Selamat petang dan salam sejahtera Tan Sri Speaker, ahli-ahli Yang Berhormat dan semua penjawat-penjawat awam yang hadir sidang dewan pagi ini.
Tan Sri Speaker,
Jementah ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Speaker atas memberi kesempatan kepada Jementah untuk mengambil bahagian dalam perbahasan menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor yang disampaikan oleh Tengku Mahkota Johor sempena Istiadat pembukaan rasmi penggal persidangan ke-5 Dewan negeri johor ke-13.
Pernilaian Terhadap Prestasi Pengurusan Kewangan Kerajaan Negeri
Jementah ingin merujuk kepada para 28 hingga 30 Titah Tuanku berkenaan dengan kutipan Hasil dan Surplus kewangan kerajaan negeri Johor 2016 dimana kerajaan negeri Johor berjaya mengutip hasil sebanyak RM1.66 billion pada tahun 2016 dan mencapai lebihan hasil ( Surplus ) sebanyak RM119 juta.
Akan tetapi, prestasi dan kecekapan kerajaan negeri Johor dalam pengurusan kewangan seharusnya dinilai dengan skop bandingan yang lebih luas iaitu trend kedudukan kewangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini sehingga tahun kewangan berkenaan, supaya kita boleh mendapat satu gambaran yang lebih jelas terhadap prestasi sebenarnya kerajaan negeri dalam pengurusan kewangannya.
Oleh itu, Jementah berpendapat adalah adil jika pernilaian terhadap pengurusan kewangan kerajaan negeri Johor dapat dibuat dalam tempoh masa kerajan negeri yang mula diterajui oleh pimpinan YAB Menteri Besar, dimana beliau mengambilalih sebagai ketua kerajaan Negeri semenjak tahun 2013 sehingga 2016
Jementah hanya ingin membuat bandingan dalam tiga butiran kewangan iaitu kutipan Hasil, Perbelanjaan Mengurus dan Surplus daripada tahun 2013 hingga 2016.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Johor Tahun 2015 dan termasuk kutipan Hasil dan Surplus pada tahun 2016, Perbelanjaan Mengurus dan Surplus Kerajaan Negeri Johor daripada tahun 2013 hingga 2016 adalah seperti berikut :
| Butiran Kewangan | 2013 | 2014 | 2015 | 2016* |
| Hasil | 1.827 bilon | 1.543 bilion | 1.548 bilion | 1.66 bilion* |
| Perbelanjaan Mengurus | 1.11 bilion | 1.184 bilion | 1.395 bilion | 1.541 bilion |
| Surplus | 617.79 juta | 359.41 juta | 153.38 juta | 119.0 juta* |
| Baki | 485.26 juta | 844.67 juta | 988.50 juta | 1107.5 juta |
*Merujuk kepada Titah Tuanku Para 28
Dalam tempoh masa empat tahun ini, walaupun Kutipan Hasil paling tinggi adalah pada tahun 2013, dan hasil bertambah setiap tahun. Tetapi,trend catatan Surplus tahunan adalah semakin menurun setiap tahun disebabkan oleh Perbelanjaan Mengurus yang meningkat dengan ketara setiap tahun.
Surplus adalah satu kelebihan yang amat penting dalam pengurusan kewangan khususnya kepada sebuah kerajaan. Kerajaan boleh menggunakan Surplus yang dikumpulkan itu boleh digunakan dalam sektor pembangunan awam bagi mengukuhkan ekonomi negara semasa kemerosotan ekonomi tanpa kerajaan perlu meminjam banyak daripada institusi-institusi kewangan yang lain dan selepas ini dinaikkan cukai yang membebankan rakyat untuk menjana hasil bagi bayaran hutang.
Surplus tahunan yang semakin berkurangan perlu diberi perhatian yang serius. Kerajaan Negeri Johor harus lebih berhemah untuk mengawal Perbelanjaan Mengurus seperti yang dinyatakan dalam para 30 Titah Tuanku, agar Surplus tahunan dapat dikukuhkan semasa ekonomi pesat membangun.
