Skip to content

Ucapan oleh ADUN Tangkak, Ee Chin Li semasa membahaskan Bajet Negeri Johor 2018

Selamat sejahtera, terima kasih Yang Berhormat Speaker kerana memberi peluang untuk menyertai perbahasan dalam Bajet Negeri Johor tahun 2018.

Tangkak ingin mengucap tahniah dan terima kasih kepada penjawat-penjawat awam dan ketua-ketua jabatan kerana bekerja keras untuk menyedia dan menjayakan Bajet Negeri Johor 2018 yang dibentang oleh YAB Menteri Besar pada 23 November 2017 yang lalu.

ERA BARU JOHOR

Bajet yang berjumlah lebih kurang RM1500 juta ini telah dipanggil sebagai Membangun Dekad Baharu Untuk Johor oleh YAB Menteri Besar menunjukkan kerajaan telah mendapati berlaku perlahanan dan tidak sepadan dengan kepesatan pembangunan Johor.

Untuk bermula era baru di Negeri Johor, tidak cukup kalau kita cuma menggunakan sebuah bajet saja untuk menolong pertumbuhan ekonomi yang lebih agresif dan meningkatkan kesejateraan rakyat secara transformatif. Jika kita hendak Johor berjaya melangkah ke era baru, sistem penyampaian dalam kerajaan juga perlu dipertingkatkan, era baru Johor ini akan lebih tepat namanya jika negeri ditadbir oleh sebuah kerajaan baru. Untuk maklumat Dewan yang Mulia ini, kami menawarkan komitmen yang penuh untuk bersama-sama rakyat Johor dan kakitangan kerjaaan menuju ke era baru Johor pada tahun depan.

Soal kuantiti dan kualiti selalu mengelirukan, kuantiti yang tinggi tidak bermaksud berkualiti, dan sebaliknya, kualiti yang tinggi juga tidak semestinya mempunyai kuantiti yang banyak.

YB Kukup semasa membawa usul perbahasan Bajet pada hari Ahad lalu telah mengguna perbandingan antara titik sentuhan Bajet Negeri Johor dengan Negeri Selangor dan Pulau Pinang. Pada saya, ini bukan satu contoh perbandingan yang bijak, nasihat saya kepada YB Kukup, jangan suka banding-bezakan antara kerjaya, kerana bandingan dua kerjaya adalah ibarat membandingkan buah epal dengan oren dan kedua-duanya tidak akan pernah sama.

Apa bezanya Johor dengan Selangor dan Pulau Pinang?

Pertama, Kedua-dua negeri itu telah masuk era baru hampir 10 tahun bersama sebuah kerajaan yang lebih baik dan lebih peduli rakyat, tetapi di Johor, kita baru saja meletakkan visi untuk menuju ke arah itu sekarang.

Kedua, walaupun YB Kukup mendakwa kedua-dua negeri itu membentangkan bajet defisit berturut-turut semasa Johor mempunyai bajet yang mempunyai lebihan, tetapi, bajet defisit yang berisi jauh lebih baik daripada bajet lebihan tapi kurang memanfaatkan rakyat.

Kalau YB Kukup berpendapat kerajaan yang membentangkan bajet defisit adalah sebuah kerajaan yang gagal, maka, adakah YB Kukup bersetuju bahawa Kerajaan Persekutuan yang dianggotai oleh tauke besar beliau, Malaysian Official One, pemimpin kerajaan yang membentang bajet defisit berturut-turut selama 20 tahun itu adalah sebuah kerajaan yang paling gagal? Setuju?

Kalau kerajaan Selangor dan Pulau Pinang tidak mentadbir negeri dengan baik, takkan rakyat disitu memberi sokongan yang lebih besar kepada pentadbiran itu pada tahun 2013 berbanding tahun 2008.

