Skip to content

Ucapan oleh ADUN Jementah, Tan Chen Choon semasa membahaskan Bajet Negeri Johor 2018

Selamat pagi/petang dan salam sejahtera kepada semua ahli Yang Berhormat dan penjawat awam yang menghadiri mesyuarat sidang dewan negeri hari ini.

Terima kasih Tan Sri Speaker kerana mengizinkan Jementah mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2018 yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar pada minggu yang lalu.

A. Bekalan Sumber Air Mentah

Tan Sri Speaker,

Menurut Kajian Sumber Air Negeri Johor 2010 – 2060 yang dijalankan pada tahun 2015, unjuran permintaan air di Negeri Johor akan mencapai tahap 3,595 JLH ( juta liter/hari ) pada tahun 2050 dengan kepesatan pembangunan yang mendatangkan penambahan penduduk khususnya di Kawasan Iskandar Malaysia. Kajian tersebut melaporkan bahawa bekalan sumber air adalah tidak mencukupi khususnya air mentah Sungai Johor, iaitu salah satu sungai yang paling utama dalam membekalkan sumber air mentah mengalami defisit bekalan air mentah sebanyak 667 JLH.

Tan Sri Speaker,

Keadaan bekalan sumber air mentah yang tidak mencukupi semakin mencabar dengan taburan purata hujan tahunan yang tidak menentu apabila berlakunya kemarau panjang seperti El-Nino, pencemaran ke atas bekalan sumber air mentah, perubahan guna tanah dan perubahan iklim global.

Bekalan sumber air mentah yang tidak mencukupi menyebabkan kapasiti storan air di empangan atau kawasan tadahan air tidak dapat menampung permintaan bekalan sumber air mentah Loji Rawatan Air dan ini menyebabkan Loji Rawatan Air henti tugas, pengurangan dalam pengeluaran air terawat dan berlakunya bekalan berjadual yang sering membawa banyak kesulitan kepada kehidupan seharian rakyat.

Tan Sri Speaker,

Justeru itu, menerokai alternatif bekalan sumber air selaras dengan Dasar Sumber Air Negara adalah penting untuk mempastikan sumber air yang mencukupi apabila bekalannya terjejas atau berkurangan. Usaha-usaha seperti pembinaan empangan baru, pemuliharaan empangan yang sedia-ada, penyaluran air sungai ke empangan dan pewartaan kawasan tadahan air di bawah Enakmen Air pindaan 2014 yang sedang diusahakan oleh BAKAJ untuk mengurangkan pencemaran, membersihkan sungai-sungai yang tercemar perlu dipergiatkan lagi bagi mempastikan bekalan sumber air mentah yang mencukupi.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 Negeri Johor, kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk menjalankan kajian untuk menerokai alternatif bekalan sumber air mentah dan pembinaan telaga, maka Jementah ingin memohon kerajaan Negeri hasil kajian itu dapat dibentangkan ke Dewan Negeri yang mulia ini untuk makluman semua ahli-ahli Yang Berhormat. Jementah berharap perkara ini dapat dipermudahkan dengan secepat mungkin.

Tan Sri Speaker,

Purata taburan air hujan tahunan di negara kita adalah lebih kurang 3000mm. Air hujan adalah sumber semulajadi dan harus digunakan dengan sebaik-baiknya. Justeru itu, sistem penuaian air hujan atau raining harvesting system dengan izin, yang telah diperkenalkan pada tahun 2012 dengan pindaan undang-undang Bangunan 1984 harus diberi perhatian yang secukupnya.

Memang, air hujan yang tidak dirawat adalah tidak boleh dijadikan air minuman, tetapi ia boleh digunakan dalam aktiviti-aktiviti penggunaan air seharian seperti mencuci kereta, lantai, tandas dan menyiram bunga tumbuhan dan sebagainya.

