh yang demikian, ia adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Namun, jika di Forest City, Kerajaan Negeri boleh memberikan pampasan, apakah Kerajaan Negeri bersedia untuk melakukan perkara yang sama di Parit Jawa?

Jikalau Kerajaan Negeri tidak mendapat apa-apa, nelayan tidak mendapat pampasan, hasil cukai Kerajaan Persekutuan juga sedikit, mengapakah kita perlu menanggung kesan negatif yang bakal dihadapi oleh nelayan secara khusus dan rakyat secara keseluruhannya. Apa pendirian Kerajaan Negeri berhubung projek pengangkutan pasir ini?

Tan Sri Speaker,

Sebagai penutup, tahun 2016 dan tahun ini terdapat beberapa kes tangkapan berkaitan aktiviti pengangkutan pasir secara haram seperti yang berlaku di Klang, Teluk Senangin, Pulau Upeh, dan Pulau Pangkor.

Ini adalah contoh rompakan terhadap hasil galian kita. Tetapi, di Parit Jawa, kita pula yang mengeluarkan permit. Projek pengangkutan pasir di Parit Jawa, Muar ini umpama rompakan di siang hari atau pun rompakan yang dilesenkan.

Sekian, terima kasih