Jika benar tindakan Wong Yan Ke menyalahi dan bertentangan dengan akta yang diperuntukkan, mengapa rakaman serbuan dan tangkapan dalam operasi-operasi yang dilakukan oleh pihak polis dibenarkan serta boleh disiarkan secara terbuka melalui berita, rancangan TV dan suratkhabar?

Pada hari Sabtu yang lepas, Wong Yan Ke mantan presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), telah ditahan oleh pihak polis selepas membuat rakaman serbuan polis di kediaman presiden persatuan tersebut, Robin Yap Wen Qing.

Menurut Salim Bashir, Presiden Majlis Peguam Malaysia yang juga sebuah badan berkanun yang mewakili kepakaran perundangan, merakam serbuan polis bukanlah merupakan suatu kesalahan. Oleh yang demikian, tindakan aktivis pelajar tersebut yang merekod serbuan polis di rumah rakannya tidak menyalahi undang-undang, kerana tindakan itu tidak menimbulkan sebarang bentuk keganasan yang boleh mengganggu tugas penjawat awam.

Namun begitu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Huzir Mohamed telah mengeluarkan kenyataan semalam bahawa tindakan seseorang merakam gambar atau video pihak polis sedang menjalankan siasatan merupakan kesalahan bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan sekiranya gambar atau video tersebut dikongsi dan ditularkan di media sosial atau apa jua cara sekalipun, kerana ia boleh mengganggu proses siasatan polis. Ia juga dikatakan bertentangan dengan peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Persoalannya, jika tindakan serbuan atau sebarang siasatan polis mengikut peraturan undang-undang dan “nothing to hide”, mengapa pihak PDRM risau jika rakaman video dan gambar siasatan polis itu disebarkan?

Saya juga ingin bertanya kepada PDRM dan Jabatan Peguam Negara. Jika benar tindakan tersebut menyalahi dan bertentangan dengan akta yang diperuntukkan, mengapa rakaman serbuan dan tangkapan dalam operasi-operasi yang dilakukan oleh pihak polis dibenarkan serta boleh disiarkan secara terbuka melalui berita, rancangan TV dan suratkhabar?

Saya mohon agar pihak-pihak yang berkenaan memberikan penjelasan yang tepat berkenaan perkara ini bagi mengelakkan kekeliruan peguam dan kebimbangan rakyat.

Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong
Kenyataan media oleh Lim Lip Eng di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 11 November 2020