Tan Sri Speaker,

Menurut Water Watch Penang, sistem ini yang dipasang di Bangunan Blok B di Jabatan Pengairan dan Saliran di Jalan Ampang, Selangor telah menjimatkan bil air bulanan sebanyak 70%. Ini membuktikan bahawa sistem ini boleh dipromosikan.

Tan Sri Speaker,

Masalah yang dihadapi sistem ini adalah kadar penggunaan di kawasan kediaman masih rendah sehingga hari ini kerana kos pemasangan yang tinggi dan ubahsuai rekebentuk bangunan perlu ditanggungi oleh pengguna dan kekurangan insentif olek kerajaan untuk menggalakkan penggunaan sistem ini.

Bolehkah penggunaan sistem ini diperluaskan di negeri Johor ? Mungkinkah ia bermula di bangunan-bangunan kerajaan terlebih dahulu ? Jementah berpendapat sistem ini boleh digunapakai bagi menjana air yang mencukupi untuk digunakan khusunya semasa musim kemarau atau semasa catuan air berlaku. Masalahnya ialah bagaimana mengurangkan kos penggunaannya dan menjadikan ia lebih kompetitif dan kos efektif.

Justeru, adalah amat penting kerajaan memainkan peranan untuk mengkaji pemberian insentif kepada pembekal sistem ini dan pengguna-penggunanya agar mempromosikan penggunaan sistem ini dan pada masa yang sama dapat menjimatkan penggunaan air terawat dengan penurunan bil air yang akhirnya menguntungkan pengguna.

B. Kekurangan Pekerja Asing Daripada Pekebun-Pekebun Kecil Kelapa Sawit

Tan Sri Speaker,

Baru-Baru ini, Jementah menerima banyak maklumbalas daripada pekebun-pekebun kecil kelapa sawit yang mengadu menghadapi masalah menuai buah kelapa sawit mengikut jadual yang ditetapkan kerana kekurangan tenaga pekerja.

Pekebun-pekebun ini memaklumkan bahawa buah kelapa sawit selalu dituai dua kali sebulan, tetapi sejak kebelakangan ini, ia hanya dapat dituai sekali sebulan. Bahkan ada yang mengatakan tidak dapat menuai langsung dalam masa lebih daripada sebulan. Ini telah menjejaskan pendapatan mereka.

Tan Sri Speaker,

Kerja penuaian adalah dijalankan oleh pekerja-pekerja asing. Jementah pernah menanya kepada pekebun-pekebun mengapa tidak cuba mengupah pekerja-pekerja tempatan dan dimaklumkan bahawa agak susah untuk mengupah pekerja-pekerja tempatan untuk kerja itu.

Tan Sri Speaker,

Sebab utama tenaga pekerja asing Indonesia yang berpengalaman semakin berkurangan adalah kerana mereka tidak datang ke negara kita lagi selepas balik. Sekarang, mereka boleh mendapat pekerjaan di negara sendiri kerana Indonesia adalah pengeksport terbesar dalam pengeluaran kelapa sawit.

Sebab kedua ialah kos pengupahan pekerja asing yang semakin meningkat iaitu kenaikan lebih kurang satu kali ganda daripada RM2500 sehingga RM4000 – RM5000 pada hari ini. Tambahan, pengupah-pengupah perlu melalui proses pengupahan yang complicated, atau pendek kata banyak red tape, sebagai contoh pengurusan dan pengesahan dokumen-dokumen permohonan perlu oleh syarikat swasta yang dilantik oleh kerajaan melibatkan kos setinggi RM1000 setiap permohonan.

Tan Sri Speaker,

Persoalannya ialah mengapa kerja pengurusan dan pengesahan dokumen-dokumen permohonan yang sepatutnya dijalankan di pejabat-pejabat kerajaan sekarang outsource kepada syarikat-syarikat swasta yang hanya mengaut keuntungan? Bukankah ini kerja-kerja penjawat awam jabatan yang berkenaan? Tambahan, pengupah perlu mendapat kelulusan permohonan daripada banyak jabatan yang berkenaan dan perlu sering berulang alik ke Putrajaya untuk mendapat permit pengupahan.