Memang, ini bukan satu kerja yang mudah. Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan YAB Menteri Besar seharusnya memegang prinsip atau sikap iaitu “Sediakan Payung Sebelum Hujan” ( Dalam Mandarin : “居安思危”) dan lebih berhati-hati dalam pengurusan kewangan kerajaan Negeri supaya trend Surplus tahunan yang semakin menurun itu dapat diberhentikan dan akhirnya rakyat mendapat manfaat yang lebih besar daripadanya.
Isu Perbatalan Perjanjian Jual Beli Bandar Malaysia
Jementah ingin menyeru Kerajaan Negeri Johor mengambil kesempatan semasa sidang dewan negeri untuk menyatakan pendirian Kerajaan Negeri Johor berhubung dengan perkara perbatalan perjanjian Bandar Malaysia oleh Kerajaan Pusat melalui kenyataan anak syarikatnya TRX City Sdn Bhd dengan gabungan IWH dan CREC ( ICSB ), dimana menurut laporan media, pihak gabungan IWH ( Iskandar Waterfront Holdings ) dan CREC telah memenuhi semua syarat-syarat perjanjian jual beli tersebut dan meminta kerajaan Persekutuan meneruskan perjanjian tersebut di mana 60% ekuiti Bandar Malaysia dijual kepada gabungan ini dengan harga RM7.41 billion.
Seperti sedia maklum, kerajaan negeri Johor melalui anak syarikatnya KPRJ ( Kumpulan Prasarana Rakyat Johor ) memegang 40% ekuiti dalam IWH.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Johor Tahun 2015, KPRJ telah menyumbang dividen sebanyak RM30 juta dan RM20 juta kepada kerajaan negeri Johor pada tahun 2014 dan 2015 masing-masing.
Justeru, adalah jelas bahawa kerajaan Negeri Johor mempunyai kepentingan dalam IWH dan rakyat Johor berhak mengetahui apakah sebenarnya telah berlaku di atas perbatalan perjanjian jual beli tersebut yang akan memberi impak kepada kerajaan dan rakyat negeri Johor.
Tambahan, menurut laporan media, 10% deposit iaitu sebanyak RM741 juta telah dibayar untuk perjanjian ini. Sekiranya perjanjian tersebut telah dibatalkan, adakah deposit RM741 juta akan dipulangkan balik kepada gabungan itu di mana kerajaan negeri Johor ada kepentingan di dalamnya?
Perbatalan perjanjian jual beli ini telah menimbulkan banyak tanda tanya di kalangan rakyat negeri Johor bahkan seluruh negara. Maka Jementah memohon YAB Menteri Besar menunjukkan sikap akauntabiliti dan ketelusan dan Nothing To Hide pihak kerajaan Negeri untuk memberi satu jawapan untuk mematikan semua khabar angin dan komen yang tidak adil yang boleh membawa impak kepada anak syarikat kerajaan KPRJ.
Kos Sara Hidup
Rakyat sedang dilandai dengan kos sara hidup yang melonjak tinggi. Kadar inflasi harga pengguna yang diumumkan oleh Bank Negara telah mencatat sehingga 5.1% pada bulan Mac yang lalu, dimana ia adalah lebih tinggi daripada simpanan tetap tahunan Bank iaitu lebih kurang 4.1% hingga 4.3%.
Dua sebab utama menyumbang kepada kos sara hidup yang tinggi iaitu perlaksanaan GST oleh kerajaan Persekutuan dan penyusutan nilai wang ringgit yang mendadak. Sebab-sebab yang lain adalah kerajaan telah memotong subsidi seperti gula dan petrol.
Kos sara hidup yang melonjak tinggi telah menyengsarakan golongan isi rumah berpendapatan rendah khususnya golongan B40 atau isi rumah berpendapatan 40% terendah dimana pendapatan bulanan golongan ini adalah RM3900 dan ke bawah dan kebanyakan mereka adalah daripada golongan pekerja.