Di Selangor, Kerajaan negeri menang 36 kerusi pada 2008 dan meningkat sehingga 44 kerusi DUN pada tahun 2013, di Pulau Pinang pula, Kerajaan Menang 29 kerusi DUN pada tahun 2008, berjaya menambah satu lagi kerusi sejak tahun 2013.

Keputusan pilihanraya tahun 2013 jelas menyatakan rakyat Selangor dan Pulau Pinang bukan saja dapat nampak, dapat dengar kebaikan kerajaan negeri, tetapi yang penting ialah mereka dapat menikmati dan merasa usaha-usaha kerjaan Pakatan yang telah meningkatkan mutu kehidupan mereka dan mereka memberi sokongan yang lebih besar kepada Kerajaan negeri dalam pilihanraya umum.

Kita lihat balik keadaan di Negeri Johor, Kerajaan memenangi 50 kerusi DUN pada tahun 2008, sekarang? Majoriti dua pertiga kerajaan Johor pun telah jadi kenangan saja. Jadi, kalau YB Kukup nak berbanding, jangan banding saja titik sentuhan ucapan bajet, bandinglah mesej yang dibawa oleh rakyat negeri melalui kertas undi mereka.

Pemimpin Kerajaan negeri Johor berkali-kali mengambil kesempatan mereka sebagai pentadbir untuk mendakwa pihak pembangkang secara tidak berasas, yang paling serius sekali adalah YAB Menteri Besar sanggup menggunakan peluang gulungan perbahasan beliau di dewan yang mulia ini untuk menuduh kami pada persidangan yang lalu.

Kami sebagai pembangkang, memang tidak mempunyai kuasa dan sumber seperti pentadbir, tapi, kami tidak pernah pilih kasih semasa membantu rakyat, kami juga tidak pernah mengira dari segi agama, keturunan dan latar belakang rakyat ketika menjalankan tugas.

Kerajaan juga diminta bertindak dengan lebih adil kepada semua lapisan masyarakat semasa menetapkan hala tuju kerajaan dan bantuan kepada rakyat. Rakyat daripada pelbagai agama dan keturunan harus diberi peluang yang sama untuk berkhidmat kepada negeri dan mendapat bantuan daripada negeri.

PERUNTUKAN UNTUK SMJK DAN SPC

Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucap terima kasih kepada kerjaaan kerana sudi memperuntukan sejumlah RM7 juta untuk pembangunan masyarakat Cina dan RM8 juta untuk pembangunan masyarakat India.

Yang menarik perhatian saya adalah peruntukan untuk sektor pendidikan masyarakat Cina, RM1 juta untuk SJKC dan RM500 ribu untuk Kolej Universiti Selatan, kerajaan mungkin sudah terlepas pandang sekolah menengah kerana Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Persendirian Cina tercicir dalam senarai peruntukan.

MENDIGITALKAN SEKTOR KERAJAAN

Kerajaan bercita untuk memartabatkan masyarakat melalui penggunaan teknologi digital supaya Johor selari dengan revolusi industri ke-4, dan akan fokus dalam usaha mendigitalkan sektor-sektor utama ekonomi dalam negeri, RM40 juta juga diperuntukan untuk pembinaan infrastruktur bagi rakyat menikmati kemudahan internet jalur berkelajuan ultra.

Ini memang satu tindakan yang tepat dan selaras dengan keadaan terkini, segala kehidupan rakyat zaman sekarang tidak boleh berpisah dengan ICT dan internet, dengan menggunakan peranti digital dan jalur internet, kita dapat membina sebuah masyarakat yang berasaskan pengetahuan.

Tapi, semasa kerajaan Johor berusaha dalam mendigitalkan sektor-sektor ekonomi, jangan lupa pula untuk mendigitalkan sektor-sektor kerajaan, cadangan memuat naik semua jawapan, verbatim dan segala dokumen Dewan negeri Johor yang telah banyak kali diminta oleh saya masih belum dilaksanakan.

