Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera,
Johor Jaya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk membahaskan usul Menjunjung kasih atas Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sempena Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Kelima bagi Dewan Negeri Johor yang ke-13.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Negeri Johor memang merupakan sebuah negeri yang unik, bukan sahaja dengan lokasi yang strategik tetapi juga kaya dengan sumber asli semula jadi. Pembangunan dan perancangan Negeri Johor harus sentiasa berdasarkan kesejahteraan rakyat dan negeri.
Selama ini, kerajaan Negeri Johor kerap menekan dengan kepentingan semangat Muafakat Johor. Namun, sekiranya pihak kerajaan tidak menjalankan perancangan dan pelaksanaan dengan adil dan saksama tanpa mengira kaum, bangsa dan fahaman politik maka impian Muafakat Johor tidak akan berjaya.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
1. Rumah Mampu Milik Johor
Dalam ekonomi yang pesat, dan harga rumah yang melambung tinggi, aspirasi rakyat untuk memiliki sebuah rumah sendiri kini merupakan satu impian yang agak susah dicapai di kalangan orang ramai, khususnya golongan muda dan golongan yang berpendapatan sederhana atau rendah.
DYMM Sultan Johor telah melancarkan Projek Rumah Idaman Bangsa Johor baru-baru ini sempena Hari Keputeraan Tuanku. Sambutan dan kehadiran pemohon terhadap Projek Rumah Idaman Bangsa Johor pada hari pelancaran telah menunjukkan permintaan dan kehendak rakyat untuk memiliki rumah sendiri.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Pihak Kerajaan Negeri Johor pun telah mengemukakan Projek Rumah Mampu Milik Johor sebagai tempat berteduh rakyat dan dijadikan sebagai agenda utama kerajaan negeri selama ini.
Sasaran pihak kerajaan Negeri Johor dalam Bajet 2014 adalah 28,000 unit. Kemudian, pihak kerajaan meningkatkan sasaran tersebut kepada 37,000 unit dalam Bajet 2015. Kini, sasaran tersebut ditingkatkan lagi sehingga 60,000 unit RMMJ menjelang tahun 2019.
Menurut angka sasaran, Pihak kerajaan Negeri memang faham dengan kehendak dan keperluan rakyat atas memiliki rumah sendiri dan Johor Jaya percaya sasaran 60,000 ini mampu membantu rakyat jelata mencapai hasrat mereka iaitu memiliki rumah sendiri.
Namun, apa yang sebenar berlaku? RMMJ yang telah siap dibina setakat ini hanya berjumlah 8766 buah unit rumah. Angka ini adalah jauh daripada sasaran 60,000, iaitu hanya 14.61% sahaja. Tidak sampai 20% daripada sasaran tersebut.
Adakah pihak kerajaan mampu mencapai sasaran ini dalam masa dua tahun yang akan datang? Kalau kita meneliti dengan sasaran pihak kerajaan, sasaran rumah siap pihak kerajaan pada tahun 2017 adalah 6,327 manakala 18,456 unit pada tahun 2018 dan 30,065 unit menjelang tahun 2019 dan 2020. Adakah sasaran ini boleh tercapai?
Angka rumah yang siap ini telah menunjukkan kegagalan pihak kerajaan Negeri dalam usaha pembinaan RMMJ kerana terdapat RMMJ yang gagal dibina atau disiap mengikut jadual.
Salah satu contoh kegagalan pembinaan Rumah Mampu Milik Johor adalah Projek RMMJ Tanjung Senibong di mana Projek ini terletak di kawasan Menteri Besar sendiri.
Projek ini dikendalikan oleh Syarikat Crescendo Corporation Bhd, dan telah menjalankan Majlis Pecah Tanah pada 22hb Mac 2014. Projek ini dijangka siap dalam dua tahun iaitu bulan Mac tahun 2016. Namun, sudah tiga tahun lepas pecah tanah tetapi tanah ini masih biar menjadi lalang di sana. Tidak ada sebarang pembinaan mahupun satu tiang pun tidak ada.
Projek ini merangkumi 222 RMMJ bermakna terdapat 222 pemohon yang sedang menunggu satu janji yang masih belum ditepati daripada pihak kerajaan.
Selain itu, baru-baru ini berlaku bahawa RMMJ yang telah diserah kunci tetapi menghadapi pelbagai masalah seperti kebocoran bumbung dan dinding, tiada bekalan elektrik dan air, dan sebagainya. RMMJ tersebut telah tiga tahun kelewatan pembinaan dan pelbagai masalah turut timbul setelah siap dibina.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Apakah tujuan sebenarnya pembinaan RMMJ kepada rakyat? Johor Jaya pasti bahawa pihak kerajaan berhasrat memberi kesejahteraan kepada rakyat dengan membantu rakyat untuk memperoleh rumah sendiri dengan harga yang murah.