Bantuan BR1M yang diwujudkan oleh kerajaan Persekutan untuk membantu meringankan kos sara hidup adalah tidak memadai dengan penyusutan nilai wang ringgit yang mendadak sekurang-kurangnya 30% dalam masa dua tahun ini berbanding dengan nilai mata wang US. Harus diketahui bahawa mata wang US adalah unit perhitungan di pasaran perdagangan antarabangsa.
Kerajaan Negeri harus mengambil kesempatan pelaburan yang begitu tinggi daripada pelabur domestik dan asing yang melabur di negeri Johor untuk mengupah lebih banyak lagi pekerja tempatan dan kerajaan boleh memainkan peranan untuk mencari cara atau kaedah yang terbaru, contohnya bekerjasama dengan majikan untuk memberi insentif kepada pekerja separuh mahir untuk melatih dan mempertingkatkan kemahiran mereka dan menjadi mereka pekerja yang mempunyai nilai tambah yang tinggi ( high value added skill worker ) agar meningkat pendapatan bulanan.
Buat sementara itu, Jementah menyeru kerajaan Negeri memberi pertimbangan yang sewajarnya ke atas potongan atau mengecualikan cukai tanah atau cukai harta kepada golongan B40 untuk meringankan bebanan kos sara hidup.
Isu Tempatan – Masalah Kacau Ganggu Bau Daripada Kilang Memproses Kelapa Sawit Yang Terletak Di Sempadan antara Jementah/Kebun Bahru
Jementah merujuk kepada para 6 Titah Tuanku berkenaan dengan industri yang yang berbahaya dan tidak mesra alam sekitar.
Bagi pihak penduduk-penduduk tempatan Jementah, Jementah ingin membantah dengan sekeras-kerasnya terhadap kelulusan yang telah diberikan oleh Kementerian Alam Sekitar Kerajaan Persekutuan kepada sebuah kilang memproses buah kelapa sawit Milik Mestika Sdn Bhd yang terletak di sempadan Jementah dan Kebun Bahru, walaupun Jabatan Alam Sekitr Negeri Johor telah menyatakan tidak akan mempertimbangkan permohonan dan pihak PBT Tangkak tidak meluluskan kebenaran merancang tapak kilang itu.
Jementah dan penduduk-penduduk tempatan dalam dua sesi dialog dengan pemilik kilang telah menyampaikan bantahan yang sekeras-kerasnya terhadap pembinaan kilang tersebut.
Pengoperasian kilang tersebut sering mendatangkan kacau ganggu bau yang menjijikkan masih menghantui penduduk-penduduk tempatan khususnya penduduk-penduduk kampung Paya Jakas dan Taman Jementah Baru yang lokasinya lebih berdekatan dengan tapak kilang itu.
Walaupun pengoperasian kilang itu diperketatkan dengan syarat-syarat untuk mengawal pencemaran udara dan bau, kacau ganggu bau itu masih timbul khususnya pada waktu hujan dan waktu malam dimana udara adalah dingin dan tekanan udara adalah rendah.
Jementah telah membangkitkan perkara ini beberapa kali dalam Dewan yang mulia ini dan dengan kepentingan ke atas kesihatan penduduk-penduduk setempat, sekali lagi dengan rendah diri Jementah memohon keprihatinan kerajaan Negeri supaya berunding dengan Kementerian Alam Sekitar untuk mengatasi masalah kacau ganggu bai ini dan mengembalikan suasana hidup yang sejahtera dan aman kepada penduduk-penduduk setempat.
Jementah ingin merakamkan setinggi-tingginya perhargaaan kepada Tan Sri Speaker kerana memberi peluang kepada Jementah untuk berbahas dalam Titah Tuanku. Jementah juga ingin merakamkan perhargaan yang tidak terhinnga kepada penduduk-penduduk Jementah yang memilih Jementah mewakili suara mereka untuk didengari di dalam Dewan yang mulia ini. Akhir kata, Jementah berdoa Johor terus maju dan rakyat Jementah dan seluruh negeri Johor dapat hidup dengan aman dan sejahtera. Sekian, terima kasih.