Tan Sri Speaker,

Menurut data daripada UPEN Tahunan 2015, sebanyak 60% tanah di Johor ditanami dengan kelapa sawit. Kalau masalah kekurangan tenaga pekerja berterusan dan tidak dapat diselesaikan dengan secepat mngkin, ia akan memberi kesan negatif yang besar kepada pembangunan ekonomi negeri Johor.

Justeru, Jementah memohon keprihatian kerajaan membantu mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini. Jementah ingin mencadangkan agar kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk meminta kerajaan Persekutuan memudahkan proses pengurusan pengupahan dengan mewujudkan One Stop Centre dengan izin, di negeri Johor untuk mengurangkan kos dan memudahkan kerja-kerja pengupahan

C. Ketidakseimbangan Penawaran dan Permintaan Hartanah Kediaman

Tan Sri Speaker,

Buletin Suku Ketiga Bank Negara Malaysia yang baru diumumkan pada 17hb Nov 2017 telah mendedahkan bahawa wujudnya ketidakseimbangan yang amat serius di antara penawaran dan permintaan hartanah kediaman (residential) dan komersial di negara kita. Scenario ini boleh memberi kesan yang negatif kepada kestabilan ekonomi dan institusi-institusi kewangan negara

Tan Sri Speaker,

Sehingga Suku Pertama 2017, ada sebanyak 130,690 units hartanah kediaman tidak terjual dan ini adalah dua kali ganda berbanding dengan purata 72,239 units di antara tahun 2004 hingga 2016.

Sebanyak 83% hartanah kediaman yang tidak terjual itu adalah hartanah yang berharga lebih daripada RM250,000 ; dan 61% adalah hartanah apartmen bertingkat tinggi dimana 89% daripadanya adalah berharga lebih daripada RM250,000. Tambahan, buletin itu juga melaporkan bahawa 1/3 hartanah ofis tidak akan didiami menjelang tahun 2021.

Tan Sri Speaker,

Ketidakseimbangan yang serius di antara bekalan dan permintaan ini adalah disebabkan oleh dua faktor ketidaksepadanan atau two factor of mismatch dengan izin, iaitu Pertama – ketidaksepadanan di antara penawaran dan permintaan harga hartanah yang dilancarkan. Kedua – kemampuan pendapatan isi rumah berbanding dengan kenaikan harga hartanah.

Sebagai contoh di antara tahun 2016 sehingga suku pertama 2017, sebanyak 21% hartanah kediaman yang dilancarkan adalah di bawah harga RM250,000, tetapi permintaannya adalah sebanyak 35%, penawaran hartanah kediaman di antara harga RM250,000 hingga RM500,000 adalah sebanyak 50% tetapi permintaannya hanya 42.3% ; manakala harga median hartanah adalah 5 kali ganda lebih tinggi daripada median pendapatan isi rumah pada tahun 2016. Ini jelas menunjukkan bahawa banyak hartanah kediaman yang dibina sebenarnya tidak mampu dimiliki, hanya mampu dilihat !

Tambahan, ada sebanyak 17% unit-unit kediaman di bawah harga RM250,000 tidak terjual kerana lokasi yang jauh daripada tempat kerja, sistem pengangkutan yang tidak cekap dan tidak dapat pinjaman daripada bank.

Tan Sri Speaker,

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, laporan BNM menyatakan bahawa Johor merupakan negeri yang tertinggi hartanah tidak terjual iaitu 27% ( 35,286 units ) diikuti Selangor 21%, KL 14% dan Pulau Pinang 8%. Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan 2 Datuk Johori telah menghentikan kelulusan untuk permohonan projek hartanah yang berharga RM 1 juta ke atas di kawasan KL.