Apabila kontraktor atau pemaju yang dilantik atau bertanggungjawab untuk membina RMMJ gagal. Apakah tindakan atau peranan pihak kerajaan terhadap mereka? Apabila pemohon memohon RMMJ dengan pihak kerajaan, ini telah menunjukkan satu sikap keyakinan dan kepercayaan kepada pihak kerajaan. Tetapi, kelewatan dan ketidaksempurnaan rumah seperti ini telah mengecewakan rakyat terhadap pihak kerajaan.
Namun, masalah yang timbul seperti pembinaan yang tidak ditepati atau kelewatan telah bercanggah dengan hasrat pihak kerajaan Team Johor.
Ini bukan sahaja menunjukkan kegagalan Projek RMMJ tetapi juga Team Johor yang diketuai oleh YAB Menteri Besar.
Johor Jaya turut mengingatkan pihak kerajaan bahawa Jangan sesekali hanya membuat pengumuman, pecah tanah, tapi tidak dilengkap dan janji tidak ditepati. Dengan ini, Johor Jaya ingin bercadang mewujudkan lebih Projek Perumahan Rakyat yang derdasarkan konsep sewa-beli untuk membantu rakyat yang tidak mampu membeli rumah.
2. Lebuhraya Pasir Gudang- Masalah Infrastruktur Awam
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Menurut perangkaan kemalangan Jalanraya di Lebuhraya Pasir Gudang, terdapat 875 kes kemalangan pada tahun 2013, 758 kes pada tahun 2014 dan 927 kes pada tahun 2015.
Ini telah menunjukkan Lebuhraya Pasir Gudang merupakan lebuhraya yang penting dengan aliran trafik yang tinggi. Oleh itu, Johor Jaya perlu sesekali membangkitkan Isu Leburaya Pasir Gudang dalam dewan yang mulia ini.
Kemalangan Jalan raya boleh disebabkan oleh kecuaian atau sikap pemandu yang kurang prihatin. Sebagai sebuah kerajaan yang cekap dan tegas, pihak kerajaan bukan sahaja menyediakan infrastruktur awam kepada rakyat tetapi penjagaan, maintenace dan kualiti infrastuktur awam adalah penting.
Sebagai contoh, keadaan jalan yang lancar iaitu tidak berlubang, penghadang jalan yang lengkap dan tersusun, lampu jalan yang terang dan sebagainya.
Projek Menaiktaraf Lebuhraya Pasir Gudang Fasa 1 sepanjang 8km telah tamat pada Mac 2016 setelah beberapa kali lanjutkan. Kerja-kerja pembersihan pun telah dijalankan bagi Fasa 1. Namun, masih terdapat pelbagai masalah di Lebuhraya Pasir Gudang.
- Bagi Fasa 2A, masalah yang sama turut berulang, iaitu penghadang jalan yang tidak tersusun di tepi jalan. Ini amat bahaya terutamanya kepada penunggang motosikal.
- Selain itu, Johor Jaya mendapati lampu jalan tidak bernyala di sepanjang projek ini. Terdapat sekira-kiranya 250 batang lampu jalan yang tidak bernyala dari susur keluar Jambatan Taman Daya sehingga persimpangan bertingkat Seri Alam.
- Tiada lampu jalan atau langkah-langkah keselamatan di Persimpangan menuju arah Pusat Bandaraya Kota tinggi. Persimpangan ini terletak di Jambatan bertingkat Kota Tinggi-Johor Bahru. Kemalangan sering berlaku pada waktu malam.
- Bukan sahaja lampu di tepi jalan tidak bernyala, tetapi, lampu Jalan yang terletak di dalam Terowong menuju ke arah Pasir Gudang, iaitu di Jambatan Bertingkat Johor Bahru-Kota Tinggi. Lampu di dalam terowong ini tidak bernyala sejak tahun lepas. Iaitu pada bulan November tahun 2016. Lepas kerja pembaikan, nyala tiga minggu. Lepas itu tidak bernyala lagi mulai bulan Disember sehingga kini. Keadaan ini berlaku selama 6 bulan, di Lebuhraya yang kira paling sibuk ini.
Keadaan seperti ini adalah amat bahaya bagi pengguna jalan tersebut terutamnya pada waktu siang apabila kenderaan yang masuk terowong tiba-tiba menghadapi keadaan gelap.