Kerajaan mencadang untuk menubuhkan sebuah pusat edaran ImCoop Distribution Centre bagi meningkatkan produktiviti hasil pengeluaran para petani, penternak dan usahawan tempatan adalah sebuah cadangan yang baik, pusat edaran akan memberi satu lagi pilihan kepada petani-petani untuk menjualkan hasil mereka, dengan perbelanjaan RM1 juta yang disediakan itu, berapa kawasan yang akan ditubuhkan pusat edaran ImCoop?

ISU KAWASAN

Fresh Truck Johor yang diperkenalkan oleh Kerajaan untuk peruncitan hasil pertanian dan produk makanan segar secara perniagaan bergerak sebenarnya telah lama wujub dalam kalangan masyarakat, penjual sayur dan makanan segar menggunakan lori atau van untuk berniaga di kawasan-kawasan perumahan telah membolehkan suri-rumahtangga yang tidak mempunyai pengangkutan ke pasar awam untuk membeli sayur-sayuran dan bahan-bahan makanan.

Tetapi, sesetengah pengusaha perniagaan bergerak ini tidak berjaya untuk mendapatkan lesen penjaja daripada Pihak Berkuasa Tempatan, apabila mereka terpaksa menghentikan perniagaan bergerak itu disebabkan tiada lesen, yang paling terjejas adalah golongan suri-rumahtangga yang tidak dapat pergi ke pasar awam.

Oleh itu, saya memohon jasa baik Pihak Berkuasa Tempatan menimbang semula permohonan-permohonan lesen penjaja bergerak yang menjual sayur di kawasan perumahan dan meluluskan permohonan lesen penjaja kepada mereka yang berkhidmat di kawasan jauh dengan pasar awam.

Sejak akhir-akhir ini, kebanyakkan Pihak Berkuasa Tempatan di Johor telah melarangkan aktiviti penyembelihan ayam di pasar awam masing-masing. Pengusaha ayam di pasar awam diminta mendapatkan bekalan ayam siap proses daripada rumah penyembelihan ayam berlesen.

Tindakan ini telah membebankan pengusaha ayam kerana berlaku masalah kekurangan rumah penyembelihan, saya ambil contoh, di Daerah Tangkak, terdapat 16 pengusaha ayam di keempat-empat pasar awam Tangkak, tetapi cuma ada 7 rumah penyembelihan ayam yang berlesen di seluruh daerah.

Pengusaha ayam menghadapi masalah bekalan dan masalah pengangkutan selepas larangan ini dikuatkuasakan oleh Majlis Daerah Tangkak. Mereka juga rasa sedih kerana tidak diberi maklumat lebih lanjut berkenaan cara untuk mendapatkan lesen rumah penyembelihan ayam seperti pemegang-pemegang lesen rumah penyembelihan yang telah disenaraikan.

Ada juga yang tertanya-tanya, adakah rumah-rumah penyembelihan dalam senarai Pihak Berkuasa Tempatan itu anak syarikat PBT? Kerana notis pemberitahu PBT itu sudah macam mencari pelangan untuk rumah-ruah penyembelihan.

Saya minta penjelasan daripada Kerajaan negeri dan Kerajaan tempatan mengenai adakah lesen rumah penyembelihan itu terhad kepada sekumpulan kecil pengusaha saja atau ia boleh dibuka mohon oleh pengusaha ayam yang berminat dan berkelayakan.

Kalau lesen itu adalah terhad, sudah tentu keputusan ini akan menganggu kebebasan pasaran kerana harga ayam proses akan dikuasai oleh pemegang-pemegang lesen itu.

RMMJ DAN RUMAH KOS SEDERHANA KOS RENDAH

Mengikut pengumuman kerajaan negeri baru-baru ini, terdapat lebih kurang 170 ribu rakyat Johor telah membuat permohonan pemilikan rumah mampu milik Johor, tetapi setakat Oktober 2017, cuma 16010 unit RMMJ yang telah disiapkan, tidak sampai 10% daripada keperluan sebenar, apakah pendekatan yang akan diambil oleh kerajaan supaya dapat memenuhi permohonan-permohonan secara lebih laju?

