Beraya ke rumah rakan berlainan bangsa dan agama bukanlah satu perkara yang aneh di Malaysia. Malah, ia perkara yang sangat dikagumi memandangkan toleransi yang berjaya ditunjukkan sesama bangsa di Malaysia walaupun kita pernah mempunyai sejarah hitam satu masa dulu.
Salah satu kisah yang menjadi perhatian baru-baru ni adalah apabila Lim Guan Eng melawat Mat Sabu sempena perayaan Aidilfitri yang berlangsung pada 22 April baru-baru ini. Ia sebenarnya bukanlah satu perkara yang baru sebab saban tahun, Lim Guan Eng akan mengajak seluruh ahli keluarganya untuk beraya ke rumah Mat Sabu untuk beraya dan merasa sendiri masakan sahabatnya itu. Malah kata Lim Guan Eng,
“Masakan Menteri (Mat Sabu) tiada tandingan. Memang terbaik! Inilah Mat yang kami kenali sebagai setia kepada kawan dan perjuangan seterusnya selama-lamanya.”
Persahabatan ini bermula semasa mereka berdua masuk penjara bersama selama 18 bulan, iaitu selepas mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA pada 1987-1989.
Dalam tempoh tersebut, pelbagai perbincang dari pandangan politik, sehinggalah perkongsian resipi memandangkan mereka selalu masak bersama. Lim Guan Eng juga pernah mengakui yang beliau sangat sukakan masakan Mat Sabu, terutama sekali kari kepala ikan yang dimasak sahabatnya itu.
Perkara ini sendiri diakui oleh Perdana Menteri kini, Dato Seri Anwar Ibrahim yang pernah menyifatkan persahabatan mereka sebagai sebuah persahabatan sejati. Malah Hannah Yeoh juga menyarankan supaya kita bersatu seperti kedua sahabat ini yang mempunyai persahabatan sejati walaupun berlainan bangsa dan agama.