Johor Jaya mendapati bahawa hal ini berlaku akibat kecurian dan kehilangan kabel mengakibatkan lampu jalan tidak berfungsi. Pihak kerajaan perlu mengambil berat terhadap nyawa dan keselamatan pengguna jalan. Tindakan seperti pemasangan CCTV, penukaran kabel bukan jenis logam atau meningkatkan keselamatan harus diambil. Janganlah sampai 6 bulan, masalah ini masih tidak dapat diselesaikan.
Yang Berhormat tan Sri Speaker,
Memandangkan kepentingan lebuh raya Pasir Gudang, Johor Jaya ingin bertanya bila keseluruhan projek menaiktaraf lebuh raya Pasir Gudang boleh lengkap supaya dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas sepanjang jalan.
Sekali lagi saya menyeru supaya pihak kerajaan mengambil sikap dan tindakan yang tegas dalam pemantauan Projek Naiktaraf Lebuhraya PG Fasa 2A iaitu dari persimpangan bertingkat Plentong ke persimpangan bertingkat Seri Alam/Taman Rinting yang akan dijalankan.
Pihak kerajaan bertanggungjawab dalam memastikan projek yang seterusnya ini akan dijalankan dengan lancar. Pertama, projek Fasa 2A mesti ditamatkan pada masa yang ditetapkan. Kedua, langkah-langkah keselamatan jalan raya semasa kerja-kerja naik taraf dijalankan. Jangan ulangi masalah dan kesilapan yang sama dan harus sentiasa mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya
3. Isu Ribut dan Hujan Lebat- pokok tumbang
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Kerajaan tempatan memainkan peranan penting dalam kehidupan rakyat jelata. Bukan sahaja mengutip cukai pintu, menguatkuasakan undang-undang kecil tetapi seluruh kawasan adalah dibawah jagaan pihak PBT masing-masing.
Baru-baru ini, Kawasan Johor Jaya telah dilanda ribut kencang dan akibatnya terdapat banyak pokok yang tumbang, nasib baik tiada kecederaan orang awam.
Tidak dapat dinafikan bahawa ribut dikira sebagai bencana alam. Namun, kerosakkan akibat bencana alam boleh dielakkan sekiranya pihak kerajaan mengambil tindakan dengan awal.
Johor Jaya bersyukur kerana pihak PBT, penguatkuasa dan kontraktor mengambil tindakan yang cepat untuk membersihkan pokok yang tumbang ini dan turut memberi pampasan kepada mangsa kenderaan. Sampailah Datuk Bandar pun kena turun padang membantu menolak kenderaan yang dilanda oleh pokok yang tumbang.
Namun, Pokok tumbang ini bukannya pokok yang layu, tetapi semua pokok yang sihat, tinggi dan besar dahannya, ada sampai dahan pokok pun tercabut keluar.
Kita harus berfikir, peranan pihak kerajaan tempatam bukan sahaja menanam pokok, mengindahkan kawasan, ambil tindakan apabila kejadian berlaku. Tetapi, “Sediakan payung sebelum hujan”. Iaitu sentiasa membuat pemantauan dan mengelakkan kejadian supaya berlaku.
Sebagai contoh, pokok yang tertalu tinggi harus sentiasa dipantau dan dicantas untuk memastikan dahannya dapat menampung ketumbuhan pokok dan ketinggian pokok adalah dalam had tinggi yang selamat.
Sejauh mana saya tahu, Pihak PBT telah mebelanjakan sebanyak RM169,000 sejak bulan Disember 2016 hingga bulan Febuari 2017 untuk mencantas 609 bilangan pokok dan Terdapat baki sebanyak RM195,000 untuk dibelanjakan demi menjaga landskap kawasan Johor Jaya.
Siapa yang bertanggungjawab atas ketumbangan pokok? Adakah kita salahkan kepada ribut atau kita dapat elakkan kejadian ini? Johor Jaya berpendapat bahawa pihak kerajaan perlu membuat pemantauan atau penjagaan terhadap pohon-pohon tidak kira layu atau sihat. Selain itu, penyelidikan terhadap kesesuaian jenis pokok ditanam di jalan utaman, tempat awam dan kawasan perumahan juga turut penting.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Selain itu, Johor Jaya menyeru pihak PBT mengambil tindakan yang lebih cepat dalam usaha mencantas pokok. Johor Jaya pernah membuat aduan terhadap beberapa batang pokok yang layu terletak di tempat awam.
Oleh sebeb pokok layu terletak di tapak letak kereta, penduduk amat bimbang sekiranya pokok itu tumbang. Akhirnya, selepas 4 bulan saya membuat aduan, pihak PBT turut mengambil tindakan mencantas pokok tersebut. Walaupun tindakan diambil dengan masa panjang, saya memang menghargai usaha pihak PBT.