Saya pernah mengingatkan kerajaan negeri dalam dewan yang mulia ini sebelum itu, bahawa permintaan rumah mampu milik ini bukan saja di kawasan-kawasan bandar, tetapi pembinaan RMMJ di kawasan luar bandar seperti Johor utara juga perlu ditambahkan, dalam bajet kali ini, nampaknya Kerajaan Negeri cuma akan membina 576 unit RMMJ di Tangkak, Segamat dan Labis.

Saya percaya, jumlah yang sedikit ini memang tidak cukup untuk menampung keperluan rakyat di Johor utara, yang paling membimbangkan adalah kesemua 576 unit ini masih dalam proses pengambilalihan tanah, berapa lama agaknya proses-proses ini akan selesai dan sampai bilakah pemohon dapat memiliki rumah idaman mereka, jangan nanti Rumah Mampu Milik Johor jadi Rumah Mampu Mimpi Johor kepada rakyat di ketiga-tiga kawasan itu.

Selain daripada RMMJ, kawasan Tangkak juga telah lama menghadapi masalah kekurangan rumah kos sederhana dan kos rendah, pemaju perumahan sekarang memang bijak, mereka selalu memecahkan bidang tanah besar kepada tanah kecil untuk mengelak daripada membina rumah-rumah kos rendah, kerajaan negeri harus menangani masalah yang sebegini terus berlaku.

Satu lagi masalah yang saya sering membawa ke dewan yang mulia ini adalah berkenaan dengan gelanggang bola keranjang dan kemudahan-kemudahan di Taman Tangkak Jaya telah rosak sejak tahun 2010, YB EXCO semasa menjawab soalan saya pada bulan September 2015 mengatakan surat telah dihantarkan ke Pejabat Belia Daerah untuk tindakan selanjutnya, tapi sampai hari ini, kerja-kerja membaikpulih masih belum bermula.

Masalah banjir di sekitar kawasan Sungai Tangkak termasuk Kampung Seberang Gajah, Kampung Pengkalan Besar, Kampung Sri Makmor dan Kebun Sayur Kampung Solok Tangkak masih menghantui penduduk setiap kali hujan lebat, mereka akan berada dalam keadaan kerisauan kerana mungkin akan menghadapi kerugian harta benda, apakah keadaan terkini Rancangan Tebatan Banjir bernilai RM3 juta yang telah dijanjikan sebelum ini?

Genap 10 tahun Tangkak menjadi sebuah Daerah di Johor pada tahun 2018, Tangkak memiliki lebih daripada 52 ribu penduduk setakat ini, dengan pembangunan tempatan yang semakin pesat, Daerah Tangkak masih menghadapi masalah kelengkapan infrasturktur.

Rakan sejawat saya, YB Gambir dalam perbahasan beliau juga telah mengutarakan kelemahan di Hospital Tangkak, ruang tanah yang luas di Hospital Tangkak tidak dibangunkan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk di daerah ini, sebuah memorandum pembangunan telah disampaikan kepada Kementerian Kesihatan Persekutuan dan saya minta tolong daripada Jabatan Kesihatan negeri untuk kerja-kerja susulan.

Cadangan pembinaan sebuah pusat pentadbiran Daerah Tangkak yang diumumkan sejak tahun 2012 juga belum nampak dimulakan, pejabat-pejabat dan agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengakutan Jalanraya, Jabatan Immigresen, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan sebagainya juga perlu dilengkapkan dalam daerah ini. Apa sebab-sebabnya yang mengakibatkan pembinaan pusat pentadbiran Daerah Tangkak dijalan begitu perlahan?

Akhir sekali, semoga Bajet Johor 2018 dapat mencapai matlamatnya, sekian terima kasih.