Tan Sri Speaker,

Pembekuan projek yang hanya melibatkan hartanah RM 1 juta ke atas tidak akan menyelesaikan masalah ketisakseimbangan ini kerana kayu ukur hartanah yang tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat, yang digunakan oleh Bank Negara Malaysia adalah nilai hartanah berharga RM250,000.

Tan Sri Speaker,

Jementah ingin mengetahui sama ada pembekuan projek perumahan itu juga dipanjangkan ke Negeri Johor walaupun enam cadangan BNM untuk menangani masalah ketidakseimbangan ini tidak melibatkan tindakan menghentikan projek pembangunan mewah ( Rujuk laporan BNM itu mukasurat 31 ) ? Sekiranya ya, apakah kayu ukur harga hartanah yang akan digunakan ? Adakah kayu ukur seperti yang dicadangkan oleh YB Exco Perumahan untuk menurunkan kadar harga minimum pemilikan oleh warga asing atau tindakan drastik yang lain akan diambil oleh kerajaan Negeri Johor untuk menangani masalah ini ? Jementah memohon satu jawapan yang jelas daripada Kerajaan Negeri Johor.

D. Pendaftaran Anggota Tentera ke Kem Segamat Yang Belum Siap Dibina

Tan Sri Speaker,

Menurut Rang Daftar Pemilih Tambahan ( RDPT ) Suku Ketiga 2017 yang dipamerkan dari 23hb Okt 2017 sehingga 6hb Nov 2017, seramai 1051 anggota tentera telah didaftarkan di lokaliti baru, iaitu Kem Segamat di mana kem tersebut masih dalam proses pembinaan. Menurut Papan Notis yang dipamerkan di hadapan Kem itu, tarikh persiapan untuk pembinaan Kem itu adalah pada 16hb April 2018 !

Tan Sri Speaker,

Anggota tentera yang telah didaftarkan di Kem tersebut akan mengundi di bawah Kawasan Parlimen P.140 Segamat dan DUN N.02 Jementah. Pada pilihanraya yang lepas, BN menang di Kawasan Parlimen P140 Segamat dengan majoriti sebanyak 1217 undi dan kalah tipis di DUN N02 Jementah dengan 2196 undi.

Tan Sri Speaker

Pokok persoalannya ialah mengapa anggota tentera boleh didaftarkan masuk dan bertugas di sesebuah kem yang masih dalam proses pembinaan dan sudah pasti belum mendapat Sijil Perakuan Siap dan Permatuhan (Certificate of Completion and Compliance, CCC) ?

Jelas, ini merupakan satu tindakan yang amat terdesak atau desperate daripada pihak-pihak tertentu untuk memanipulasikan sistem pilihanraya agar dapat menang di Kawasan Parlimen Segamat dan mengambil balik DUN Jementah, memandangkan PRU Ke-14 akan diadakan pada bila-bila masa. Tindakan ini juga menunujukkan bahawa segelintir orang begitu gentar sekiranya kalah di Parlimen Segamat, yang akan sekaligus menyebabkan kehilangan kuasa kerajan Persekutuan!

Tan Sri Speaker,

Jementah menghormati anggota-anggota tentera yang banyak berjasa dan terkorban demi keselamatan negara kita. Jementah berpendapat bahawa tugas utama anggota tentera adalah untuk mempertahankan negara dan mereka tidak seharusnya dijadikan sebagai alat manipulasi politik untuk memenangkan mana-mana parti politik !

Jementah menyeru rakyat bersama dengan Pakatan Harapan untuk membuat perubahan pada PRU yang akan datang, supaya mengembalikan sistem pilihanraya yang adil dan berish yang berteraskan dengan amalan demokrasi!

Tan Sri Speaker,

Sekianlah sahaja ucapan Jementah dalam perbahasan Bajet 2018. Jementah berharap semua persoalan yang dibangkitkan dapat diberi penjelasan oleh YB Exco yang berkenaan. Semoga rakyat Johor dapat menikmati keamanan dan kemajuan. Sekian, terima kasih.