Nombor matrik ana 0014305: Dari UIA ke Kementerian Pendidikan

wong kah woh

Terdapat satu laporan berita mengatakan bahawa geng UIA kini menguasai barisan kabinet Kerajaan MADANI selepas pengumuman rombakan kabinet oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember tahun lalu. Apa salahnya kalau betul. Ini kerana rata-rata Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan MADANI merupakan bekas pelajar atau alumni Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang mengambil jurusan undang-undang.

Daripada beberapa alumni itu, salah seorangnya datang dari DAP iaitu Saudara Wong Kah Woh, yang merupakan Ahli Parlimen Taiping. Untuk pengetahuan semua, beliau merupakan penuntut UIA kerana pernah belajar di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim. Beliau ada berseloroh di dalam satu hantaran FB.

“Nombor matrik ana 0014305. Anda?”

Setelah diselidik, beliau menceritakan dengan lebih lanjut mengenai pengalamannya menjadi mahasiswa di UIA.

“Nombor matrik saya 0014305. Saya masuk UIA tahun 2000 dan semester pertama 001 itu semester pertama. Tapi memang pengalaman saya di UIA memang banyak yang telah pun saya mampu untuk pelajari.

Khasnya apabila UIA menawarkan satu mutu pendidikan yang begitu baik. Saya rasa syukur dapat menghabiskan tempoh 4 tahun saya pengajian undang-undang saya di UIA. “ katanya dalam satu temu bual.

Menurutnya lagi, barisan kabinet yang dipimpin oleh ramai alumni UIA ini membuktikan bahawa alumni universiti tersebut merupakan satu golongan yang mampu dan sanggup untuk berkhidmat kepada negara dan beliau berasa bangga sebagai seorang alumni UIA. Ini juga adalah bukti bahawa pemimpin DAP datang dari latar belakang yang pelbagai yang menjadikan ia unik dan membawa semangat Malaysia sebenar.

Untuk rekod, idea penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dulu. Ia muncul dalam Kongres Universiti Islam anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada 3 hingga 7 Ogos 1971.

Susulan itu, Anwar yang ketika itu Presiden PKPIM (Yang Dipertua) telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein untuk membawa idea penubuhan universiti Islam. Kemudian, ia direalisasikan ketika beliau berada dalam kerajaan dahulu.

Recommended Posts