Tetapi, apa yang saya kagum dan pelik adalah, ahli majlis Zon tersebut membuat sidang media dan mengatakan bahawa Johor Jaya tidak menelefon dia untuk membuat aduan. Sekiranya Johor Jaya menelefon, dia dapat menyelesaikan masalah dalam 3 hari sahaja, tidak perlu 4 bulan.
Bukan ini sahaja, dia turut suruh saya jangan buat aduan sebagai wakil rakyat kepada pihak PBT, buat aduan sebagai rakyat biasa. Tidak lupa juga , dia menunjukkan resit dan kata dia yang mengeluarkan duit sendiri untuk mencantas pokok itu dan bukannya pihak PBT.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Bukankah pihak PBT mempunyai peruntukan seperti saya sebut tadi? Kenapa ahli majlis pula yang terpaksa mengeluarkan kos sendiri untuk mencantas pokok itu? Sama ada ahli majlis mengelirukan rakyat atau ditindas oleh pihak PBT sampai perlu keluarkan kos sendiri.
Bukankah tanggungjawab pihak PBT untuk mengendalikan segala aduan, tidak kira sama ada aduan itu dibuat daripada wakil rakyat atau rakyat biasa? Bukankah pihak PBT mempunyai pelbagai saluran aduan termasuk whatsapp, borang aduan, talian telefon dan sebagainya.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Adakah ini menunjukkan sifat berat sebelah dan ketidakadilan bahawa aduan yang dibuat oleh pihak pembangkang tidak akan dipeduli sampai ahli majlis minta saya buat aduan sebagai rakyat biasa?
Saya berharap pihak kerajaan Team Johor memandang serius terhadap aduan rakyat dan janganlah menjadikan aduan harian rakyat sebagai mainan politik. Team Johor perlu mengambil sikap adil dan saksama terhadap semua wakil rakyat tanpa mengira parti terutamanya mengendali isu dan aduan yang dibawa.
4. Masalah Tempatan
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Beberapa masalah tempatan yang ingin saya bangkitkan dalam dewan yang mulia ini.
1. Isu Keselamatan Jalan Raya di SMK. SERI ALAM 2
Keselamatan Jalan Raya perlu diperketatkan terutamanya di hadapan kawasan sekolah. Keselamatan asas termasuk membina bonggol, menebalkan garisan kuning dan mengurangkan had laju kenderaan kepada 30 kilometer sejam (km/j).
Kekurangan langkah-langkah keselamatan jalan di hadapan SMK. Seri Alam 2 perlu diambil berat. Sekolah ini telah ditubuhkan selama 15 tahun dan kini mempunyai 1600 oramg pelajar. Lokasi sekolah terletak di tepi Jalan bukit. Oleh itu, kenderaan yang turun dari cerun selalu dengan laju. Tiada garisan kuning,bonggol, papan had laju atau pun cermin jalan raya disediakan di sana. Ibu bapa berasa amat bimbang dengan keselamatan pelajar.
2. Kerja Menaiktaraf Jambatan Sungai Plentong
Kesesakan lalu-lintas memang merupakan satu masalah yang serius bagi pengguna Jalan Masai Lama. Kerja menaiktaraf Jambatan Sungai Plentong telah bermula, Johor Jaya amat bimbang dengan projek menaiktaraf ini bahawa samaada projek ini dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas selama ini?
3. Kerja Menaiktaraf Jalan Rosmerah Utama
Kesesakan lalu lintas di Jalan Rosmerah Utama iaitu di bawah Jambatan Rosmerah. Jalan ini merupakan salah satu laluan penting menyambung kedua-dua bahagian dalam kawasan iaitu dari Taman Molek, Jalan Rosmerah ke sebelah bahagian Taman Johor Jaya.
Aliran Trafik yang tinggi terutamanya pada waktu puncak sentiasa menyebabkan kesesakan lalu lintas di bahagian bawah jambatan.
Johor Jaya berharap pihak kerajaan dapat mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.
4. Tandas Seri Alam (Jalan Lembah)
Pada sidang dewan yang lepas, Johor Jaya pernah bangkitkan isu naik taraf Taman Rekreasi Bandar Seri Alam yang terletak di Jalan Lembah termasuk pembinaan tandas awam dan pelebaran laluan larian.
Johor Jaya ingin mengucapkan terima kasih atas kepintasan pihak kerajaan dengan ambil tindakan segera dengan pembinaan tandas tersebut. Oleh itu, Johor Jaya turut harap laluan larian tersebut dapat dinaik taraf dengan secepat.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
Akhir kata, Johor Jaya berharap pihak kerajaan Team Johor dapat menguruskan dan menyelesaikan semua perkara yang saya bangkitkan dalam dewan yang mulia ini dengan segera.
Sekian, terima kasih.